3 perkara untuk tunjuk kasih sayang pada pelanggan

Dalam dunia perniagaan, ramai orang boleh mendakwa dia adalah pakar dan tahu segala formula kejayaan sebuah perniagaan. 

Selalu juga kita dengar dan fokus untuk menjadikan produk kita sebagai produk yang terhebat dan dapat mengalahkan pesaing, tapi kita selalu terlupa pelanggan adalah teras yang paling penting dalam perniagaan. 

Satu perkara yang sentiasa penting adalah, fokus pada pelanggan dan anda pasti akan menang. Apa gunanya produk atau perkhidmatan yang hebat jika tiada sesiapa nak membeli? 

Jika perniagaan anda belum mencapai tahap kejayaan yang anda inginkan, sudah tiba masanya untuk anda bertanya pada diri sendiri, adakah anda sayang pada pelanggan anda dan melayani mereka dengan baik? 

Adakah anda cukup mengenali mereka? Jika belum, kenal mereka dengan segera agar mereka nampak usaha anda dan mereka akan setia kepada syarikat anda.

Apabila anda memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan, anda pasti akan berjaya. Lakukan sesuatu yang membuatkan mereka rasa senang. 

Bagaimana nak tunjukkan kasih sayang pada pelanggan anda?

1. Berhenti fokus pada produk dan perkhidmatan

Berhenti fokus bukan bermaksud anda perlu lupakan tentang produk dan perkhidmatan anda, tapi berikan tumpuan yang lebih kepada pelanggan agar mereka nampak kasih sayang yang ingin ditunjukkan. 

Anda kena tahu dan keluarkan produk yang pelanggan anda suka dan bukannya apa yang anda suka. Ini kerana keperluan pelanggan akan berubah dari semasa ke semasa. 

Jika anda terlalu fokus pada apa yang anda suka, anda tidak akan cukup fleksibel untuk mengubah apa yang anda tawarkan sesuai dengan permintaan pasaran. 

Apabila anda kekal fleksibel, anda boleh menukar masalah menjadi peluang dan sentiasa memastikan anda tahu bagaimana caranya nak lebih menyayangi pelanggan anda.

2. Ketahui apa yang pelanggan anda mahu atau perlukan

Apakah isu yang sedang dihadapi oleh pelanggan anda sehingga mengakibatkan kehidupan mereka menjadi lebih sukar dan kurang memuaskan? Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka. 

Apa produk atau perkhidmatan yang mereka perlukan untuk menangani masalah mereka, namun masih tidak ada dalam pasaran? 

Jika anda ada jawapan serta penyelesaian kepada masalah-masalah ini menunjukkan bahawa anda sangat memahami keperluan pelanggan anda dan menjadikan perniagaan anda berbeza daripada perniagaan-perniagaan lain yang ada dalam pasaran. 

Nak tahu tentang pelanggan ni tak perlulah sampai nak pergi ke rumah mereka kerana akan mengganggu privasi. 

Zaman sekarang kan serba canggih, guna sahaja segala medium yang ada dari media sosial, email, WhatsApp, Telegram dan sebagainya. 

Anda boleh mengetahui apa yang mereka perlukan dengan membuat tinjauan dan melakukan penyelidikan pasaran. 

Pastikan ada komunikasi antara anda dan pelanggan. Dari situ anda akan dapat menaik taraf produk anda sesuai dengan permintaan pelanggan.

3. Fokus apa yang pelanggan perlu

Bagaimana nak tahu produk atau perkhidmatan yang anda keluarkan mampu menangani masalah pelanggan anda? 

Adakah anda dan team sentiasa berinovasi supaya produk dan perkhidmatan anda mampu berkembang seiring dengan keperluan pelanggan? 

Sentiasa dapatkan maklum balas yang berterusan daripada pelanggan supaya anda sentiasa dapat membaca dan menjangka keperluan mereka di masa akan datang serta menangani keperluan semasa. 

Apabila anda merancang masa depan untuk kebaikan pelanggan, anda akan mengikuti perubahan sosial dan menunjukkan kasih sayang dengan memenuhi keperluan mereka tanpa mereka sedari.

Anda dah tahu bagaimana nak menunjukkan kasih sayang pada pelanggan anda? Ingat satu perkara, ini bukan tentang anda tapi tentang mereka!

Artikel terbaru

Leave a Reply