3 Cara Mudah Untuk Bangkit Daripada Kegagalan

3 Cara Mudah Untuk Bangkit Daripada Kegagalan

Sama ada anda dinafikan kenaikan pangkat di pejabat atau gagal untuk mendapatkan peruntukan bisnes yang dipohon, rasa kecewa itu memang menyakitkan.

Ramai di antara kita yang berusaha keras bagi mengelakkannya terjadi. Namun, kadang kala kita tidak boleh terlepas daripadanya.

Kegagalan itu memang lumrah dalam kehidupan tetapi anda tidak boleh membiarkannya menguasai hidup anda.

Anda harus ketahui cara untuk mengatasinya agar anda boleh bangkit semula dengan lebih baik daripada sebelumnya. Bagi membantu anda, di sini disertakan 3 cara mudah untuk anda bangkit daripada kegagalan.

1. Kawal Emosi Anda

Kegagalan selalunya disertai dengan pelbagai emosi iaitu malu, ragu-ragu, marah, sedih dan banyak lagi. Perasaan ini sememangnya membuatkan kita terasa lemah dan pastinya kita akan lakukan apa saja untuk hilangkannya.

Satu kajian 2017 yang diterbitkan dalam Journal of Behavioral Decision Making mengatakan anda tidak sepatutnya cuba melupakan perasaan itu selepas sesebuah kegagalan itu berlaku. Penyelidik telah mendapati bahawa memikirkan tentang emosi anda dan bukannya kegagalan itu sendiri sangat membantu.

Terima perasaan itu sebagai motivasi kerana ia boleh membantu anda bekerja lebih keras untuk mencari penyelesaian yang lebih baik supaya anda dapat perbaiki situasi pada masa hadapan.

Jadi, jangan nafikan perasaan itu dan tidak mengapa untuk biarkan diri anda berasa sedih untuk seketika.

2. Ketahui Cara Sihat Untuk Mengurangkan Kesakitan

Menyakiti diri sendiri atau mengisi kekosongan yang dirasakan dengan makanan atau alkohol tanpa limitasi tidak akan merawat  kesakitan anda malah ia hanya akan membawa anda ke ‘bencana’ yang lebih dahsyat.

Oleh itu, carilah alternatif yang lebih baik seperti bersukan, bertemu dengan rakan dan lain-lain lagi.

3. Tanya Diri Anda Apa Yang Boleh Dipelajari

Kegagalan boleh menjadi guru yang hebat jika anda terbuka dan memberi ruang kepada diri untuk belajar. Adakah anda membuat kesilapan? Adakah anda melakukan beberapa kesilapan?

Fikirkan tentang perkara yang boleh anda lakukan secara berbeza pada masa hadapan. Kemudian, pastikan kegagalan anda menjadi pengajaran hidup yang membantu anda mempelajari sesuatu yang lebih baik di waktu akan datang.

Artikel terbaru

Leave a Reply