2 Tip Membesarkan Anak-Anak Dengan Minda Keusahawanan

2 Tip Membesarkan Anak-Anak Dengan Minda Keusahawanan

Sejak usia muda, Cheryl Sew Hoy sudah menanam cita- cita mahu menjalankan perniagaannya sendiri.

“Apabila guru bertanya apa cita-cita anda… dan ramai kanak-kanak ingin menjadi doktor atau peguam. Cita-cita saya adalah untuk menjadi ahli perniagaan,” kongsi Sew Hoy.

Impian zaman kanak-kanak itu kini menjadi realiti.

Kini beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Tiny Health, sebuah syarikat permulaan teknologi kesihatan yang menjual alat ujian kesihatan usus di rumah untuk ibu dan bayi dari 0 hingga 3 tahun.

Sew Hoy, seorang rakyat Malaysia kini menjalankan perniagaan di Austin, Texas, mengaitkan kejayaan beliau dengan didikan ibunya yang juga seorang ahli perniagaan di Malaysia.

“Ibu saya mempunyai perniagaan sendiri dan dia adalah bos. Sebelum kerja-dari-rumah popular, dia sudah pun bekerja dari rumah dan saya sentiasa ada contoh teladan ini,” tambahnya.

Bagaimana nak menanam jiwa usahawan kepada kanak-kanak?

1.   Bercerita kepada anak-anak

“Sukar untuk mengajar kanak-kanak ilmu perniagaan secara langsung tetapi kanak-kanak ‘mengingat cerita’ dan itulah cara terbaik untuk mendedahkan mereka kepada keusahawanan,” kata Sew Hoy.

Sebagai contoh, dia menerangkan kepada anak-anaknya tentang tugasnya sebagai CEO, dan kisah mengapa dia memulakan Tiny Health.

“Bercakap dengan mereka seperti orang dewasa, walaupun anda fikir mereka terlalu muda untuk memahami.

 “Lebih banyak anda bercakap dengan mereka seperti orang dewasa, anda akan menyedari mereka sebenarnya memahami banyak perkara dan mereka belajar banyak daripada itu,” ujarnya.  

Pada masa sama, Sew Hoy mengajar anak-anaknya nilai wang selain menerangkan apa tugasan dan perniagaan dijalankan.

“Saya mengajar mereka mengapa saya bekerja keras. Ya, ia untuk membuat wang tetapi ia bukan hanya untuk membeli makanan atau membelanjakannya.

“Semasa membuat wang, anda perlu membina sesuatu yang bernilai kepada orang ramai. Apakah masalah yang ingin anda selesaikan di dunia?” jelasnya.

2. Cipta kesusahan

Keusahawanan adalah mengenai penyelesaian masalah dan itu adalah sesuatu yang boleh dipelajari oleh kanak-kanak melalui kesukaran.

“Terdapat perbezaan antara usahawan hebat dan usahawan baik. Usahawan yang hebat adalah mereka yang akan bangkit secara berterusan kerana ia benar-benar sukar untuk menjalankan syarikat setiap hari.

“Jika kanak-kanak hanya mempunyai ‘perjalanan yang lancar’ di mana masalah sentiasa diselesaikan untuk mereka, mereka tidak akan belajar nilai itu.

“Jadi jika hidup kita menjadi terlalu mudah, saya akan mencipta kesukaran untuk anak-anak saya,” tegasnya.

Ini rahsia Sew Hoy mendidik anak-anaknya, bak kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya.

Mungkin anda memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang yang diminatinya.

Namun, tak salah jika anda cuba mendidik dan mencungkil bakat niaga anak-anak.

Artikel terbaru

Leave a Reply