2 Kejayaan Yang Perlu Ada Dalam Kehidupan & Perniagaan

2 Kejayaan Yang Perlu Ada Dalam Kehidupan & Perniagaan

Sejak kecil lagi kita telah melalui banyak proses dalam kehidupan dan mencuba untuk melakukan banyak perkara-perkara yang baru. 

Pencapaian demi pencapaian kita lalui dan ianya sudah menjadi seperti satu kewajipan. Proses yang kita lalui inilah yang dipanggil proses pembelajaran sepanjang perjalanan kita membesar menjadi orang dewasa. 

Setiap kali kita berjaya melakukan sesuatu perkara buat pertama kali, pasti kita akan berasa sangat gembira. 

Rasa takut? Jauh sekali. Pada kita ketika itu, kalau orang lain boleh mengapa kita tidak? Apatah lagi bagi mereka yang ada sokongan daripada ibubapa.

Pencapaian terbaik dan matlamat yang jelas

Kejayaan adalah pencapaian terbaik ke atas suatu perkara yang kita usahakan. Yang terbaik itu tak semestinya seperti yang kita harapkan, namun ianya lebih baik daripada sebelum ini. 

Kita mungkin tak gembira, namun jika ada matlamat yang jelas, kita akan mencari kebaikkan di sebalik kejayaan tersebut.

Kejayaan menjadi lebih kompleks apabila dewasa kerana kita mula membina pelbagai impian yang lebih besar. 

Jika sewaktu kecil kita mempunyai impian membina rumah pasir di tepi pantai, bila dewasa kita mula berimpian untuk memiliki rumah besar yang lebih sukar untuk direalisasikan.

Untuk mencapai kejayaan, kita perlu tahu apa matlamat, apa ukuran kejayaan dan kenapa kita perlu berjaya. 

Kenapa ini perlu jelas untuk membuatkan kita terus berusaha capai matlamat tanpa mengira apa cabaran yang dihadapi. Jika matlamat tidak jelas, makin sukar untuk kita nak capai kejayaan.

Mentor dalam bisnes

Dalam bisnes, matlamat lebih mudah dicapai dengan adanya mentor yang boleh memantau dan memberi tunjuk ajar dalam mempersiapkan diri untuk berjaya berdasarkan pengalaman bisnes yang telah mereka lalui. 

Mereka juga akan memastikan tindakan betul yang perlu kita ambil. 

Ketika inilah akan muncul fikiran negatif dalam minda.  Betul ke boleh berjaya, kalau tak belajarkan lebih mudah, nak patah balik ke permulaan dan macam-macam lagi. 

Sedar atau tidak, kejayaan utama adalah apabila kita mampu untuk melawan fikiran negatif yang bermain-main di minda ini. 

Kejayaan sebenarnya adalah perjalanan kita menggapai impian dan bukannya destinasi. Jika kita sampai ke garisan penamat, maka tercapailah segala impian.

2 jenis kejayaan

1. Kejayaan fizikal dan material

Kejayaan fizikal adalah kejayaan hebat yang membezakan kita dengan orang lain. Ada antara kejayaan fizikal ini boleh membawa keuntungan dari segi material dan kewangan kepada kita.  

Contohnya seorang ahli sukan yang hebat telah memenangi beberapa pertandingan. Beliau mendapat tajaan menjadi duta produk kesihatan dan menjadikannya memiliki kejayaan berbentuk material.

Kejayaan material pula menunjukkan bahawa pencapaian yang kita perolehi menjadikan taraf hidup kita berbeza daripada hidup sebelumnya. 

Dahulunya mungkin duduk di rumah flat, kini hidup mewah dengan kejayaan material yang dicapai. 

Ramai orang mempunyai impian untuk memiliki kejayaan dari segi material yang menjadi pendorong kuat kepada ramai orang. 

Kita mahukan rumah dan kereta seperti yang kita impikan, kita nak melancong ke luar negara tanpa had, malah kita mahu membeli barangan mewah sebagai koleksi peribadi. Inilah yang menjadi penanda aras kejayaan kita berbanding masa lalu.

Apa yang penting dalam kejayaan adalah hasil penat lelah dan usaha kita. Sedar tak sedar, banyak perkara yang kita korbankan untuk capai kejayaan seperti masa dengan diri sendiri, masa dengan Tuhan dan masa dengan keluarga. 

Setiap masa yang ada digunakan untuk capai impian, adakah ianya berbaloi? Adakah itu boleh dikira sebagai kejayaan sebenar?

Kejayaan kerohanian

Kejayaan juga boleh diukur dari segi kerohanian. Ia suatu yang penting dan perlu diberi keutamaan. 

Sebagai umat Islam, hidup ini bukan sekadar duniawi sahaja kerana  kehidupan yang sebenar adalah di akhirat kelak dan kekal. 

Segala kejayaan kita adalah milik Allah SWT yang menganugerahkan kejayaan kepada kita. Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal dengan kehendaknya. 

Untuk berjaya, kita perlu tahu apa keutamaan kita supaya kejayaan yang dimiliki adalah hasil tindakan yang terbaik.

Kejayaan kerohanian boleh dicapai apabila kita mampu untuk mendahulukan Tuhan dalam segala hal. 

Cuba tanya pada diri sendiri, adakah kita banyak luangkan masa untuk dekatkan diri kepada Tuhan? 

Apa gunanya kejayaan dan kekayaan jika kita tak mampu meluangkan masa untuk diri sendiri, keluarga dan yang paling penting dengan Tuhan.

Tanda sebenar kejayaan

Kesimpulannya, kita berjaya apabila kita mampu menikmati kekayaan dengan keluarga di samping membantu lebih ramai orang lain serta dapat mendekatkan diri kita dengan Tuhan supaya kita juga berjaya di akhirat kelak.

Artikel terbaru

Leave a Reply