Usahawan Tolak Rasuah

Usahawan Tolak Rasuah

Cuba anda sebagai usahawan bayangkan, bisnes dan jenama yang dibina beberapa tahun lamanya boleh ‘musnah’ ekoran perbuatan rasuah ini.

Masa dan tenaga yang dikorbankan untuk usahawan membina bisnes berjaya pastinya terjejas ekoran perlakuan rasuah malah boleh jadi lebih teruk.

Rasuah sama ada memberi atau menerima merupakan perbuatan yang dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka…”

Mungkin untuk mahu mengambil jalan mudah, ada yang sanggup memberi dan menerima rasuah sedangkan ianya sangat ‘keji’ yang berkaitan soal integriti dan moral seseorang.

Menurut ilmuwan Islam, Ibn Khaldun telah mengaitkan rasuah dengan moral dan keinginan seseorang itu untuk mahukan kemewahan dalam hidup secara berlebihan mengakibatkan mereka yang ada kuasa untuk terjebak amalan rasuah.

Rasuah juga berlaku kerana kurangnya didikan agama, ceteknya iman, ketamakan, nafsu menjadi raja untuk kemewahan duniawi.

Sebab itu, dilihat syarikat-syarikat korporat termasuk bisnes malah kerajaan membuat polisi ‘No Gift Policy’. Hal ini bagi mencegah daripada kakitangan-kakitangan termasuk bos untuk tidak mempunyai konflik kepentingan antara mereka dan pihak lain seterusnya menjauhkan daripada perlakuan rasuah.

Bagaimanapun, apa yang agak membimbangkan dengan kajian Perepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sebab utama belia terjebak rasuah iaitu 55% sebab inginkan gaya hidup mewah.

Mereka mahu bergaya di luar kemampuan diri agar dipandang tinggi oleh rakan-rakan dan orang lain.

Kesan Buruk Rasuah

Perbuatan rasuah ini boleh menimbulkan kesan buruk kepada diri pelaku malah orang lain. Antaranya timbul ketidakadilan yang berlaku, pengabaian kepentingan masyarakat, kemerosotan ekonomi dan lain-lain.

Contoh ketidakadilan dengan orang yang sepatutnya menerima hak mereka tetapi dinafikan kerana gejala buruk itu.

Apatah lagi, duit rasuah yang diberi atau diterima adalah tidak berkat daripada sumber yang haram. Apa akan jadi kepada anak-anak dan keluarga pelaku yang diberikan daripada sumber itu?

Justeru itu, kita sebagai usahawan hendaklah terus istiqamah dan berusaha dalam bisnes dijalankan dengan jujur dan amanah. Jangan kerana mahu mencapai sesuatu sasaran sanggup bertindak di luar batasan termasuk rasuah. 

Ingat tujuan bisnes kita jalankan untuk memberikan manfaat dan membantu orang lain. Kita berusaha sebaiknya dengan ilmu, sistem, strategi dan MenThor yang membimbing untuk berjaya serta bersyukur & berserahlah kepada Allah SWT apapun hasil yang diperolehi nanti.

Kita bukan hanya nak menjadi usahawan berjaya di dunia malah di akhirat kelak.

Artikel terbaru

Leave a Reply