Usahawan Tak Boleh Abai Kesihatan. 3 Tips Untuk Gaya Hidup Sihat

Usahawan Tak Boleh Abai Kesihatan

Kesihatan yang baik kunci perniagaan yang berjaya. Sebab itu, usahawan tak boleh abai kesihatan diri mereka malah keluarga dan team. Mereka boleh alami burnout atau kepenatan teruk, lesu dan kesihatan merosot boleh dialami jika mengabaikan kesihatan mereka.

Jika anda tak sihat, tak bertenaga macam mana nak menguruskan team malah pelan untuk membina sebuah bisnes yang berjaya.

Hal ini boleh menyebabkan usahawan lagi tak ada masa dan tenaga untuk mendapatkan diet seimbang dan gaya hidup yang sihat. Perkara ini berlaku apabila usahawan berpandangan bahawa kejayaan hanya boleh dicapai dengan kerja keras dan motivasi diri yang kuat.

Tidak dinafikan perkara ini membantu usahawan untuk berjaya namun mereka lebih mudah terlalu fokus dalam kerja seharian dan mengabaikan kesihatan diri bagi mengembangkan bisnes.

Usahawan Tak Boleh Abai Kesihatan Elak Rugi

Sehubungan itu, bagi mewujudkan keseimbangan dan gaya hidup sihat sebagai usahawan, anda perlu jadikan kesihatan sebagai antara perkara utama.

Ia dapat bantu mengelakkan anda dan bisnes daripada mengalami masalah ekoran tak ambil peduli soal kesihatan. Jangan ambil mudah kesihatan ini, usahawan perlu komited untuk buatkan kesihatan menjadi antara keutamaan dalam diri dan bisnes anda.

Bagaimanapun masalah untuk menjaga kesihatan di sini bukannya sebab tak tahu caranya, cuma lebih kepada bagaimana nak jadikan ia sebagai habit atau tabiat.

Habit hanya berlaku apabila usahawan itu sudah terbiasa dan melakukannya secara konsisten. Maka hasilnya lebih baik dan memberikan manfaat bukan saja kepada diri sendiri malah dapat mempengaruhi team anda.

3 perkara asas untuk menjaga kesihatan iaitu dengan bersenam, menjaga makan dan tidur. Nampak mudahkan? Tapi susah untuk dilakukan bagi kebanyakan daripada kita.

3 tips untuk gaya hidup sihat :

  1. Tidur yang cukup

Tidur sangat kritikal untuk anda dapat memulakan hari baru dengan efektif menjalankan bisnes. Anda memerlukan tidur yang berkualiti, deep (dalam) dan tanpa gangguan.

Tidur yang buruk dapat menjejaskan hari anda. Sedangkan sebagai usahawan, anda perlu membuat keputusan-keputusan penting dan tindakan berkenaan.

Mengikut Pakar tidur, Michael Breus memberitahu bahawa butang snooze merupakan ciptaan terburuk bagi tidur.

Jelasnya, hal ini kerana dengan anda menekankan butang snooze – ia hanya berikan tidur yang ringan dan tak berkualiti buatkan anda merasa ‘mamai’ atau pening-pening.

Justeru itu, selepas ini pastikan tiada lagi menggunakan butang snooze untuk diri anda.

  1. Bersenam

Bersenam penting yang secara tak langsung mempengaruhi kesihatan mental. Ia dapat menguatkan fizikal anda dan melindungi daripada penyakit. Disamping itu, ia berikan lebih stamina untuk dapat bertahan lama apabila suatu tugas perlu disiapkan segera.

Bersenam juga dapat membuatkan usahawan lebih tahan lasak. Contohnya ketika anda membuat joging. Mungkin pada awalnya, nak joging sejauh 3 kilometer pun sudah tak larat.

Tapi bila dilakukan secara konsisten, cabaran awal itu sudah tak menjadi masalah dan anda sudah boleh joging tanpa berhenti pun.

Perkara sama juga berlaku dalam bisnes, mungkin jualan yang disasarkan tak dicapai atau berlaku kerugian. Anda tak berhenti di situ, belajar daripadanya dan lihat macam mana nak perbaiki untuk capai sasaran itu serta menghasilkan keuntungan.

  1. Jaga pemakanan

Ingatlah bahawa pelbagai jenis penyakit bermula daripada perut.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan” (Riwayat Ad-Dailami).

Rasulullah SAW mengamalkan sunah makan tidak sampai kenyang sehinggalah kewafatan Baginda.

Justeru itu, selain makan makanan yang seimbang usahawan juga perlu berhenti sebelum kenyang yang dapat elakkan kita berasa malas dan kurang produktif ekoran terlebih makan.

Imam Al-Ghazali pula mengumpamakan perut yang terlalu kenyang bagai pohon yang di siramkan air secara berlebihan. Batangnya akan rapuh dan akarnya akan mereput. Perut yang sentiasa kekenyangan akan menjadikan otak lembab serta menggelapkan hati.

Ini akan mengakibatkan fikiran tertutup seterusnya hati menjadi berat ketika dibawa untuk berfikir. Hati yang keras akan menyukarkan diri melawan nafsu dalam melakukan amal baik.

Kepentingan kesihatan dalam kehidupan

Kekurangan tidur, makanan tak seimbang, terlebih bekerja dan kekurangan bersenam merupakan faktor-faktor yang membawa kepada stress dan akhirnya menjadikan sesuatu penyakit.

Oleh itu, bukankah lebih baik bagi kita mencegah dahulu, sebelum perlu merawatnya. Apabila sudah sakit, maka usahawan sendiri akan merana seperti tak boleh bekerja, prestasi menurun, kurang tenaga dan sebagainya.

Lagi parah, usahawan burnout, kepenatan hingga ambil keputusan untuk berhenti atau menyaksikan bisnes stuck.

Tapi ada sakit di luar kawalan walaupun penjagaan kesihatan telah dibuat, itu kita harus terima dan redha dengan ketentuan Allah SWT. Mesti ada hikmah dalam setiap kejadian itu.

Namun kita mempunyai pilihan untuk merendahkan risiko daripada mendapatkan penyakit. Ia memerlukan usahawan untuk menjaga diri bukan saja soal fizikal malah minda.

Artikel terbaru

Leave a Reply