Tahun 2024 menjadi saksi kepada kejayaan luar biasa para usahawan Titanium di bawah bimbingan RichWorks International Sdn. Bhd. dengan hasil jualan mencecah RM2.9 bilion, peningkatan sebanyak 13.9% berbanding RM2.6 bilion tahun sebelumnya.
Usahawan Titanium RichWorks catat hasil jualan tinggi
Kehebatan lebih 200 usahawan Titanium ini bukanlah sesuatu yang terjadi secara tiba-tiba. Ia adalah hasil daripada impian yang diperjuangkan, usaha berterusan dan bimbingan yang tepat.
Sebahagian besar mereka telah mencapai tahap jualan RM10 juta hingga RM500 juta setahun sejak 2021. Mereka datang dari pelbagai industri, masing-masing berjaya menjadi pilihan utama pelanggan di Malaysia dan luar negara.
Bagi Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, kejayaan ini adalah bukti bahawa usahawan yang komited dan sanggup mengambil tindakan mampu mencapai tahap luar biasa.
“Mereka ini tidak hanya bermimpi, tetapi mereka bertindak. Mereka faham bahawa kejayaan menuntut pengorbanan dan ilmu yang betul,” katanya.
Inner Circle Meeting – Titan Business Leadership Awards 2025
Salah satu acara paling berprestij bagi komuniti Titanium di RichWorks adalah Inner Circle Meeting – Titan Business Leadership Awards 2025 telah berlangsung di Hotel Courtyard, Melaka.
Majlis ini bukan sekadar satu perhimpunan biasa, tetapi sebuah platform di mana usahawan hebat berkongsi pengalaman, belajar daripada pakar industri dan meraikan kejayaan bersama.
Turut hadir dalam majlis ini ialah barisan kepimpinan tertinggi RichWorks termasuk Pengarah Eksekutif, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya; Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd.; Ketua Pegawai Bimbingan dan Pementoran, Hafiz Jasmi.
Kehadiran tokoh industri seperti Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dan Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Wira Dr. Radhuana Salleh turut memeriahkan acara.
Bukan itu sahaja, RichWorks turut mengundang rakan strategik dari luar negara seperti Ketua Pegawai Eksekutif RichWorks Indonesia, Ibu Aryani Firdaus dan Ketua Pegawai Operasi, Bapak Rizal Tarigan. Ini membuktikan bahawa jaringan RichWorks kini merentas sempadan, memberikan impak kepada usahawan di peringkat ASEAN.
Anugerah untuk Usahawan & Pasukan Mereka
Seramai 224 penerima anugerah daripada 198 syarikat diraikan pada majlis ini. Setiap satu daripada mereka diiktiraf atas pencapaian luar biasa yang telah mereka capai sepanjang tahun 2024.
Namun, kali ini, RichWorks membuat kelainan dengan turut memberi penghargaan kepada 173 kakitangan ahli Titanium yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu syarikat mereka mencapai kejayaan.
“Kami faham bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya bergantung kepada pemiliknya sahaja. Ia adalah hasil usaha satu pasukan. Oleh sebab itu, kali ini, kami mahu memberikan penghargaan kepada mereka yang bekerja keras di belakang tabir,” kata Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Lahirnya RichWorks Consulting Group (RCG)
Dalam majlis yang sama, satu pengumuman besar telah dibuat, iaitu penubuhan RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG). Entiti baharu ini akan berperanan sebagai syarikat perundingan strategik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpendapatan tinggi di Malaysia.
RCG diwujudkan khusus untuk membantu perniagaan yang telah mencapai jualan lebih RM1 juta setahun. Dengan pendekatan yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi, RCG bakal menjadi pemangkin pertumbuhan PKS di Malaysia dan negara ASEAN.
Matlamat utama RCG adalah untuk menjadi peneraju dalam bidang perundingan PKS di ASEAN dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan termasuk analisis prestasi operasi dan kewangan, pembangunan model perniagaan berimpak tinggi serta kepimpinan strategik.
Selain itu, RCG juga akan berkolaborasi dengan agensi kerajaan dan swasta bagi melaksanakan program transformasi PKS.
Sebagai langkah awal, RCG telah menetapkan sasaran untuk membimbing 500 PKS mencapai jualan lebih RM10 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, bermula dari tahun 2025 hingga 2030.
Business Success Bootcamp (BSB)
Menyedari cabaran yang bakal dihadapi oleh usahawan pada tahun ini, RichWorks akan menganjurkan program khas Business Success Bootcamp (BSB) pada 19 Februari. Program ini ditaja 100% dan bertujuan untuk membantu usahawan menghadapi sembilan krisis utama yang dijangka berlaku dalam tahun 2024.
RichWorks komited bimbing ramai usahawan
Kisah kejayaan usahawan Titanium bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa dengan ilmu, bimbingan dan tindakan yang betul, sesiapa sahaja boleh mencapai tahap luar biasa.
RichWorks terus komited dalam membimbing lebih ramai usahawan untuk mencapai impian mereka dan membawa perubahan kepada landskap ekonomi Malaysia.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program bimbingan RichWorks atau menyertai Business Success Bootcamp, layari www.richworks.com/bsb.