TOTAL LOCKDOWN 3.0 FASA PERTAMA: JIKA INI PELUANG TERAKHIR, APA PERANAN RAKYAT MALAYSIA?

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram

Pada 28 Mei di hari Sabtu yang lepas, rata-rata rakyat Malaysia seakan menjadi kelu seketika saat melihat angka kes jangkitan Covid 19 telah mencecah 9,020 orang.

Walaupun untuk hari seterusnya, kes jangkitan ini telah menunjukkan penurunan, namun kita sedar bahawa risiko peningkatan berulang tidak dapat dielakkan jika kita merujuk pada 72,618 kes aktif yang ada. Pada masa yang sama, terdapat 844 kes adalah di ICU dengan 98 kematian menjadikan jumlah korban adalah seramai 2,650 orang.

Ekoran situasi kes yang meruncing ini, akhirnya kerajaan telah mengumumkan untuk melakukan Total Lockdown 3.0 Fasa Pertama atau penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi diikuti beberapa fasa lain yang akan diumumkan kelak.

Dari reaksi semua rakyat Malaysia, mereka tiada pilihan selain dari menyokong langkah ini. Kita semua tahu inilah langkah terbaik mengekang penularan tempatan seperti yang pernah kita lalui dulu.

Namun di sebalik sokongan ini, rata-rata antara kita tidak dapat mengelak untuk merasa cemas, bimbang dan mungkin juga marah. Pandemik ini telah meragut bukan sahaja nyawa insan sekeliling dan kebebasan kita tetapi juga memberi kesan pada ekonomi dan psikologi rakyat. Namun begitu, seiring dengan kapasiti hospital yang meruncing dan para barisan hadapan yang kepenatan, ini sahaja harapan yang kita ada.

Lalu apa yang harus kita lakukan untuk memastikan kita semua berjaya untuk kali ini?

JANGAN PANIK SEBELUM MELAKUKAN SESUATU

Pasti ramai yang merasakan Lockdown dan kes pandemik yang tinggi akan memberi impak pada semua orang tak kira kerajaan atau rakyat. Sebenarnya, kita boleh membuat andaian dan apa sahaja anggaran namun harus juga bijak bertindak. Rakyat Malaysia perlu cuba untuk tidak panik dan kembali bersemangat memastikan pengorbanan kali ini tidak sia-sia.

Jika inilah peluang kita yang terakhir, inilah saatnya kita memberi yang terbaik bukan panik semata-mata. Bertenang dan berusahalah dengan memberi kerjasama pada SOP dan langkah pencegahan lain walau apa situasi politik yang kita hadapi.

Panik adalah cetusan daripada ketakutan dan perkara ini mendorong pada fikiran dan persepsi yang salah pada sesuatu situasi termasuklah pandemik. Panik akan membuatkan tersebarnya fakta dan berita palsu yang tidak memberi manfaat di situasi sekarang.

LUPAKAN SILAP SIAPA DAN MAJU KE HADAPAN

Ini penting agar kita tidak mensia-siakan pengorbanan kali ini dengan saling menyalahkan tanpa melakukan apa-apa. Kita memerlukan keikhlasan jitu bukan kemarahan yang membawa pada rasa memberontak antara kita semua seterusnya perpecahan.

Lihat pada apa yang kita ada di tangan sekarang. Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan pakej bantuan PEMERKASA yang berjumlah RM40 bilion untuk prasarana hospital, perubatan, mempercepatkan proses vaksinasi, menambah bilangan kontrak barisan hadapan dan pelbagai pakej bantuan sara hidup dan ekonomi yang lain.

Hargai  pemberian ini dengan hati terbuka. Sasaran kita adalah untuk guna kelebihan ini supaya kita menang. Bukannya mencari-cari salah yang tidak memberi apa-apa faedah pada semua.

MELIHAT PELUANG DALAM SETIAP MASALAH

Memang benar kita berada di situasi yang sangat meruncing. Malaysia berada di tangga kelima jangkitan harian tertinggi di Asia selepas India, Iran, Turki dan Nepal. Ini sangat memalukan memandangkan kita pernah menjadi yang terbaik sebelum ini. Namun kita harus cuba melihat semua ini sebagai peluang walaupun sukar.

Ini peluang untuk kita jadi lebih baik. Ini peluang untuk kita fokus pada hasil bukan pada masalah semata-mata. Memang tidak mudah untuk berfikir positif saat ini namun kita boleh mencuba. Pandang pada apa yang kita ada di tangan. Sebenarnya, semuanya ada di hadapan mata kita.

Apa yang kita boleh belajar dari negara yang kadar rakyatnya telah menerima vaksin lebih tinggi? Patutkah tidak mengambil vaksin bila dipanggil?

Saya beri contoh pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan negara kita. Saya telah menerima pelbagai reaksi dari orang luar mahupun saudara dan keluarga sendiri tentang vaksin ini. Malah pada minggu lepas, saya dan saudara mara saya berbincang beramai-ramai di dalam kumpulan aplikasi WhatsApp kami.

Mereka menyatakan bahawa mak cik saya yang dah tua berumur hampir 80 tahun telah mendapatkan vaksin Covid 19. Walaupun giliran saya belum diputuskan untuk vaksin ini, tapi saya rasa bagus mereka pergi selepas dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rasa bangga apabila mereka yang berusia emas ini memberi kerjasama dan hadir janji temu vaksin tersebut.

Pada masa yang sama, ada beberapa orang kenalan dan saudara saya di Melaka dan Perak yang berkongsi tentang keadaan di Pusat Pemberian Vaksin. Ianya termasuk fenomena betapa ramainya kaum lain seperti Cina yang berpusu-pusu beratur mengikut giliran untuk mendapatkan vaksin. Malangnya, ramai daripada kalangan bangsa saya yang tidak hadir walaupun dipanggil. Menurut mereka, jumlahnya saja mencecah 60 peratus.

Saya tidak tahulah betul ke tidak apa yang mereka kongsikan kerana ada yang sudah beberapa kali ke beberapa pusat vaksin membawa ahli keluarga mereka dan itulah fenomena yang dilihat. Jika ia tidak benar, baguslah. Ia akan membantu proses pemulihan kita dari pandemik ini, Insha Allah.

Tapi kita perlu sedar dan sentiasa beringat. Situasi ini adalah amat membimbangkan dan berisiko kerana kita adalah golongan majoriti. Walaupun tiada kepastian tentang fenomena ini, namun ianya adalah aduan umum yang kerap didengar sekali gus perlu untuk kita ambil kira dan kaji lebih dalam.

Semua tahu bahawa vaksin adalah langkah untuk mencegah bagi mencapai imuniti berkelompok. Kita perlu bersatu menggunakan peluang ini bukan menakut-nakutkan orang ramai dengan konspirasi yang belum tentu sahih. Pandang pada fakta sebenar bahawa ini adalah satu usaha mencegah pandemik. Malah, vaksin itu sendiri adalah mahal harganya di pasaran namun kita diberikan dengan percuma.

Melalui bantuan PEMERKASA, kerajaan telah mensasarkan 150,000 suntikan vaksin dalam sehari pada seluruh rakyat Malaysia khususnya Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang untuk bulan Oktober dan seluruh Malaysia untuk bulan Disember. Bukan itu sahaja, jumlah sukarelawan, pandu lalu vaksin dan bantuan untuk mencapai kawasan pedalaman juga diberikan untuk sasaran kali ini.

Lihat perkara ini sebagai berita baik. Jika ini pilihan yang kita ada, gunakan dengan bijak.

JANGAN MENJADI NILA YANG MEROSAKKAN SUSU SEBELANGA

Maaf jika perumpamaan ini agak kasar namun inilah hakikatnya. Memang benar kita semua penat namun apa yang penting adalah fokus untuk membuatkan kita semua bersatu. Fokus untuk menyebarkan kebaikan antara kita bukan menambah kekusutan dan keresahan yang sedia ada.

Kita tahu, penat dan situasi pandemik yang berpanjangan membuatkan ramai yang membuat andaian tersendiri. Adakalanya, andaian ini tercetus dari artikel dan siaran media sosial yang tidak memberi faedah seperti fakta palsu atau hoax tentang pandemik.

Lihat saja kesannya pada situasi vaksin yang saya kongsikan tadi. Saat merebaknya hoax dan berita palsu itu, ramai yang akan bertambah takut. Apa lagi jika ianya tersebar dari mulut ke mulut dan sampai ke kampung-kampung yang tiada capaian internet untuk memeriksa kesahihan? Bagaimana pula jika berita ini sampai pada warga emas di sana?

Saya pasti inilah puncanya terjadi ramai warga emas tidak hadir di Pusat Pemberian Vaksin. Lihat saja baru-baru ini apabila media melaporkan bahawa 10,000 orang di Kelantan tidak menghadirkan diri ke janji temu suntikan vaksin dan 10,800 pula di Kedah.

Mereka telah mendaftar (mungkin didaftarkan oleh anak-anak) namun tidak menghadirkan diri di fasa yang mengutamakan warga emas ini. Kebanyakan mereka tidak pandai menggunakan telefon pintar dan dalam keadaan anak-anak tidak dibenarkan merentas negeri, mereka pastinya lebih memerlukan dorongan dari kita semua.

Bayangkan jika mereka menjadi mangsa Covid ini? Sanggupkah kita melihat mereka bersendirian di pusat kuarantin negara dalam keadaan keliru dan takut? Sanggupkah kita melihat mereka bertarung nyawa sendirian tanpa ditemani ahli keluarga melainkan hanya panggilan telefon yang mungkin menjadi panggilan terakhir kita untuk mereka?

Jadi, jangan menjadi mereka yang menyebarkan sesuatu yang tidak memberi manfaat pada keluarga, bangsa apa lagi negara. Saat ini, kita perlu saling mendorong, memberi semangat dan bersatu melawan musuh yang satu ini.

JIKA SEMUA INI TIDAK MAMPU MEMBUKA MATA, LALU APA LAGI?

Kes Pertama:

Seorang kanak-kanak lelaki menjadi yatim piatu dan gelandangan setelah ibu dan ayah meninggal kerana Covid 19 pada Januari lalu. Dia yang ditemui di jalanan itu oleh Penceramah Bebas Ebit Liew akhirnya dibantu dari segi pendidikan dan diberi penginapan. Menurut anak kecil ini, dia mahu belajar agama agar dapat bertemu ibu dan ayahnya di syurga – Kosmo (4/05/2021)

Kes Kedua:

Kerana rindukan anak, seorang lelaki tekad berjalan kaki dari Johor ke Terengganu untuk menemui anaknya itu. Namun hajat tidak kesampaian apabila beliau rebah tidak sedarkan diri di pertengahan jalan di Muadzam Shah, Kuantan . Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa mangsa berumur 30 tahun itu positif Covid – Berita Harian (14 Mei 2020)

Kes Ketiga:

Seorang anggota polis Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid 19. Kejadian berlaku ketika anggota tersebut sedang kuarantin kendiri di rumahnya di Klang. Arwah berusia 53 tahun dan mempunyai lima orang anak – MalaysiaKini (28 Januari 2021)

Kes Keempat:

Tular satu rakaman audio panggilan telefon seorang lelaki yang menangis hiba saat menyambut panggilan telefon petugas kesihatan yang memaklumkan isterinya meninggal dunia ketika di hospital akibat Covid 19. Lebih memilukan, kedengaran latar belakang suara anak-anaknya yang berusia 6, 9 dan 12 tahun turut menangis bersama beliau – Sinar Harian (10 Mei 2021)

Kes Kelima:

Tular rakaman panggilan video sebuah keluarga besar menangis teresak-esak memanggil ibunya yang sedang nazak akibat dijangkiti Covid 19. Walaupun ibunya tidak memberi reaksi namun mereka tidak putus-putus berdoa dan meminta keampunan sebelum sempat mengajar ibu mereka mengucap. ‘Mak, buka mata mak. Mengucap…’ ujar salah seorang dari mereka membuatkan rata-rata netizen sebak melihat video tular tersebut – (OhBulan! (26 Mei 2021)

Kes Keenam:

Seorang anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran kehilangan ibu bapa dan adik bongsunya akibat jangkitan Covid 19. Lebih memilukan, adik iparnya dan juga anak buahnya yang masih bayi turut disahkan positif. – Sinar Harian (23 Mei 2021)

Ini semua adalah kes benar. Belajarlah pada kejadian yang menimpa sekeliling kita. Pandemik bukan perkara remeh yang kita jadikan gurauan dan mentertawakan pilihan masing-masing.

Sangat menyedihkan saat saya melihat laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia terpaksa menutup ruang komen dari mereka yang tidak percaya pandemik ini. Mereka dengan sewenangnya mentertawakan setiap siaran di laman tersebut walaupun ianya mengisahkan kematian atau kepenatan para petugas kesihatan.

Betapa pemikiran salah ini telah melenyapkan rasa simpati dan kemanusiaan dalam diri. Bukalah mata dan belajar dari situasi yang menimpa orang lain agar tidak berulang pada kita dan ahli keluarga.

BUKAN SAHAJA KITA JAGA KITA TETAPI HANYA KITA YANG MAMPU MENGUBAHNYA

Alhamdulillah, sepanjang 13 tahun saya diberi peluang dan telah berpengalaman mendidik ratusan ribu usahawan di Malaysia melalui seminar-seminar untuk memastikan anak bangsa maju dan berjaya.

Walaupun ramai yang telah terbukti mampu mengubah hidup dan mencapai kejayaan di bawah kelolaan saya dan RichWorks, namun  saya juga menyedari bahawa tidak ada usahawan yang berjaya berubah jika dia sendiri tidak mahu berubah.

Begitu juga dengan situasi kita sekarang.

Jika benar kita mahu menang dan memastikan kita mendapat kembali kebebasan dulu, kita sahaja yang mampu mengubahnya. Semuanya bermula dari diri kita. Bermula dari mematuhi SOP, mencapai imunisasi berkelompok, menghargai kemudahan perubatan dan sara hidup yang kita ada dan bersatu, semuanya bermula dari kita sendiri.

Malah jika pandemik ini berjaya lenyap, hanya kita sendiri yang perlu berubah untuk memastikan ianya tidak berulang dengan tidak bersikap leka dan selesa baik bagi pihak kerajaan mahupun individu.

Saya telah menerima pelbagai aduan dan keresahan para usahawan dan peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang saban hari semenjak bermulanya PKP 1.0 tahun lepas hingga ke Lockdown Fasa Pertama 3.0 tahun ini. Saya mengajak mereka untuk melihat masalah ini sebagai peluang dengan berkongsi pelbagai tips, nasihat dan bimbingan agar mereka tidak putus asa dan bangkit.

Tiga hari lepas, pada 30 Mei 2021, melalui program RichWorks, kami telah lancarkan Business Bootcamp 101 – Mula Dari Kosong, Siri Khas “Total Lockdown: MCO 3.0” selama 12-hari sepanjang lockdown pertama ini.

Bermula 31 Mei hingga 12 Jun 2021 selama 12-hari tanpa henti kecuali Ahad, jam 9 malam saya sendiri akan berkongsi dengan anda cara bina bisnes yang berjaya dan bagaimana usahawan boleh survive pandemik 3.0 ini.

Jangan risau jika anda baru nak mula dari kosong. Kami nak bantu anda bina dan kukuhkan kewangan dengan ilmu bisnes yang tepat, 100% Percuma, 100% Kebajikan ditaja oleh RichWorks sepenuhnya.

Jika sepanjang tahun 2020 kami berjaya bantu dan beri impak pada 400,000 peserta melalui program virtual online percuma dan Klinik Usahawan, begitu juga harapan saya pada seluruh rakyat Malaysia untuk kali ini.

Tabahkan hati, kuatkan semangat dan lihat semua ini sebagai peluang dari Allah Yang Maha mengetahui. Dialah yang melorongkan segala perkara dan urusan dalam kehidupan kita. Kita yang perlu sentiasa beringat, bersyukur dan bersangka baik dengan Allah dalam apa jua keadaan. Just Trust the Process!

Dan ini satu-satunya peluang untuk bersatu dan memastikan wabak ini lenyap dari tanah air.

“Ini PELUANG untuk kita BANGKIT dan BERJAYA, menunjukkan pada dunia bahawa Malaysia mampu bangun walaupun rebah berkali-kali. Kita adalah bangsa yang bersemangat waja bermula dengan laungan MALAYSIA BOLEH hingga ke KITA MESTI MENANG. KERANA KITA PASTI MENANG.

“Jadi jaga diri baik-baik dan berdoa semoga Allah SWT permudahkan segala urusan kita, barisan frontliners, keluarga dan negara kita.”

Salam & Take care,

DATUK WIRA DR. AZIZAN OSMAN – Covid Survivor

Business, Marketing & Leadership MenThor

RichWorks International

Kongsi artikel:

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

Kisah Inspirasi Pengasas WhatsApp

Kisah Inspirasi Pengasas WhatsApp

Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita, malah di dunia pasti ada menggunakan aplikasi, WhatsApp bagi berhubung antara satu sama lain. Tahukah anda, jumlah pengguna WhatsApp aktif

Agresif – Fast Action, Fast Result

Agresif – Fast Action, Fast Result

‘Fast action, fast result’.Jika anda nak berjaya dengan cepat, itu yang patut anda buat, betul? Jika anda main-main, nanti-nantilah, dan ingat-ingat lupa je apa yang

Pentingnya Respons Pantas Dalam Bisnes

Berapa cepat anda response PM pelanggan anda? Pernah tak bila anda lewat response, pelanggan anda terus komplen dan marah-marah anda? Anda fikir kenapa? Anda tahu,

Kunci Kejayaan Google

Kunci Kejayaan Google

Siapa tidak kenal Google, syarikat gergasi antarabangsa yang menjadi enjin carian utama bagi pengguna internet pada masa ini. Google ditubuhkan sebagai syarikat pada September 1998.