Selebriti berpengaruh dunia, Kylie Jenner dan Kim Kardashian yang mempunyai gabungan 686 juta pengikut di Instagram, memberitahu Instagram agar “berhenti cuba menjadi TikTok” menerusi muat naik Instastory di laman Instagram mereka.
Ini boleh menimbulkan masalah buat platform sosial milik Meta di waktu syarikat itu bergerak pantas dengan perubahan besar bagi membolehkan Facebook dan Instagram bersaing dengan TikTok.
Kembalikan Instagram Yang Dulu
Mesej yang dikongsi kedua-duanya bertulis; “Buat Instagram jadi Instagram kembali (berhenti mencuba untuk menjadi TikTok. Saya hanya mahu melihat gambar comel rakan saya). Sincerely, everyone.“
Memiliki kekayaan yang tidak habis ‘tujuh keturunan’, mereka juga mempunyai pengaruh kuat di media sosial dimana Kylie mempunyai seramai 360 juta pengikut di Instagram, manakala Kardashian mempunyai 326 juta.
Pada 2018, selepas Kylie membuat ciapan di Twitter bahawa dia tidak lagi menggunakan Snapchat selepas reka bentuk semula aplikasi itu, nilai stoknya dengan pantas jatuh lebih daripada 8% pada hari itu. Anggaran kerugian pada masa itu melebihi $1 bilion dalam nilai pasaran.
Ini sememangnya waktu yang mencabar buat Meta. Minggu lalu, syarikat itu mengumumkan reka bentuk semula buat aplikasi Facebook yang memperkenalkan tab ‘home’ sebagai feed utama yang mempunyai banyak persamaan dengan TikTok.
Ia adalah suatu ciri berasaskan algoritma yang mengutamakan kandungan menghiburkan yang ingin dilihat oleh pengguna, walaupun daripada orang yang tidak dikenali berbanding kemas kini status rakan anda.
Perubahan Demi Perubahan
Seperti TikTok, ia direka untuk memastikan orang ramai kekal berada di Facebook selama yang mungkin. Kemas kini daripada rakan akan ditemui dalam tab lain yang dipanggil feed.
Bagi Instagram pula, Meta mengumumkan bahawa mana-mana video yang disiarkan pengguna di bawah 15 minit akan menjadi reel secara automatik dan mungkin layak untuk disyorkan dan dilihat oleh lebih ramai orang.
Instagram telah pun membuat perubahan tersebut terlebih dahulu sebelum pengumuman itu. Pada bulan Mac, mereka telah memperkenalkan butang ‘favourite’ dan ‘following’, yang merupakan pilihan feed utama untuk melihat apa yang dimuat naik oleh orang yang anda ikuti.
Dalam pengumumannya, mereka berkata, “Dari masa ke semasa, kami akan menambah lebih banyak pengesyoran pada feed berdasarkan minat anda.”
Jika itu kedengaran seperti TikTok buat anda, ternyata anda tidak bersendirian kerana Kylie Jenner dan Kim Kardashian juga bersependapat mengenainya.