Matlamat sangat penting dalam meningkatkan kerjaya anda dan mencapai pencapaian yang tertentu.
Matlamat juga boleh ditetapkan apabila anda menerima tugas atau projek tertentu dan ingin fokus kepada hala tuju tugasan ke arah yang terbaik.
Matlamat boleh ditetapkan ke arah keinginan untuk naik pangkat, kreativiti, pendidikan dan pelbagai cara lain untuk meningkatkan kehidupan serta kerjaya anda.
Mengapa matlamat penting?
Matlamat memberi anda rangka kerja untuk mencapai segala pencapaian yang penting dalam melakukan atau menyelesaikan perkara-perkara tertentu dalam hidup sebagai permulaan yang baik.
Terdapat 2 jenis matlamat yang anda perlu pertimbangkan.
1. Matlamat jangka panjang
Biasanya matlamat yang besar yang ingin dicapai dalam masa beberapa tahun. Anda perlu menetapkan matlamat jangka pendek untuk dicapai dalam mencapai matlamat jangka panjang.
Matlamat jangka panjang adalah seperti ingin mendapatkan kerjaya yang bagus, mahu kenaikan pangkat atau ingin menyelesaikan projek dalam masa yang tertentu.
2. Matlamat jangka pendek
Matlamat ini lebih mudah dicapai berbanding matlamat jangka panjang yang lebih besar. Anda boleh menganggap matlamat jangka pendek sebagai batu loncatan kerana ia biasanya wujud dalam jangka masa yang singkat, di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
Sebagai contoh, ingin bangun awal, ingin menjadi yang terawal ke tempat kerja dan ingin menyelesaikan tugasan hakiki dalam masa yang singkat.
Tetapkan matlamat peribadi
Menetapkan matlamat ini dapat membantu anda mencapai pencapaian peribadi untuk memajukan diri anda. Menetapkan matlamat peribadi juga boleh membantu anda mencapai kejayaan dalam kerjaya.
Luangkan masa untuk menambah baik perkara yang anda inginkan dalam kehidupan peribadi membantu anda lebih fokus dan bertenaga di tempat kerja dengan memberi perhatian kepada keseimbangan kerja anda.
Antara contoh matlamat peribadi adalah, upgrade hobi kepada perkara yang lebih bermanfaat dalam kerjaya, tingkatkan kemahiran dan pengetahuan, menumpukan kepada membina dan memperbaiki hubungan, menyimpan untuk pembelian tertentu dan sebagainya.
Tetapkan matlamat profesional
Matlamat ini boleh membantu anda dalam menyelesaikan tugasan atau projek tertentu. Jika tempat kerja tiada rangka kerja yang khusus, mungkin anda sudah boleh mempertimbangkan untuk menetapkan matlamat kerjaya anda sendiri.
Jika bekerja sendiri, lebih mudah untuk anda menetapkan matlamat anda sendiri. Matlamat kerjaya anda perlu sesuai dengan situasi semasa anda dan cita-cita kerjaya jangka panjang yang lebih besar.
Antara contoh matlamat profesional adalah kenaikan pangkat, menyelesaikan masalah yang kompleks, menukar kerjaya atau industri yang lebih baik, mendapat pengiktirafan tertentu dan lain-lain lagi.
Bagaimana untuk menetapkan matlamat?
1. Jadikan matlamat lebih jelas
Sebagai contoh di mana anda ingin membuat suatu pembentangan. Daripada berkata “Saya nak buat yang terbaik” tukarkan kepada “Saya nak buat yang terbaik dengan komunikasi yang jelas dan dapat memberi inspirasi kepada penonton atau pendengar.
2. Tentukan bagaimana mengukur kejayaan
Dari jabatan jualan anda beralih kepada jabatan pemasaran. Dalam memastikan anda mampu menyelaraskan tugasan yang baharu, anda perlu menetapkan ukuran anda sebagai pembelajaran dan memfokuskan pada satu kemahiran setiap bulan.
3. Semak matlamat anda boleh dicapai atau tidak
Menetapkan matlamat yang boleh dicapai dalam jangka masa yang munasabah akan membantu anda mengekalkan motivasi dan fokus.
Anda perlu berusaha untuk memahami skop penuh matlamat anda lebih awal untuk memastikan ianya tercapai.
Jika anda mendapati bahawa matlamat tidak boleh dicapai kerana anda tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi, salah satu matlamat baharu anda adalah untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman.
4. Pastikan matlamat adalah relevan
Setiap matlamat yang anda tetapkan hendaklah relevan dan bermakna kepada anda dan membawa anda lebih dekat ke arah yang anda mahukan.
Anda perlu tahu, bagaimana matlamat ini boleh membantu, adakah matlamat ini menyumbang kepada matlamat jangka panjang dan mengapa ianya penting kepada anda.
5. Tetapkan tarikh mula dan tamat
Ini boleh membantu anda kekal bermotivasi dan mengikut jadual. Sebelum menetapkan tarikh tamat matlamat, pastikan anda meneliti semua peristiwa penting dan kemungkinan halangan yang mungkin anda hadapi sepanjang perjalanan.
Jika matlamat anda untuk naik pangkat, mungkin anda meletak target selama 6 bulan. Jika masih belum tercapai, anda mungkin memberi diri anda masa lanjutan atau mempertimbangkan semula sama ada matlamat anda boleh dicapai dan realistik.
Menetapkan matlamat peribadi dan profesional akan memberi laluan kepada kejayaan anda. Ini menunjukkan bahawa anda boleh menjadi pekerja yang fokus dan berorientasikan matlamat.