Menjalankan perniagaan yang penuh dengan pelbagai program, sesi menyumbangkan idea dan mesyuarat yang tak pernah habis memang sangat memenatkan. Namun jika hanya bersantai-santai di tempat kerja, tak mungkin dapat menyelesaikan cabaran bisnes yang sentiasa datang dan pergi.
Kesibukan ini boleh menjejaskan komunikasi anda bersama staf dan secara tak langsung menyebabkan mereka tak bersemangat untuk bekerja. Tambah lagi satu cabaran demi cabaran sehingga boleh membuatkan anda tertekan.
Tekanan yang berpanjangan bakal menyebabkan anda mudah marah, tak berpuas hati dan cepat berputus asa. Legakan tekanan anda dengan mengurangkan rasa bebanan kerja yang melampau.
Idea mengurangkan tekanan
1. Makan makanan sihat dan bersenam
Ramai usahawan yang terlalu sibuk sehingga mengabaikan waktu makan dan senaman. Bila rasa lapar, isi perut dengan makanan segera yang mudah didapati dan boleh dimakan di mana-mana sahaja.
Sedangkan makanan yang sihat, air minuman dan senaman adalah sangat penting untuk berjaya. Jika berjaya tapi tak sihat pun tak guna jugakan?
Andaikan anda ada kereta mewah, bila tiba masa untuk servis ke mana anda akan bawa? Ke bengkel tepi jalan atau ke pusat servis jenama kereta mewah anda? Sudah tentu anda pergi ke pusat servis untuk dapatkan servis yang terbaik.
Begitu juga dengan badan yang memerlukan penjagaan yang terbaik untuk kekal sihat. Badan yang sihat akan mengurangkan tekanan anda.
Selalu beri perhatian pada badan anda dan elakkan beri ganjaran pada diri sendiri dengan makanan yang tidak sihat. Luangkan juga sedikit masa anda untuk melakukan senaman ringan.
2. Amalkan penjagaan diri
Luangkan masa untuk diri sendiri dan dapatkan tidur yang cukup untuk memastikan badan dan minda berada pada tahap yang terbaik. Dah bekerja keras sepanjang hari, berilah ganjaran untuk diri berehat.
Sesekali pergilah keluar menonton wayang, dapatkan layanan di spa, sertai aktiviti sukan atau apa sahaja aktiviti yang anda sukai.
3. Selalu bersyukur
Sangat mudah untuk rasa kecewa dan marah pada orang lain apabila sesuatu yang berlaku tidak seperti yang kita mahukan. Tapi ingatlah, tiada siapa di dunia ini yang sempurna. Terima perkara yang berlaku.
Jika apa yang berlaku tak seperti yang kita inginkan, perbaiki sehingga puas hati. Jika sudah seperti yang kita mahu, tambah baik lagi agar menjadi yang terbaik. Bersyukur untuk setiap tindak balas, usaha yang dilakukan serta peluang yang diberikan.Sikap yang positif dapat mengurangkan tekanan anda.
4. Mempunyai matlamat yang jelas
Ada matlamat yang jelas adalah petunjuk bahawa anda ada hala tuju yang jelas tentang arah tuju hidup anda. Pastikan matlamat anda spesifik, boleh diukur, logik untuk dicapai serta masih kekal relevan. Lebih spesifik matlamat lebih besar kemungkinan anda untuk mencapainya.
Apabila anda mempunyai cita-cita yang tinggi, sukar untuk mengatakan tidak kepada peluang yang datang. Tetapi untuk elak tekanan dan berjaya capai matlamat, anda perlu tahu bila untuk berkata tidak. Bukan semua peluang adalah sesuatu yang baik untuk kita. Sebab itu dalam hidup ini kita diberikan pilihan.
5. Fokus pada perkara positif dalam setiap situasi
Ramai usahawan menerima cabaran sebagai cabaran sedangkan jika dilihat pada sudut yang positif, cabaran itu adalah peluang untuk cipta kejayaan demi kejayaan.
Pada mulanya ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perubahan boleh berlaku dari semasa ke semasa.
Di sinilah pentingnya ilmu. Orang yang berilmu selalu nampak peluang yang terhidang di depan mata. Jadikan ilmu sebagai peluang untuk anda maju jauh ke hadapan dan mengembangkan minda yang positif.
6. Sentiasa ingat anda tidak keseorangan
Sebuah bisnes tidak boleh berkembang maju tanpa pasukan yang hebat di belakangnya. Jangan takut untuk berkongsi tugasan dengan orang lain kerana tidak salah untuk mendapatkan bantuan orang yang lebih pakar dalam menguruskan suatu tugasan.
Ini akan memberikan anda banyak masa untuk melakukan perkara lain yang anda gemari selain dapat berkongsi rezeki bersama pasukan anda.
Tekanan boleh menjadi penghalang kejayaan
Sebenarnya tekanan juga boleh menjadi sebab usahawan nak buat yang terbaik untuk keluar dari tekanan itu sendiri. Namun jika tekanan yang berlebihan dan berpanjangan, ia akan menjadi penghalang kepada kejayaan usahawan.
Sebab tu penting untuk ketahui cara untuk melegakan tekanan anda. Jadi, idea yang mana satu anda nak mulakan dahulu untuk melegakan tekanan anda?