Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Apa Usahawan Boleh Belajar?

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Apa Usahawan Boleh Belajar?

Siapa tidak kenal seorang tokoh korporat dan billionaire, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang merupakan antara orang terkaya di negara ini. Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951 dalam keluarga yang sederhana yang berasal dari Hadhramaut, Yemen.

Siapa sangka, meskipun hanya mempunyai pendidikan tertinggi sehingga tingkatan 5 saja dan tidak pernah menyambung pengajian ke universiti boleh berjaya mencapai tahap kejayaan yang sukar dicapai orang lain. Pendidikan formalnya itu, tidak bermakna beliau kurang dengan ilmu pengetahuan.

Beliau mempunyai banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi daripada keusahawanan yang dimulakan ketika muda lagi. Ketika masih belajar lagi, beliau telah membantu menanam sayur dan menjualnya di pasar serta belajar merekodkan jual beli bisnes ketika membantu bapanya.

Tan Sri Syed Mokhtar orang 13 terkaya di Malaysia

Malah menurut Forbes, Tan Sri Syed Mokhtar berada pada kedudukan 13 dalam senarai orang terkaya di Malaysia pada 2020 dengan net worth berjumlah $1.2 bilion bersamaan RM4.98 bilion.

Ketika sudah besar, terserlah ciri keberanian dan keyakinan Tan Sri Syed Mokhtar. Contohnya, pada pertengahan 1980, projek mega yang diusahakan tergendala ekoran krisis ekonomi global mengakibatkan kerugian yang tinggi.

Kegagalan dalam projek mega itu, tak mematahkan semangatnya untuk kembali bangkit. Beliau mengadaptasi dengan keadaan ketika dan terus berusaha bagi mengembangkan bisnesnya.

“Saya telah melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap sekarang. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan dari kecil dan saya juga biasa ditipu.”

Tan Sri Syed Mokhtar

Sebarang kegagalan dan kerugian yang dialami membuatkan beliau lebih yakin dan berani dalam menguruskan aktiviti bisnes dengan lebih berhati-hati di masa hadapan.

Pengalaman yang diperolehi daripada penternakan yang diusahakan keluarganya hingga beliau dapat menukar bisnes daripada sebuah ladang penternakan kepada kedai runcit. Bukan itu saja, beliau telah mempelbagaikan bisnes seperti pakaian, beras, gula, pengangkutan dan logistik serta banyak lagi.

Sementara itu, beliau juga merupakan seorang dermawan yang banyak membantu orang lain. Melalui Yayasan Al-Bukhary Foundation yang ditubuhkan, telah membantu membina Muzium Kesenian Islam yang bernilai RM70 juta dan banyak masjid-masjid serta pertubuhan kebajikan di Perak, Kedah dan lain-lain.

Malah difahamkan, yayasan itu juga membiayai kelas bahasa Inggeris, sains dan matematik kepada lebih 20,000 pelajar kurang berkemampuan setiap tahun dan menaja biasiswa kepada lebih ratusan pelajar pada lebih 40 negara.

“Kaya itu adalah kepada kumpulan peniaga, kepada bangsa dan orang ramai. Saya hanya menjaga untuk sementara sahaja. Saya tidak ada keinginan untuk menyiapkan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya, tetapi amal yang saya lakukan sekarang”

Siapa di sini mahu menjadi seperti beliau, mempunyai harta dan memberikan semula dengan membantu dan infaq kepada orang lain yang memerlukannya. Moga amal dan kebaikan beliau dapat menjadi inspirasi kepada kita.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply