Tak Semua Trend TikTok Perlu Ditiru, Ada Yang Boleh Buat Mata Rosak!

Tak Semua Trend TikTok Perlu Ditiru, Ada Yang Boleh Buat Mata Rosak!

Doktor telah mengeluarkan amaran untuk tidak menggunakan minyak castor sebagai cara untuk merawat masalah penglihatan selepas ia menjadi tular di TikTok.

Minyak castor ialah sejenis minyak sayuran yang digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai masalah seperti jangkitan kulit. Ia juga merupakan bahan biasa dalam beberapa ubat titis mata yang dijual secara bebas dalam pasaran.

Namun begitu, berpuluh-puluh video TikTok yang tular telah mendakwa bahawa dengan menyapu minyak pada kelopak mata, bulu mata dan bawah mata dapat membantu merawat kekeringan, katarak, penglihatan yang lemah dan juga glaukoma.

Seorang wanita berkata bahawa selepas dua minggu penggunaan, dia tidak perlu memakai cermin mata membaca dengan kerap, manakala seorang lagi berkata ia menghalang jangkitan mata daripada terus merebak.

Kini, doktor di Amerika Syarikat membuat kenyataan bahawa “minyak itu tidak akan meresap masuk dan melarutkan atau merawat apa-apa”.

Mereka memberi amaran bahawa beberapa botol yang tidak disterilkan di rak kedai boleh menyebabkan kerengsaan atau jangkitan jika dimasukkan terus ke dalam mata.

“Minyak castor bukanlah ubat untuk semua. Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai mata anda, anda perlu berjumpa pakar optik,” kongsi Dr Ashley Brissette, jurucakap American Academy of Ophthalmology.

Beliau berkata mereka tidak boleh membuat cadangan kerana kajian bagi melihat kesan titisan mata yang mengandungi minyak castor pada mata kering dan blepharitis adalah berkualiti rendah serta melibatkan saiz sampel yang kecil dan tiada kumpulan kawalan.

Dr. Vicki Chan, pakar optik di Los Angeles menambah bahawa minyak castor tidak mempunyai kesan ke atas keadaan yang menjejaskan bahagian dalam bola mata.

Ini termasuk katarak, situasi yang terjadi berkaitan usia yang menyebabkan penglihatan kabur dan glaucoma yang berlaku apabila cecair terkumpul dan merosakkan saraf optik.

Dr. Brissette menambah bahawa mengabaikan gejala awal glaucoma atau menunggu untuk melihat minyak kastor memperbaiki keadaan seperti katarak, boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan penglihatan kekal atau komplikasi dengan pembedahan.

Anda tidak perlu mengikut petua yang mengarut sebaliknya makanlah makanan seimbang yang sihat, menanggalkan semua solekan sebelum tidur, memakai cermin mata hitam di luar rumah dan melakukan pemeriksaan mata berkala bagi mengekalkan kesihatan mata.

Usahawan yang menjalankan perniagaan di media sosial juga hendaklah memberi nilai yang terbaik buat para pelanggan dan mendidik mereka agar tidak mudah terpedaya dengan segala yang tular di media sosial.

Janganlah disebabkan sesuatu itu sedang tular maka kita pun mengambil kesempatan ke atasnya tanpa memikirkan kesan yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan nanti.

Jadilah penjual dan pengguna yang berhemah agar anda tidak menyesal di kemudian hari.

Artikel terbaru

Leave a Reply