Tak Ada Duit? Buat Apa Nak Pening…Guna 6 Cara Ini Untuk Mulakan Bisnes

Tak Ada Duit? Buat Apa Nak Pening…Guna 6 Cara Ini Untuk Mulakan Bisnes

Ramai orang nak mula buat bisnes sebab mereka tahu dengan berniaga akan dapat membantu tingkatkan tahap kewangan dan ubah kehidupan masing-masing. Namun, hasrat ramai orang terbantut apabila mereka terpaksa kuburkan impian mereka untuk berniaga disebabkan alasan yang nak mulakan perniagaan ini memerlukan modal yang besar.

Ramai yang percaya walaupun sekecil mana perniagaan tu, tetap memerlukan modal sebagai permulaan. Lalu sampai bila pun mereka tak akan mulakan perniagaan.

Secara logiknya kita faham dalam dunia ni memang memerlukan duit. Ada yang kata duit adalah segalanya. Memang betul, nak buat apapun perlu ada duit. Tapi ada satu perkara yang ramai orang silap atau terlepas pandang.

Duit memang perlu. Tapi tidak semestinya dari poket anda sendiri. Dunia sekeliling anda tidak pernah kekurangan duit. Sebab duit merupakan salah satu sumber perantaraan dalam melakukan apa-apa transaksi perniagaan dalam dunia sekarang.

Tetapi sebenarnya ada banyak cara lain untuk anda mulakan perniagaan tanpa gunakan modal yang besar, pendek kata tak perlukan modal langsung!

Ada 6 cara mudah yang anda boleh guna untuk mulakan perniagaan walaupun anda tiada duit.

1. Kekal makan gaji, mulakan perniagaan secara part-time

Ini cara yang paling mudah dan selamat untuk mula jalankan perniagaan dalam keadaan tak ada duit. Anda tak perlu berhenti kerja dan berikan tumpuan penuh untuk perniagaan yang nak dijalankan. Buat saja terlebih dahulu secara part-time. Gunakan gaji yang anda terima setiap bulan untuk sara kehidupan, beli keperluan lain dan sebagai perbelanjaan untuk menjayakan idea bisnes anda.

Ambil masa bina perniagaan perlahan-lahan. Asalkan anda boleh bahagikan masa dan tidak lari dari tanggungjawab yang diberikan dalam kerja makan gaji, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Yang pentingnya tak perlu buat pinjaman. Akan tiba satu masa, perniagaan anda akan membesar dan berupaya menanggung anda untuk berhenti kerja dan berikan tumpuan pada bisnes secara sepenuh masa.

2. Buat bisnes servis berdasarkan kemahiran yang ada

Fikirkan apa kemahiran peribadi yang anda ada? Jenis kemahiran yang boleh membantu orang lain yang memerlukannya. Ada banyak kemahiran yang ada permintaan dalam pasaran. Biasanya ia berkait rapat dengan aktiviti perkhidmatan dan bukannya produk fizikal.

Mungkin anda ada kemahiran menguruskan akaun perniagaan. Banyak syarikat kecil yang tak mampu gajikan pekerja tetap untuk urusan kemas kini maklumat kewangan perniagaan mereka. Cuba fikirkan satu kemahiran yang dah ada dalam diri dan fikirkan siapa yang memerlukan kemahiran itu sekarang. Jika ada, anda boleh segera mulakan perniagaan tersebut.

3. Mula jual barang yang anda tak guna

Cuba lihat sekeliling rumah, barang-barang yang masih boleh digunakan tapi anda dah tak perlu. Kumpulkan semua barang tersebut. Atau anda boleh war-warkan pada semua kawan, jiran dan satu kampung anda sanggup pergi kutip semua barangan yang mereka tak perlukan dan nak buang.

Ambil kesemua barang tersebut dan mula cari pelanggan yang sanggup membelinya. Untuk pastikan lepas ini orang akan cari anda setiap kali ada barang yang nak dibuang, berikan sedikit ganjaran pada pemilik asalnya setelah barangnya berjaya dijual.

4. Buat pertukaran barang atau servis

Buat konsep pertukaran barang atau servis. Cari peralatan atau barang yang anda perlu untuk mulakan bisnes tersebut, tawarkan apa-apa barangan atau servis yang pemiliknya perlukan. Contohnya, mungkin anda perlukan mesin potong rumput untuk mulakan servis potong rumput. Tentu ada orang yang memiliki mesin tersebut dan jarang gunakannya. Biasanya rumah jiran anda yang agak berada dan umur mereka dah lanjut.

Pergi tawarkan khidmat potong rumput sekeliling rumah mereka sampai bersih secara percuma dengan menggunakan mesin mereka. Tawarkan anda akan buat kerja itu secara percuma setiap bulan. Pertukarannya adalah anda akan simpan dan gunakan mesin potong rumput mereka.

5. Cari pelabur

Cari pelabur. Pastikan mereka sanggup melabur untuk idea bisnes anda itu. Buat persediaan yang mantap untuk persembahkan idea perniagaan anda sampai mereka rasa rugi kalau tak melabur.

6. Minta dari orang yang anda rapat

Ambil cara ini sebagai jalan paling terakhir. Sebab ia mengundang banyak keburukan dari kebaikan. Orang yang anda kenal rapat seperti saudara mara akan berikan anda duit bukan atas keyakinan idea perniagaan anda.

Tetapi mereka berikan lebih atas dasar kesian dan tak sanggup nak kecilkan hati anda. Pastikan sama ada bisnes anda berjaya atau gagal, anda berjanji akan bayar juga semua pinjaman tersebut dengan apa cara sekalipun. Bertanggungjawab dan jangan lari dari hutang!

Anda boleh pertimbangkan 6 cara yang telah dikongsikan, tetapi sebagai peringatan walau bagaimanapun anda betul-betul nak mulakan perniagaan biarpun tiada duit, jangan sesekali meminjam dari Ahlong atau buat pinjaman dari bank.

Artikel terbaru

Leave a Reply