Azdan Quranic Center : Nak Bantu Lebih Ramai Pandai Baca Al-Quran Dalam Masa Singkat

“Misi dalam beberapa tahun ini kami nak bantu lebih dari 100 ribu orang tunaikan kewajipan untuk boleh / pandai mengaji.”

Tuan Anas Azami, Pengasas Azdan Quranic Center

Pengasas Azdan Quranic Center, Tuan Anas Azami merupakan seorang bekas guru (KAFA) bagi sekolah rendah.

Apa yang membuatkan beliau bersungguh-sungguh untuk mengasaskan Azdan Quranic Center apabila ahli keluarganya sendiri yang lebih berusia pergi meninggalkan dunia dalam keadaan tidak lancar mengaji al-Quran.

“Saya rasa tak guna belajar agama bertahun-tahun kalau ahli keluarga sendiri pun saya tak boleh bantu. Apa yang membuatkan saya kuat hari ini adalah saya mampu bantu lebih ramai orang, pakcik, makcik, atok dan nenek orang lain untuk boleh mengaji.. ”

Apatah lagi, atas permintaan ibu bapa Tuan Anas sendiri, beliau mulakan misi dalam gerak kerja mengajar orang ramai untuk pandai membaca al-Quran.

“Saya ingat lagi dulu, pada waktu itu, saya dan ibu bapa keluarkan hampir kesemua simpanan kewangan untuk mula buka pusat pengajian di Sepang. Tetapi, ia tidak bertahan lama..”

Semangatnya tidak terhenti di situ, beliau juga pernah menganjurkan pengajian secara percuma di masjid-masjid dan sekolah. Beliau pernah dihalau, itu pengalaman yang paling beliau tidak boleh lupakan.

“Sangat sedih perasaan saya ketika itu. Pegawai masjid sendiri yang abaikan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat tentang al-Quran walaupun secara percuma..”

Apabila menyertai program yang dianjurkan oleh RichWorks, beliau banyak belajar teknik baru yang mampu membawa kejayaan untuk niat dan perniagaan beliau. Jika nak dibandingkan dengan dahulu, kini matlamat beliau lebih mudah untuk dicapai.

Dulu beliau hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai sehinggakan kadang-kadang dilayan seperti ‘pengemis’. Tapi hari ini, alhamdulillah beliau dan team sudah dapat membantu lebih ramai umat Islam untuk pandai membaca Al-Quran disamping menjana pendapatan lebih baik yang digunakan semula untuk beri manfaat kepada lebih ramai orang di luar sana.

Kini, hampir sepanjang masa proses pengajian al-Quran berlangsung. Beliau mampu menarik nafas lega apabila tanggungjawabnya untuk memastikan masyarakat celik terhadap agama tercapai.

Pencapaian Azdan Quranic Center

Selepas menyertai program mentoring SPIRE jualan Tuan Anas Azmi meningkat kepada RM506,845 dan berjaya mencapai RM1 juta pertama pada Julai 2020. Jumlah jualan yang berjaya dicipta pada tahun 2020 adalah sebanyak RM2.7 juta. Sehingga Februari 2021 Tuan Anas Azami berjaya  mencatatkan jumlah jualan lebih RM1 juta.

Setakat Februari 2021, Azdan Quranic Center telah berjaya membantu lebih dari 10 ribu orang untuk pandai mengaji. Kebanyakannya mereka yang dewasa berumur 30 hingga 80 tahun.

Sementara itu, Tuan Anas pesan kepada bangsa usahawan di luar sana bahawa jika anda betul-betul nak dan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu dengan niat membantu orang, insyaAllah jalan anda akan dipermudahkan.

Dalam apa jua perniagaan, anda perlu pegang kepada ‘mission’, bukan hanya sekadar memandang kepada wang ringgit. Wang ringgit bukan matlamat yang tertinggi, matlamat yang tertinggi adalah apabila anda mampu memberikan manfaat buat orang lain di luar sana.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply