Strategi Pemasaran Yang Mantap Buatkan Filem Barbie Terus ‘Mendunia’!

Strategi Pemasaran Yang Mantap Buatkan Filem Barbie Terus ‘Mendunia’!

Adakah anda sudah menonton filem terhangat pada saat ini iaitu Barbie?

Hebatnya pengaruh filem ini hinggakan sana sini orang perkatakan tentangnya. Dunia seolah-olah disimbah dengan warna merah jambu!

Selain itu, banyak jenama di pasaran yang mengambil kesempatan ini untuk melakukan kolaborasi bersama Barbie disebabkan permintaan yang begitu dahsyat daripada para peminatnya.

Menurut laporan, bajet pemasaran untuk Barbie adalah lebih daripada kos sebenarnya untuk membuat filem itu sendiri!

Filem arahan Greta Gerwig itu yang dibintangi oleh Margot Robbie dan Ryan Gosling telah mula ditayangkan di pawagam pada hari Jumaat (21 Julai) yang lalu.

Menjelang tayangan perdananya, filem ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti pemasaran seperti membuat rumah impian Barbie, burger merah jambu serta trend meme yang tular di media sosial yang menggabungkan filem itu dengan filem Oppenheimer arahan Christopher Nolan.

Jenama fesyen tempatan, dUCk yang diasaskan oleh Vivy Yusof juga turut mengambil kesempatan ini untuk berkolaborasi sekali lagi dengan jenama Barbie bagi keluaran koleksi fesyen terbaharu mereka (dUCk x Barbie) yang baru saja dilancarkan tempoh hari yang lalu.

Kini, laporan oleh Variety telah menunjukkan bahawa belanjawan pemasaran untuk filem itu adalah $150 juta (RM683 juta), mengatasi kos $145 juta (RM660 juta) untuk membuat filem itu sendiri.

Barbie kini telah berjaya mengatasi Oppenheimer di box office pada hujung minggu pembukaan kedua-dua filem tersebut.

Seperti yang terjadi, filem komedi arahan Gerwig itu dijangka membawa masuk $110 juta (RM500 juta) di pawagam Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini, lebih dua kali ganda jangkaan berbanding filem biopik arahan Nolan tentang pencipta bom atom di mana Oppenheimer dijangka memperoleh kutipan $50 juta (RM227 juta).

Ini bermakna Barbie akan memecahkan rekod untuk filem pembukaan tertinggi di AS oleh pengarah wanita. Wonder Woman sebelum ini memegang gelaran itu dan menghasilkan £103 juta (RM469 juta) pada 2017.

Warner Bros mengesahkan bahawa Barbie telah memperoleh $22.3 juta (RM101 juta) sewaktu pra-tonton box office – angka tertinggi bagi mana-mana filem tahun ini.

Sementara itu, Universal berkata Oppenheimer telah membawa masuk $10.5 juta (RM47 juta) dalam tayangan pra-tonton.

Dalam ulasan oleh NME, mereka telah memberikan empat bintang buat filem Barbie dan menulis:

“Pengembaraan komedi berwarna merah jambu yang sangat hebat, ditambah pula dengan runut bunyi pop yang memukau yang menampilkan Lizzo dan Billie Eilish yang entah bagaimana mengesahkan segala gembar-gembur hebat yang diperkatakan sebelum ini.

“Meminjam kata-kata daripada jaket milik Ken, Barbie is more than ‘kenough’.”

Begitulah dahsyatnya penangan filem Barbie pada saat ini! Bukan hanya buat kaum wanita, malah kaum lelaki juga turut terkena tempiasnya.

Strategi pemasaran ‘gila-gila’ yang dilakukan oleh pasukan pemasaran mereka ternyata berbaloi dan tidak sia-sia apabila filem itu mendapat kutipan pecah panggung di pawagam.

Selain itu, Barbie juga sentiasa tular di semua platform media sosial dan menjadikannya filem paling ‘trending’ untuk tahun 2023 ini.

Menariknya, skrin komputer anda juga akan berubah wajah jika anda melakukan carian nama Margot Robbie, Ryan Gosling dan Greta Gerwig di Google. Tak percaya? Cubalah sendiri!

Adakah anda mampu menghasilkan strategi pemasaran sehebat filem Barbie ini? Sama sekali tidak mustahil!

Anda juga boleh jadikan jenama dUCk sebagai inspirasi untuk melakukan kolaborasi bersama jenama mega antarabangsa suatu hari nanti. Jika mereka boleh, mengapa tidak anda?

Artikel terbaru

Leave a Reply