STOP! Jangan ‘Overthinking’! 8 Cara Untuk Kekal Positif

STOP! Jangan ‘Overthinking’! 8 Cara Untuk Kekal Positif

Siapa ada perangai macam ni? Suka berfikir terlalu banyak dan terlalu lama tetapi masih sukar untuk membuat keputusan. Kesannya boleh menjejaskan kesihatan. 

Sebagai seorang usahawan, anda perlu bijak menentukan apa yang baik dengan tidak dan mampu membuat keputusan dengan cepat untuk bina bisnes berjaya.

Dengan mengelakkan terlalu banyak berfikir, anda ada masa untuk berehat, menghilangkan tekanan dan meningkatkan kejayaan bisnes. Anda juga akan membuat keputusan besar dengan lebih mudah. 

Berhenti berfikir secara berlebihan!

Menurut kajian oleh Journal of Abnormal Psychology pada  2013, terlalu memikirkan masalah, kesilapan atau kekurangan boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan anda. Dengan mengurangkan terlalu banyak berfikir boleh mengurangkan tekanan, membantu anda tidur lebih lena dan memberi kesan positif kepada kerjaya anda.

8 cara berhenti berfikir secara berlebihan untuk kekal positif

1. Perhatikan cara anda berfikir

Sebelum mula belajar tentang cara untuk tidak terlalu memikirkan sesuatu, anda perlu mengenali cara anda berfikir. Ada 2 kategori yang mempengaruhi orang yang suka berfikir terlalu lama.

Merenung melibatkan tentang masa lalu. Anda boleh mengurangkan masa yang anda habiskan untuk merenung dengan memikirkan cara untuk memperbaiki masa depan dan mengingati perkara yang anda lakukan dengan betul. Berikut ialah beberapa pemikiran biasa semasa merenung, serta petua untuk kekal positif:

“Semalam saya tegur kesilapan staf yang rapat dan hari ini staf tak menyapa saya di waktu pagi.”

-Dalam situasi ini jangan fikirkan bahawa staf itu dah mula bencikan anda, dia mungkin sibuk memperbetulkan kesilapan semalam.

“Dalam mesyuarat tadi, rakan kongsi bisnes tak suka dengan idea yang saya lontarkan.”

-Rakan kongsi anda mungkin memerlukan lebih banyak maklumat sebelum menerima idea tersebut.

“Pelanggan tak nak beli produk saya. Rasa give up nak berniaga!”

-Ini bahaya kerana mereka bukan tak nak beli tapi mungkin mereka tak kenal produk anda.

Bimbang melibatkan tentang membuat ramalan yang negatif. Orang yang terlalu berfikir sering membayangkan imej, perasaan dan bunyi bersama-sama dengan pemikiran mereka.

Sebagai contoh, seseorang yang bimbang tentang tak percaya diri sendiri, membuat kesilapan atau raut wajah yang tidak menarik. Berikut ialah beberapa pemikiran biasa daripada orang yang bimbang, selain cara untuk kekal positif:

“Apabila saya membuat pembentangan itu esok, saya mungkin akan membuat kesilapan.”

-Anda perlu berlatih sehingga tidak gementar dan mendapatkan beberapa petua untuk memberikan pembentangan yang hebat.

“Saya tidak layak untuk berjaya.”

-Semua orang layak selagi anda berusaha untuk mendapatkan apa yang anda inginkan.

Untuk mengelakkan terlalu banyak berfikir daripada mengurangkan produktiviti dan kualiti hidup anda, beri perhatian kepada cara anda berfikir dan belajar mengenalinya. 

2. Mempunyai beberapa perspektif

Fikirkan semua kemungkinan hasil positif daripada tindakan anda. Ia adalah cara terbaik untuk mengurangkan kebimbangan. Ingat bahawa kebanyakan usaha anda berkemungkinan mendapat hasil yang positif.

Jika tidak, anda akan membuat keputusan yang rasional sepenuhnya untuk mengelak daripada melakukan perkara tersebut. 

Sebagai contoh, setiap kali anda terbang ke suatu tempat, terdapat kemungkinan yang sangat kecil bahawa pesawat itu akan terhempas.

Walau bagaimanapun, pendaratan selamat diikuti dengan percutian yang menakjubkan adalah lebih berkemungkinan. 

Terlalu berfikir seharusnya tidak menghalang anda daripada menikmati percutian itu atau mana-mana bahagian lain dalam hidup anda.

3. Fokus pada perkara yang boleh anda ubah

Jika anda tidak dapat bertindak mengikut apa yang anda sedang fikirkan atau bimbang dengan segera, anda harus fokus pada tugasan lain.

Sepanjang hari, tetapkan tarikh akhir untuk diri sendiri dan tumpukan perhatian pada menyelesaikan langkah-langkah kecil untuk tugasan yang lebih besar.

Ini akan membantu anda memberi tumpuan, meningkatkan produktiviti anda dan mengurangkan penangguhan.

Elakkan buat pelbagai tugasan dalam satu-satu masa dan berehat secara tetap juga akan menghalang anda daripada berasa tertekan oleh projek yang besar atau kompleks.

4. Dapatkan permulaan yang baik setiap hari

Permulaan hari yang baik penentu perjalanan hari anda sepanjang waktu. Bangun awal untuk mengelakkan perlu tergesa-gesa untuk bersiap tepat pada masanya. Bersarapan sebelum pergi kerja kerana anda akan mudah berasa tertekan apabila lapar.

Lakukan senaman atau bermeditasi. Berjalan-jalan sebentar, berlari atau melakukan meditasi untuk memulakan hari anda. Keluar dari rumah beberapa minit lebih awal untuk mengelakkan kelewatan yang tidak dijangka daripada lalu lintas.

Permulaan yang betul untuk hari anda akan membantu anda membuat keputusan, mengurus tugas penting dan melakukan kerja yang terbaik tanpa terlalu memikirkannya.

5. Jadualkan sedikit masa untuk muhasabah

Setiap hari, ambil masa 20 hingga 30 minit untuk memikirkan apa sahaja yang anda mahukan. Renungkan senario terburuk dan biarkan diri anda meluangkan sedikit masa bimbang tentang kejadian yang tidak mungkin berlaku. 

Tulis apa yang mungkin membantu diri anda menyelesaikan masalah dan mengutamakan tugas.

6. Amalkan kesedaran

Kesedaran memfokuskan semua perhatian, fikiran dan emosi anda pada masa kini. Apabila anda mengamalkan kesedaran, anda tidak akan bimbang tentang hari esok atau memikirkan masa lalu. Anda boleh menikmati hidup tanpa membuang masa dengan terlalu banyak berfikir.

Seperti mana-mana kemahiran lain, kesedaran memerlukan latihan, tetapi ia boleh membantu anda mengurangkan terlalu banyak berfikir dan meningkatkan rentang perhatian anda dari semasa ke semasa.

7. Berhenti menjadi seorang ‘perfectionist’

Ramai orang terlalu berfikir kerana mereka percaya bahawa mereka tidak cukup bagus untuk berjaya capai matlamat.

Tiada siapa yang sempurna dan prestasi sempurna tidak pernah menjadi syarat untuk berjaya. Kadangkala, menyelesaikan tugas tepat pada masanya adalah lebih penting daripada membetulkan setiap kekurangan diri.

8. Sedar bahawa anda tidak boleh mengawal segala-galanya

Bagi kebanyakan orang, terlalu berfikir adalah satu cara untuk cuba mengawal kehidupan mereka. Orang ramai menganggap setiap kemungkinan hasil tindakan mereka kerana mereka ingin mengelakkan kegagalan.

Walau bagaimanapun, setiap orang kadang-kadang gagal dan kegagalan boleh menjadi peluang pembelajaran yang berharga. 

Terlalu banyak berfikir tentang keputusan anda tidak akan meningkatkan peluang anda mendapat keputusan yang positif. Ia juga boleh menghalang anda daripada memanfaatkan peluang yang ada atau bertindak balas dengan segera kepada kemajuan atau perubahan dalam industri anda.

Nikmati masa anda

Dengan mengelakkan terlalu banyak berfikir, anda dapat menikmati masa kini dan meningkatkan bisnes dengan lebih cepat. Jadi, mula kurangkan berfikir dan lebihkan usaha anda untuk bina bisnes berjaya.

Artikel terbaru

Leave a Reply