Selfie: Jangan Sampai Gelapkan Hati

Selfie: Jangan Sampai Gelapkan Hati

Menyentuh persoalan aib, bagaimana pula dengan gejala masa kini, iaitu SELFIE. Perbuatan itu merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri dimuat naik ke laman sosial.

Hal ini seakan menjadi trend dalam masyarakat hatta pak menteri juga melakukannya.

Pada awalnya, ramai yang terpengaruh sehingga boleh dikatakan, hampir setiap rakyat Malaysia dan dunia pernah berselfie.

Namun, sejak akhir-akhir ini perkara itu dilihat sangat menjengkelkan.

Ini kerana ramai yang mengambil gambar sendiri dalam keadaan tidak sesuai apatah lagi digayakan dengan memek muka yang bermacam-macam.

Buka aib sendiri?

Hasil daripada fenomena tersebut, ramai yang menyifatkan selfie juga salah di sisi agama, kerana dikatakan telah membuka aib sendiri.

Namun, Dr. Sukki ada pandangannya tersendiri. Ujarnya, selfie itu tidak salah kerana selfie hanya untuk menggambarkan perbuatan tertentu.

Apa yang salahnya ialah perbuatan manusia dan niat untuk berbuat sedemikian.

Boleh dan jangan

Dr. Suki menjelaskan, jika menjadikan selfie sebagai tabiat bagi mengisi masa lapang, itu salah dan tidak baik untuk diri.

Sepatutnya masa lapang diisi dengan banyak lagi perkara yang bermanfaat seperti menuntut ilmu, membaca, berzikir dan sebagainya.

Selfie dibolehkan selagi mana tidak melanggar batas syarak.

Namun, jika berselfie itu dalam keadaan mendedahkan aurat atau tidak ditutupi dengan sempurna, itu yang tidak boleh.

Apatah lagi jika si pelaku melakukannya dengan tujuan menunjuk-nunjuk kecantikan yang dimiliki sekali gus mengharapkan pujian dan mencari populariti. Itu memang jelas berdosa.

Jangan jadi hamba teknologi

Allah sangat melarang kita sebagai hamba-Nya memiliki sifat mazmumah seperti ujub, riak dan takabbur.

Firman-Nya dalam surah Lukman ayat 18 yang bermaksud “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Nasihat Dr. Suki, manusia tidak boleh menjadi hamba kepada alat teknologi.

Sebaliknya gunakan kecanggihan teknologi itu sebagai satu wadah untuk berdakwah kepada orang lain.

Gunakan medium sosial media itu sebagai alat untuk menyebarkan kebaikan di bumi ini.

Memuat naik gambar tiada salahnya, namun jangan sampai terikat dengan sifat jahiliah yang suka membangga diri. Itu yang paling ditakuti.

Di saat dunia semakin mencabar, terlalu banyak anasir luar yang boleh menguji iman seseorang Muslim.

Lantas, jika perisai yang digunakan tidak kebal, kita akan terbabas. Namun jika perisai iman yang dididik itu kebal dengan rasa takut kepada keesaan Allah, maka ia akan menjadikan kita sebagai hamba yang lebih kuat dan taat dengan ujian yang dihadapi.

Artikel terbaru

9 Comments

Leave a Reply