Ruang Kerja Yang Selesa Jadikan Anda Makin Kreatif

Ruang Kerja Yang Selesa Jadikan Anda Makin Kreatif

Kesejahteraan anda adalah cerminan persekitaran anda.

Dalam buku Automate Your Busywork, penulisnya iaitu Aytekin Tank ada menekankan tentang menggunakan otak anda bagi perkara besar dan itu melibatkan keseluruhan kesejahteraan diri termasuklah tempat di mana kita habiskan sebahagian besar masa yang dimiliki.

Estetika alam sekitar tempat kerja mempunyai kesan yang lebih besar terhadap mood, motivasi dan produktiviti diri daripada yang anda ketahui.

Menurut Vikram Rao dari The Economic Times, persekitaran kita sangat mempengaruhi prestasi dan rangka kerja mental kita.

Lebih daripada itu, ia mendorong kita untuk menjadi lebih bahagia dan lebih cekap dalam semua aspek kehidupan.

“Ruang yang cerah dan ceria akan meningkatkan mood dan produktiviti serta mempunyai kesan psikologi yang bermanfaat kepada pekerja, ” tulis Rao.

“Reka bentuk ruang kerja yang berkualiti membawa kepada suasana yang kurang tekanan dan lebih produktif.

“Pekerja perlu berasa selesa dan tenang dalam tetapan kerja fizikal mereka untuk menghasilkan kerja yang terbaik,” coret Alan Kohll menerusi Forbes.

Melabur dalam reka bentuk

Jika anda pernah merenung kosong pada lautan kubikel atau susun atur lantai yang penuh dengan meja yang tidak teratur, maka anda memahami dengan jelas cara ruang boleh mempengaruhi kita secara psikologi. Mood kita serta-merta boleh jatuh bukan?

Jika anda mahu persekitaran yang menyenangkan, sebagai pemilik perniagaan anda bolehlah menyediakan gabungan ruangan kerja termasuk ruang terbuka bagi membantu menghilangkan rasa bosan.

Anda juga boleh menambah kemudahan moden seperti ruang istirehat yang selesa dan bilik yang tenang.

Menggabungkan unsur-unsur semula jadi

Terdapat sebab mengapa sesetengah individu terhebat dalam sejarah mendapat idea paling kreatif sewaktu mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Kajian telah menunjukkan bahawa persekitaran semula jadi atau persekitaran dengan unsur semula jadi meningkatkan tahap kreativiti seseorang.

Persekitaran yang memulihkan memberikan rasa tenang seolah-olah melarikan diri daripada kebiasaan, pemulihan daripada keletihan dan potensi untuk menjana idea melalui pemikiran yang jauh.

Menyediakan ruang yang cantik di tempat kerja memberikan kelegaan daripada kesibukan harian. Selain daripada mewujudkan suasana yang tenang dan santai, tumbuhan juga membantu meningkatkan kualiti udara dalam ruang yang dihuni.

Selesa seperti di rumah sendiri

Memandangkan kita menghabiskan sebahagian besar masa kita di tempat kerja, jadi adalah penting untuk membina ruang yang mesra dan menarik di mana staf boleh berasa menjadi diri mereka sendiri.

Apabila staf menutup mata dan mereka membayangkan akan masuk ke pejabat pada hari berikutnya, anda pastinya tidak mahu mereka membayangkan persekitaran kerja yang hambar dan menjemukan.

Menawarkan suasana yang memupuk kreativiti mereka adalah salah satu pelaburan paling berharga yang boleh dilakukan, dan ia akan menghasilkan beberapa ganjaran terbesar untuk hari-hari mendatang. Percayalah! 

Artikel terbaru

Leave a Reply