#RichWellBantu – 400 Keluarga Terima Sumbangan Usahawan

#RichWellBantu Usahawan Bangkit Menyumbang

Assalamualaikum w.b.t. kepada semua. Pada minggu lalu bermulalah misi #RichWellBantu Usahawan Bangkit Menyumbang dengan menyantuni golongan-golongan yang terkesan di sekitar PPR Pantai Ria/PPR Taman Bukit Angkasa.

Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) di bawah naungan RichWork International Sdn. Bhd. (RichWorks) membawa panji dan aspirasi pengasas kami, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan juga Ahli Lembaga Pengarah berserta Pengurusan Kanan menjalin usahasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengemudi gagasan ke arah prihatin masyarakat dengan melaksanakan aktiviti sumbangan ini.

Alhamdullillah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kami bersyukur dapat bersama sama meringankan sedikit beban dan menceriakan hati mereka yang terkesan .

Ingin kami memetik dari Hadith Riwayat Muslim ayat ke-2688 membawa maksud – HARTA TIDAK AKAN BERKURANG DENGAN BERSEDEKAH. DAN SEORANG HAMBA YANG PEMAAF PASTI AKAN ALLAH TAMBAHKAN KEWIBAWAAN BAGINYA.

Sedia maklum, dunia sekarang dilanda dengan musibah kesihatan dan Malaysia tidak terkecuali darinya. Covid-19 bukan perkara untuk diambil mudah.

Pada awal Januari lalu, pengasas RichWorks yakni Datuk Wira sendiri bersama ahli keluarga dan segelintir kakitangan ditimpa dugaan dengan virus ini. Maka pihak RichWorks terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini dalam sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung mereka yang memerlukan.

Misi di RichWorks bukan sahaja untuk memartabatkan bangsa usahawan untuk berniaga tetapi kami juga paling banyak menekankan nilai untuk memberi kerana bagi kami erti syukur adalah pada yang memberi.

Sepanjang beberapa jam berada di lokasi pengagihan bantuan, kami banyak belajar tentang keinsafan, tentang kesyukuran dan juga tentang kehidupan.

Allah SWT, Sang Pencipta menjadikan manusia yang senang membantu yang memerlukan tanpa mengira taraf kehidupan, bangsa dan agama.

Pengagihan pertama RichWellBantu Usahawan Bangkit Menyumbang

Pada 10 Julai lalu, seramai 400 keluarga yang memerlukan telah diagihkan sekotak makanan keperluan asas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria & Flat Bukit Angkasa.

Timbalan Presiden Kanan RichWorks, Radz Mohd, sumbangan tersebut diperolehi daripada usahawan-usahawan dan orang ramai yang bersama dengan nilai-nilai dibawakan kami bagi memberikan manfaat kepada orang lain.

Katanya, RichWorks terpanggil apabila melihat kesusahan dialami anggota masyarakat di luar sana hingga ada yang kibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan segera.

“Sehubungan itu, pengagihan sumbangan kilat ini merupakan peringkat pertama selepas dilancarkan sendiri oleh Pengasas RichWorks dan Mentor Usahawan pada 4 Julai lalu.

“Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga terkesan setelah diberhentikan kerja, bisnes terpaksa ditutup, tidak dapat bekerja disebabkan operasi ditutup menyebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya ketika ditemui di PPR Pantai Ria, sebelum ini.

RichWell merupakan pertubuhan kebajikan di bawah RichWorks di mana ia mensasarkan bantuan kemanusiaan, kebajikan dan kemasyarakatan sejak 2008 lagi.

Antara aktiviti yang telah dijalankan seperti memberi bantuan Hari Raya pada golongan asnaf, sumbangan makanan untuk barisan hadapan dan sumbangan ibadah korban.

Tambah Radz, alhamdulillah RichWell berjaya mengumpulkan sebanyak RM45,000 setakat ini.

“Terima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk Datuk Rosyam Nor bersama St Rosyam Mart Sdn. Bhd. yang membantu dari segi barangan dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) agar terus diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.

“Pengagihan sumbangan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menyalurkan sumbangan yang diterima untuk keluarga-keluarga yang memerlukan ketika ini,” jelasnya.

Radz memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sumbangan berjumlah RM1 juta bagi bantu kira-kira 10,000 keluarga terjejas.

“Kami mahu menunjukkan bahawa usahawan bukan hanya memikirkan soal bisnes dan keuntungan semata-mata sebaliknya memberi dan menyumbang kembali kepada masyarakat seperti selalu ditekankan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, kami di RichWorks menyusun sepuluh jari berterima kasih kepada penyumbang-penyumbang dana dan bantuan melalui RichWell.

Semoga Allah sahaja yang memberkati usaha murni penderma dan kita semua. Akhir nukilan, izinkan menterjemahkan santunan kami dengan kata-kata hikmah ini :

Erti Syukur Pada Memberi
Bermula Dengan Kesyukuran
Didatangi Dengan Harapan
Disudahi Dengan Bantuan
RichWell Prihatin
Anda Menyumbang Kami Salurkan

Itulah matlamat kami di sini untuk #RichWellBantu… Esok insyaAllah akan dijalan pengagihan bantuan lagi.

Bagi usahawan dan orang ramai yang mahu menyumbangkan bersama-sama RichWell, bolehlah melayari laman web richworks.com/RichWellBantu.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply