3 Persoalan Mengenai AI

3 Persoalan Mengenai AI

Teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) amat popular ketika ini.

Ia berpotensi besar dalam mengautomasikan operasi dan kerja yang sifatnya berulang-ulang.

Penggunaan teknologi AI amat penting dalam menyelesaikan kerja-kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia.

1. Apa itu teknologi kecerdasan buatan (AI)?

Teknologi kecerdasan buatan merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia.

Antara cabang penting dalam AI adalah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu ‘belajar’ untuk menjadi pintar.

Secara konsepnya, mesin yang bakal ‘diajar’ manusia perlu dilengkapkan dengan maklumat yang banyak untuk menjadikannya lebih pintar berbanding mesin lain.

Dengan kata lain, mesin akan dilengkapkan dengan ribuan percubaan untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Di sepanjang proses ini, mesin tersebut akan memahami dan mempelajari konsep untuk menyelesaikan tugas tersebut.

Sebagai contoh, mesin deposit wang yang banyak digunakan untuk memasukkan wang ke akaun bank sebelum ini hanya mampu mengesan wang pada jumlah tertentu.

Dengan kecanggihan teknologi terkini, mesin tersebut kini boleh mengesan ketulenan wang yang dimasukkan selepas melalui beberapa fasa ‘tunjuk ajar’ yang dibuat pembangun mesin berkenaan.

2 .Kenapa ia penting untuk kita sekarang?

Pembelajaran mesin sangat penting dalam melengkapkan kehidupan manusia pada zaman moden bagi membolehkan kita untuk terus berdaya saing dalam era ekonomi digital.

Menurut Felo Kanan Google yang mengetuai pasukan Google Ai, Jeff Dean, kecerdasan buatan menjadi alat penting dalam memanfaatkan kehidupan manusia.

“Google memperkenalkan Prinsip AI dalam membentuk piagam bagi membimbing pembangunan dan penggunaan AI dalam penyelidikan dan aplikasi perkhidmatan kami.

“Kami juga aktif melakukan penyelidikan dalam bidang seperti privasi, keselamatan dan keadilan sehingga terbentuknya pembelajaran mesin baharu yang dipanggil pembelajaran bersekutu (federated learning),” katanya dalam ucapan pengenalan sempena Majlis Media Solve with AI yang diadakan di ibu pejabat Google Tokyo baru-baru ini.

Malah, laporan daripada Harvard Business Review keluaran Julai-Ogos 2019 juga memberitahu bahawa teknologi AI kini banyak membantu perusahaan dan syarikat dalam membuat keputusan.

Ia menjadi penyumbang penting dalam memberi input kepada pembuat keputusan untuk memilih dasar dan pilihan yang tepat ke atas sesuatu isu yang cuba diselesaikan.

3. Adakah teknologi ini mahal?

Ya, ia merupakan teknologi yang amat mahal satu masa dahulu memandangkan keperluan teknikalnya yang tinggi.

Bayangkan, untuk mewujudkan sebuah mesin atau komputer yang mampu membuat penaakulan dan ‘berfikir’ seperti manusia semestinya memerlukan pemproses dan memori yang amat besar.

Jadi, untuk memproses data dan menjadikan mesin sebijak manusia, Google telah membangunkan mesin pemprosesan yang dinamakan sebagai unit pemprosesan Tensor atau Tensor Processing Unit (TPU).

TPU berfungsi sebagai litar khusus untuk pembelajaran mesin dalam rangkaian neural.

“Pada tahun 1990-an, TPU yang kita ada hanya mampu memproses sehingga 32 gigaflop sahaja, tetapi kini TPU versi terbaru mampu memperoses sehingga 420 teraflop sesaat,” jelas Jeff Dean ketika menerangkan bagaimana teknologi pembelajaran mesin berfungsi.

Daripada litar khusus yang menguruskan ‘pemikiran’ mesin ini, Google turut memperkenalkan Tensor Flow, sebuah aplikasi sistem terbuka bagi membangunkan teknologi AI.

Melalui aplikasi Tensor Flow, potensi pembangunan teknologi AI kini lebih luas dan ia telah berjaya menjadikan teknologi ini lebih murah tanpa perlu kemahiran pemprograman yang terlalu tinggi.

Paling penting, fahami masalah yang cuba diselesaikan.

Bagaimana teknologi pembelajaran mesin membantu manusia?

Pengaplikasian AI dalam kehidupan manusia kini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Menerusi Program AI untuk kebaikan sosial, Google telah memfokuskan kepada dua perkara meliputi:

1. Kajian dan kejuruteraan.

Banyak kajian dibuat bagi mengenalpasti bagaimana teknologi pembelajaran mesin boleh membantu memberi impak positif kepada nilai kemanusiaan, kehidupan sosial dan juga isu alam sekitar. Contohnya, proses kenal pasti kanser paru-paru, projek bio akustik, dan juga projek Euphonia (bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran berkomunikasi untuk bercakap).

2. Galakan untuk menyelesaikan masalah

Galakan menerusi penggunaan aplikasi sistem terbuka, Tensor Flow serta latihan bagi membantu menyelesaikan masalah sosial dan organisasi. Biasanya ia telah berjaya menyelesaikan beberapa cabaran sosial seperti di bidang pertanian dan juga pemuliharaan dokumen bersejarah.

Di bidang perniagaan, AI adalah teknologi yang menentukan masa depan bagi mempercepatkan transformasi perniagaan, membolehkan inovasi, meningkatkan produktiviti pekerja dan memastikan pertumbuhan selanjutnya.

Ekonomi dan perniagaan yang masih belum memulakan perjalanan AI menghadapi risiko untuk kehilangan manfaat kompetitif yang dinikmati pemimpin dalam perniagaan.

Artikel terbaru

2 Comments

  • Bismillah cuma timbul pertanyaan hati
    Seperti patung lain yang bakal minta nyawanya di akhirat ,,sejauh manakemungkinan Al juga akan minta nyawa kepada tuannya untuk dia di akhirat ,,pernah dengar story isu patung minta nyawa atau ,,terserah ,,sekadar persoalan islamik

    • Team RichWorks

      Terima kasih atas comment yang diberikan. Blog ini adalah sekadar perkongsian kami berkenaan perniagaan. Untuk ulasan yang lebih lanjut, boleh rujuk pada pihak yang berwajib. Semoga bermanfaat!

Leave a Reply