Pernah Hampir Bankrup, Kini Syarikat Jamie Siminoff Bernilai $1Bilion 

Pernah Hampir Bankrup, Kini Syarikat Jamie Siminoff Bernilai $1Bilion

Jamie Siminoff adalah seorang usahawan yang terkenal kerana mencipta produk berkaitan teknologi dan kejuruteraan. Salah satu pencapaian utama beliau adalah penubuhan syarikat Doorbot, yang kemudiannya dikenali sebagai Ring. 

Ring ialah sebuah syarikat yang menghasilkan alat keselamatan pintar untuk rumah, termasuklah sistem kamera pintar dan pengekalan keselamatan yang boleh diakses melalui telefon pintar.

Kadang-kadang orang bertanya kepadanya sama ada jika diberi peluang lagi, adakah dia akan melakukan perkara secara berbeza. Dengan terus terang beliau berkata, “Adakah anda bergurau dengan saya? Kami menjual syarikat itu dengan harga $1 bilion.”

Perjalanan bisnes Jamie Siminoff bermula dengan idea asal untuk mencipta alat pintar yang membolehkan pemilik rumah mengawasi pintu mereka dari jauh menggunakan telefon pintar mereka.

Namun, beliau juga pernah berada di ambang muflis ketika muncul di rancangan Shark Tank bagi mencari pelabur untuk syarikatnya itu namun ditolak bulat-bulat. 

Walau bagaimanapun, beliau tidak berputus asa hingga berjaya mendapatkan pelaburan daripada jutawan Richard Branson sebelum akhirnya menjual syarikatnya kepada Amazon dalam perjanjian blockbuster 2018. 

Perjalanan keusahawanan berprofil tinggi ini telah membentuk perspektif beliau tentang kegagalan dan kejayaan. Berikut adalah nasihat daripada beliau yang boleh anda jadikan panduan untuk berjaya dalam bisnes yang diusahakan.

“Kegagalan bukanlah titik akhir. Setiap kali saya mencapai titik terendah dalam hidup, ketika itulah saya belajar paling banyak perkara untuk mencapai ke puncak semula. Jika anda tidak melalui segala perkara yang menyakitkan itu, anda mungkin tidak akan mempelajari semua perkara ini,” kongsinya.

Fikir jangka panjang

Ditanya sama ada pemilik perniagaan harus menerima pelaburan apabila syarikat mereka tidak benar-benar memerlukan modal untuk peluang pertumbuhan yang lebih pantas, Siminoff berkata bahawa setiap situasi adalah unik dan tidak ada cara yang betul atau salah untuk membuat keputusan.

“Terdapat banyak faktor yang berada di luar kawalan kami. Anda mendengar cerita orang yang tidak mengambil pelaburan dan keesokan harinya, apabila pasaran jatuh, orang ini kehilangan perniagaan. 

“Kemudian anda mendengar kisah orang yang mengambil pelaburan itu dan keesokan harinya apabila  pasaran jatuh, orang ini mempunyai semua wang di bank untuk membeli semua syarikat ini,” katanya.

Beliau menyarankan agar usahawan belajar daripada perkongsian usahawan terdahulu dan kemudian cuba menerapkan apa yang dipelajarinya dalam perniagaannya. Beliau mencadangkan usahawan melihat setiap pelaburan untuk jangka masa panjang.

“Pada akhirnya, semua perniagaan dinilai dengan wang tunai. Jadi, teruskan membina perniagaan anda,” kata Siminoff.

Tonjolkan misi anda

“Ring berjaya kerana misinya. Apabila saya berada di garaj, matlamat saya adalah untuk membina ‘Dyson’ keselamatan. Bagi Ring, misi kami adalah untuk menjadikan kawasan kejiranan lebih selamat,” katanya.

Siminoff menjelaskan bahawa kewujudan misi memberikan tenaga kepada hampir semua aspek perniagaan anda.

“Pelanggan anda mahu menjadi sebahagian daripada misi. Pasukan anda mahu menjadi sebahagian daripada misi. Vendor anda mahu menjadi sebahagian daripada misi,” katanya. Cari misi dan anda akan temui kuasa besar anda.

Kejayaan Ring membuktikan bahawa kegigihan dan ketekunan Jamie Siminoff membawa hasil yang besar dalam perniagaan. Beliau kini dikenali sebagai salah seorang usahawan teknologi yang paling berjaya dan membuat ‘comeback’ paling epik di Shark Tank apabila kini beliau muncul sebagai salah seorang Shark (pelabur) pula di rancangan tersebut!

Artikel terbaru

Leave a Reply