Pentingnya Perubahan & Hijrah

Pentingnya Perubahan & Hijrah

Bulan pertama, Muharam wajar dijadikan titik tolak untuk kita semua melakukan hijrah agar mendapat hidup yang diredai Allah SWT.

Kehadiran tahun baru 1443 hijrah ini, boleh dijadikan sebagai langkah untuk kita kukuhkan matlamat serta iltizam bagi memperbaiki kelemahan diri.

Meskipun dalam keadaan mencabar ketika ini, perubahan masih boleh dilakukan jika kita sendiri ada keinginan untuk berubah.

Untuk melakukan perubahan juga tidak perlu kepada perkara yang besar. Cukup mulakan dengan memperbaiki kelemahan kecil yang sering dilakukan pada setiap hari.

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya melakukan perubahan sebagai mana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Mengikut Tafsir Pimpinan al-Rahman, maksud ayat di atas menjelaskan mana-mana kaum yang hidup senang lenang dan aman damai disebabkan oleh iman dan taat kepada Allah SWT, juga oleh akhlak yang mulia dan terpuji.

Sehubungan itu, Allah tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dari iman dan taat kepada kufur dan maksiat dan dari akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji kerana segala sifat dan perbuatan yang jahat dan keji itulah sebab yang membawa kehancuran.

Demikianlah sunnatullah atau undang-undang peraturan Allah yang tetap berlaku kepada sekalian makhluk-Nya.

Pentingnya Perubahan & Hijrah

Perubahan & Hijrah adalah satu sunnatullah atau peraturan Ilahi yang pasti berlaku. Tidak ada sesuatu pun yang wujud di atas muka bumi ini melainkan pasti akan menghadapi perubahan sama ada secara fizikal mahupun secara spiritual. Allah SWT memberikan contoh yang jelas berkaitan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” (Surah al-Rum, ayat 54)

Islam dalam sejarah kelangsungannya di atas pentas kehidupan ini adalah agama yang amat menekankan pentingnya perubahan.

Proses perubahan tidak hanya terhad pada sifat dan perilaku manusia, malah ia turut menganjakkan paradigma pemikiran dan sistem kehidupan.

Perubahan & Hijrah inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang agenda utamanya adalah untuk melakukan perubahan iaitu perubahan daripada kehidupan yang penuh jahiliah, kekufuran, kezaliman dan sebagainya kepada kehidupan yang penuh keimanan, keadilan dan kesejahteraan sejati.

Justeru itu, kita semua amat dituntut supaya melakukan perubahan dalam kehidupan malah bagi usahawan dalam perniagaan iaitu berubah daripada keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik dan juga daripada keadaan yang baik kepada keadaan yang lebih baik lagi.

InsyaAllah, ingatlah ketika rasa kesusahan dialami begitu berat. Tenangkan diri semula, cari jalan dan doalah kepada Allah SWT. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan berada dalam kemampuan untuk anda tanganinya.

Artikel terbaru

Leave a Reply