“Untuk berjaya, saya perlu menjadi lebih daripada pelumba ski,” kata Lindsey Vonn, pemenang empat kejuaraan keseluruhan Piala Dunia dan pingat emas menuruni bukit pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2010 kepada Entrepreneur.
Itu adalah prinsip yang ditekankan oleh bapa Vonn sepanjang karier perlumbaan ski yang dianggap sebagai sebuah perniagaan buat dirinya.
Seperti kebanyakan atlet profesional, persaraan Vonn serta pivot kerjaya datang lebih awal daripada individu dalam bidang lain dan hari itu akhirnya tiba pada Februari 2019 ketika dia berusia 34 tahun.
Namun begitu, terima kasih kepada hubungan kukuh dan jenama yang dibina Vonn selama bertahun-tahun, “peralihan daripada bermain ski kepada dunia perniagaan tidaklah menjadi begitu sukar,” katanya.
Berbekalkan kenalan industri yang dimiliki, dia mendapat latihan amali menerusi rakannya, Paul Kwan yang bertindak sebagai mentor dan mula membuat kemunculan signifikan dalam dunia perniagaan.
Sejak dari itu, Vonn mula menjadi penasihat kepada beberapa syarikat dan dana, mencipta koleksi pakaian ski dengan syarikat pembuatan Amerika-Austria HEAD, melancarkan barisan goggle ski dengan jenama Sweden YNIQ dan mengasaskan perkhidmatan penuh Après Productions dan Yayasan Lindsey Vonn yang komited untuk memperkasakan gadis yang kurang mendapat bantuan.
“Terdapat banyak perkara yang berkaitan secara langsung daripada perlumbaan ski kepada perniagaan.
“Saya tidak tahu segala-galanya, jadi saya sentiasa dahagakan ilmu untuk belajar. Perniagaan bukan untuk mereka yang lemah semangat.
“Sesiapa sahaja yang saya temui, saya cuba meneroka pemikiran mereka, bertanya soalan dan mencari cara baharu untuk bukan sahaja belajar, tetapi juga jalan baharu dalam keusahawanan, perniagaan atau pelaburan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, beliau sentiasa membawa diri dengan yakin dan tahu apa yang ingin disampaikan kepada orang lain.
“Keyakinan adalah satu lagi yang mesti anda ada. Saya sentiasa cuba untuk yakin apabila saya memasuki mana-mana bilik tidak kiralah sama ada. Anda perlu yakin dengan apa yang anda lakukan.
“Saya fikirkan tentang persediaan, mengetahui dengan siapa saya bercakap dan mengetahui apa yang saya lakukan sehingga mencapai tahap yang diinginkan adalah sangat penting,” kongsinya.
Pelbagai usaha yang dilakukan Vonn membuatkan dia menjadi semakin sibuk dari hari ke hari namun itu semua tidak menghalangnya untuk mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang bahagia.
Melalui kisahnya, kita dapat pelajari bahawa ilmu daripada bidang yang berlainan tidak semestinya tidak boleh dipraktikkan ke dalam bisnes. Jika ia bersesuaian dengan situasi, why not?
Oleh itu, jangan pernah berhenti belajar kerana anda hanya akan rugi apabila berhenti.