Dalam perniagaan, anda harus membeli asset dan peralatan untuk kelangsungan bisnes. Sudah pasti sasaran utama perbelanjaan ini adalah untuk tujuan kemudahan operasi yang mendatangkan keuntungan pada bisnes anda. Namun keutamaan harus diberikan mengikut keperluan dahulu. Pasti janggal jika anda membeli perabut untuk pejabat sedangkan anda masih tidak mempunyai tempat untuk beroperasi, bukan?
Ada banyak cara membeli aset dan peralatan. Anda boleh pilih sama ada untuk menyewa atau membeli tunai. Selain daripada itu, anda mungkin boleh mendapatkan kredit melalui bank anda atau mencari sumber lain untuk mendapatkan lebih banyak dana bagi anda mengembangkan aset.
Di sini kami senaraikan apa yang perlu anda rujuk untuk pembelian aset dan peralatan bisnes:
Ketahui aset dan peralatan yang anda perlukan
Aset perniagaan tergolong dalam tiga kategori luas iaitu harta ketara, tidak ketara, dan harta intelek. Bergantung pada jenis aset, anda harus memutuskan sama ada anda ingin membeli atau menyewa aset untuk perniagaan anda. Langkah pertama adalah memilih aset mana yang akan membantu perniagaan anda berjaya iaitu:
- Aset ketara seperti bangunan, kenderaan, komputer, mesin. Aset ketara digunakan untuk aktiviti perniagaan biasa. Rekod aset ketara ini di Kunci Kira-Kira sebagai harta atau peralatan.
- Aset tidak ketara adalah perkara yang tidak dapat anda sentuh seperti reputasi perniagaan anda, jenama anda atau rangkaian rakan niaga anda yang berpengaruh. Anda tidak menyenaraikannya di Kunci Kira-Kira dan selalunya sukar atau mustahil untuk menjualnya dengan wang tunai. Namun aset ini dapat menyumbang kepada nilai keseluruhan perniagaan anda.
- Harta intelek adalah sejenis aset tidak ketara yang merangkumi tanda dagang, paten, logo, laman web, nama domain, dan perisian. Harta intelek sering dilindungi oleh hak cipta atau perlindungan tanda dagang.
Tentukan samada ingin memajak atau membeli
Setelah anda menentukan semua aset yang anda perlukan untuk perniagaan anda, anda akan dapat memutuskan bagaimana anda ingin memperolehnya melalui:
- Sewa / Pajak
Sewa / Pajak adalah pilihan terbaik jika anda perlu mendapatkan peralatan dengan cepat atau jika kemudahan berniaga yang anda perlukan sangat mahal. Ruang komersial juga boleh disewa untuk menjalankan perniagaan anda. Ada beberapa kes, penyewaan sebenarnya lebih murah daripada membeli dengan pinjaman yang mempunyai faedah tinggi. Kelebihan sewa adalah anda boleh menguji perlatan terlebih dahulu dan tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi. Apa yang penting adalah anda tahu menilai kepentingan jangka masa panjang dan tahu memilih tawaran sewa yang berbaloi
- Beli
Membeli peralatan / asset boleh menjadi pilihan yang terbaik jika anda mempunyai wang tunai atau kredit yang mencukupi dan anda yakin akan menggunakan aset tersebut dalam jangka masa yang lama. Kos keseluruhan untuk membeli biasanya lebih rendah daripada sewa namun membeli juga mempunyai kelemahan iaitu memerlukan lebih banyak wang tunai atau kredit awal untuk permohonan dan kurang peluang untuk menguji keberkesanannya
Beli dengan wang tunai atau hutang / pinjaman kredit?
Sekiranya anda membeli aset anda dengan wang tunai, anda akan segera memilikinya tetapi ini juga bermaksud wang tunai anda akan susut sedikit untuk menampung perbelanjaan operasi. Jadi, pastikan anda yakin dengan wang keluar masuk bisnes anda dan anda sebenarnya mampu membayar dengan wang tunai.
Jika melalui hutang atau pinjaman, anda perlu mengira kos faedah yang ditawarkan. Ini kerana, anda akan membayar lebih banyak yuran dan faedah daripada membeli secara langsung dengan wang tunai.