Pemandu Bijak Lihat Ke Hadapan

Pemandu Bijak Lihat Ke Hadapan

TERIMA kasih buat rakyat Malaysia yang menjalankan tanggungjawab dan hak masing-masing dalam memilih pemimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Moga pemimpin dipilih ini, amanah dengan tanggungjawab mereka. Tempoh kempen dan pilihan raya sudah tamat, kita perlu lihat ke depan kerana inilah masa untuk semua bekerja keras bagi memacu negara serta rakyat ke tahap yang lebih baik.

Pada minggu ini, saya nak kongsikan tentang pemandu Ferrari berpengalaman yang boleh kita belajar sesuatu.

Mereka ini bukan hanya melihat pada stereng sendiri saja, tetapi juga kereta orang lain.

Mereka akan lihat dan baca apa yang pemandu di depan buat sama ada menekan brek untuk perlahankan kereta, menukar laluan, mengelak lubang dan bermacam-macam lagi.

Melihat ke hadapan, melebihi dari skop kereta sendiri. Umpama mempunyai pandangan kamera di atas, yang boleh melihat sekeliling.

Antisipasi, pemandu itu bersedia dengan sebarang keadaan dan kemungkinan yang akan berlaku ketika dalam perjalanan.

Apa yang saya nak sampaikan di sini adalah, ia juga sama sebagai seorang usahawan.

Jika usahawan regangkan minda dan melihat melangkaui diri sendiri, maka dia akan mula melihat sesuatu perkara itu dari perspektif berbeza.

Bila regangkan minda, sebenarnya ia juga regangkan poket yang mana diharapkan ‘duit’ masuk pun makin membesar.

Tapi bila saiz minda kecil, poket pun jadi kecil dan duit masuk pun kecil.

Sebab itu ada usahawan yang buat RM100,000 sebulan, bukannya RM1 juta sebulan sebab saiz minda dan tindakan dia tetap sama.

Kalau hanya melihat benda yang anda tahu ‘semalam’, mana mungkin boleh bergerak dan maju ke depan.

Anda hanya akan bergerak ke depan bila faham apa berada di depan, namun jika tiada keinginan untuk belajar, tunggu saja untuk ‘tersekat’ pada tahap yang sama.

Lebih banyak anda maju ke depan, pengalaman yang ada buatkan anda biasa dengan keadaan jalan itu dan faham dengan ‘permainan’ sendiri. Ingat apa saya kongsikan pada minggu lalu?

Contohnya, konvoi kereta berkuasa tinggi Titan Premier saya sudah beberapa kali ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur.

Jadi kami sudah ada pengalaman, tahu di mana nak berhenti untuk isi minyak, makan dan tetapkan masa perjalanan untuk sampai ke destinasi.

Meskipun ada sebuah kereta Ferrari baharu sertai konvoi kami Selasa lalu, pemandu itu dapat cepat belajar bila melihat dan belajar sendiri dengan peserta lain yang berpengalaman.

Inilah rahsia untuk mempercepatkan proses menjadi usahawan berjaya. Belajar dengan orang yang sudah lalui proses tersebut!

Ia sejuta kali lebih mudah bila anda dapat belajar dengan orang yang sudah lalui proses berkenaan.

Artikel terbaru

Leave a Reply