Pecat Pekerja Gara-Gara Webcam, Syarikat Didenda $70,000

Pecat Pekerja Gara-Gara Webcam, Syarikat Didenda $70,000

Bekerja secara hibrid sememangnya memudahkan kehidupan ramai pekerja terutamanya selepas berlakunya wabak pandemik yang melanda dunia baru-baru ini.

Cara ini ternyata memudahkan pelbagai pihak selain menjimatkan banyak masa dan tenaga tanpa perlu rasa terkejar-kejar.

Namun begitu, ia boleh jadi suatu hal yang merimaskan jika majikan meminta staf membuka kamera web seharian sewaktu tempoh bekerja dari rumah.

Di Amerika Syarikat, sebuah syarikat yang berpangkalan di Florida iaitu Chetu didenda sekurang-kurangnya $70,000 oleh mahkamah Belanda kerana memecat seorang pekerja yang tidak mahu membuka kamera webnya sepanjang hari.

Menurut laporan NL Times, seorang pekerja yang bekerja secara jarak jauh untuk syarikat perisian itu yang ditempatkan di Belanda telah dipanggil masuk ke mesyuarat pada akhir Ogos yang lalu secara atas talian.

Dia diberitahu bahawa dirinya perlu berkongsi skrin dan menggunakan kamera webnya sepanjang hari.

Tidak selesa dengan situasi berkenaan, dia terus memaklumkan kepada syarikat bahawa dia merasakan perkara tersebut melanggar privasi lalu dipecat tiga hari kemudian.

Beberapa minggu kemudian, dia memfailkan tuntutan mahkamah terhadap syarikat itu dan ternyata kebenaran berpihak padanya apabila dia telah menang dalam tuntutan tersebut.

Mahkamah Belanda memetik Artikel 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia, yang menjamin hak privasi di rumah dan juga dalam hal surat-menyurat.

Selain itu, mahkamah telah memerintahkan Chetu untuk membayar beberapa yuran, termasuk gaji yang tidak dibayar dan hari cuti yang tidak digunakan. Jumlahnya akan mencecah sekurang-kurangnya $75,000 Euro, atau kira-kira $73,000 USD, ditambah dengan yuran mahkamah.

Artikel terbaru

Leave a Reply