Pecah Panggung! 6 Perkara Usahawan Boleh Belajar Dari PASKAL The Movie

“Leftenan Arman Rahmat! Kenapa kau ada kat sini?”

“Saya nak tahu bapak saya mati untuk apa Tuan!”

Siapa yang telah menonton filem PASKAL pasti tak boleh lupakan babak penting ini di mana watak utama Arman Rahmat yang ketika itu sedang membuat ‘head plank’ ditanya soalan kenapa beliau mahu berada dalam Pasukan Khas Laut – PASKAL.

Ketika artikel ini ditulis, filem arahan Adrian Teh, anak tempatan yang sangat komited dan bercita-cita besar dalam memastikan filem Paskal ini pecah panggung, jualan tiketnya telah mencecah RM17 juta. Jika anda dah menontonnya, sedikit sebanyak anda pasti akan terkesan dengan cara filem ini digarap dengan sebaiknya. Dari satu babak ke satu babak, dilakonkan dengan penuh komited dan bersungguh-sungguh, sehinggakan untuk menjayakannya para pelakon utama telah menjalani latihan PASKAL sebenar beberapa bulan sebelum ianya difilemkan.

Walaupun filem ini adalah bergenre aksi, tapi elemen emosi telah berjaya memainkan peranan penting sehingga berjaya ‘menjemput’ ramai penonton sanggup beratur panjang untuk mendapatkan tiket.

Sebagai seorang usahawan, anda sepatutnya terkesan dengan filem PASKAL ini. Ianya bukan setakat hiburan kosong, tapi isi ceritanya boleh diambil iktibar, dan teknik marketingnya juga boleh dijadikan panduan kepada usahawan.

Kami nak kongsikan 6 perkara yang boleh anda sebagai usahawan boleh pelajari dari filem PASKAL, sama ada dari segi operasi bisnes atau dari sikap anda sebagai usahawan. Baca dan aplikasikannya dalam bisnes anda. Mungkin 6 tips ini boleh bantu anda ‘shoot to kill’ dalam bisnes.

1. Kepimpinan

Adegan serangan balas pasukan PASKAL lakukan ke atas lanun tak akan berjaya jika hanya seorang sahaja yang merancangnya dan melakukannya.  Adegan yang menggunakan peluru hidup, dengan babak-babak aksi yang mencemaskan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan sendirian.

Begitu juga dengan bisnes anda. Bisnes takkan mampu bergerak ke hadapan dan berkembang jika anda nak lakukannya seorang diri.

Setiap manusia hanya ada 24 jam sehari dan semua orang ada limitasi tenaga. Tapi jika 10 orang bekerjasama, anda dah ada 240 jam, kalau 100 orang anda dah ada 2400 jam untuk buat perkara dengan lebih efektif.

Tapi, untuk uruskan satu team anda perlukan kepimpinan atau leadership. Dan itulah yang dapat anda lihat dalam filem PASKAL. Bagi Adrian Teh, pengarah filem ini, dia ada motif yang kuat kenapa beliau mahu menjadikan filem ini filem terbaik, kerana beliau mahu mempamerkan kekuatan dan kemampuan kumpulan PASKAL yang sebenar dan kerana cintanya kepada negara ini.

2. Buat sampai jadi

Sebagai seorang pemimpin, anda perlu pastikan pasukan anda bersedia untuk selesaikan semua misi. Dalam PASKAL anda boleh lihat bagaimana pasukan PASKAL disediakan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi mencabar.

Dalam bisnes, akan ada banyak cabaran dan masalah. Semakin besar target yang bisnes anda nak capai, semakin besar persediaan yang perlu dilakukan dengan strategi dan teknik yang lebih terbukti berhasil.

Sebagai pemimpin, anda sepatutnya lead team anda untuk bersedia menghadapi situasi dan berani buat keputusan serta pastikan target anda tercapai dan misi anda selesai.

Menurut Adrian Teh sebagai pengarah filem ini – beliau meletakkan standard yang tinggi bagi setiap babak dalam filem ini. Sebagai contoh babak ‘fighting’ antara Arman dan Jeb diletakkan target untuk buat sebaiknya dalam tempoh 1 minit tanpa henti untuk menjaga momentum dan memastikan tumpuan tinggi yang diberikan.

3. Strategi yang berhasil

Seorang leader mestilah seorang strategis. Anda perlu tahu apa strategi yang terbaik untuk pastikan team anda mampu untuk capai misi dan target dalam ruang masa yang sepatutnya.

Untuk itu, sebagai usahawan anda sepatutnya memiliki ilmu yang tinggi dan mungkin ilmu tersebut berdasarkan pengalaman orang lain. Sebab itu ramai orang pilih untuk belajar dengan Dr Azizan Osman kerana beliau telah melalui pelbagai halangan dalam bisnes dan kesediaan beliau untuk berguru dengan pakar luar negara yang mungkin tak mudah untuk orang lain buat.

Ramai juga usahawan melantik konsultan untuk membantu mereka dalam membina bisnes tapi pastikan konsultan anda adalah yang ada result ye. jangan main-main pilih jer. Nanti bisnes anda ntah ke mana pulak.

Untuk menjayakan filem Paskal, mereka juga telah melantik beberapa konsultan termasuk meminta nasihat dari Panglima Tentera semata-mata nak memastikan filem ini membuahkan hasil.

4. Kerja berpasukan lebih baik dari kerja sendiri-sendiri

Usahawan perlu juga membina semangat kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi di kalangan tenaga penggerak bisnes anda. Perlu sentiasa selarikan matlamat supaya semua dalam pasukan bergerak dan berusaha ke satu arah yang sama.

Isunya, tak semua orang senang untuk satu kepala, dan tak mudah untuk semua orang mencapai satu kata putus. Tapi, usahawan perlu bijak untuk  menyatu padukan team dan membimbing mereka untuk mampu bekerjasama. Anda fikir, mudah untuk pengarah PASKAL menyatukan semua team penggambaran termasuk team di Turki untuk sama-sama berkolaborasi? Pasti ada halangannya tapi kerana mereka ada misi yang kuat, mereka mampu atasi segalanya. Tak mungkin seorang hero dapat menjayakan filem PASKAL seorang diri, dan tak mungkin juga seorang pengarah dapat melakukannya sendiri.

5. Komitmen

Tak ada sebarang kejayaan akan dicapai jika tak ada komitmen yang tinggi dari seorang usahawan. Ramai usahawan di luar sana, selalu bertukar-tukar bisnes kerana dahlah berbisnes tanpa ilmu dan bila gagal atau tak jadi, mereka tak komited untuk berusaha untuk menjadikan bisnes mereka berjaya, sebaliknya mereka putus asa dan buka bisnes lain.

Hasilnya pasti akan tetap sama. Komitmen untuk menjadikan bisnes anda berjaya sepatutnya membuatkan anda akan sentiasa cari jalan. Sebagai seorang usahawan dan juga seorang leader, komitmen anda menentukan dan mempengaruhi komitmen seluruh team anda. Jika anda ‘hangat-hangat tahi ayam’ seluruh team anda pun akan buat sambil lewa.

Apa yang menariknya dalam filem PASKAL adalah kesungguhan semua pelakon untuk menjayakan filem ini sehingga mereka sanggup berlatih ala-ala PASKAL sebenar sebelum memulakan rakaman. Sanggup menanggung kecederaan demi nak pastikan filem ini berhasil dan sanggup belajar sesuatu yang sukar dan baru kerana nak jadikan filem ini filem terbaik.

Sebagai contoh pelakon utama Hairul Azreen yang memegang watak Leftenan Komander Arman Anwar, sebenarnya mengalami kecederaan pergelangan tangan sebelum rakaman dilakukan dan juga mengalami pendarahan hidung ketika berlatih menyelam tapi beliau masih meneruskan rakaman sehingga ‘wrap up’.

6. Story

Setiap usahawan jangan malu untuk bercerita tentang kisah anda sendiri. Betul, bukan mudah. Tetapi, kisah anda mampu menjadi inspirasi kepada ramai orang terutamanya kepada team anda sendiri.

Sudah pasti ada proses dan kisah di sebalik kejayaan anda memiliki bisnes sendiri, malangnya ramai usahawan tak mahu atau segan nak berkongsi cerita dengan team menyebabkan team tak faham kenapa anda buat apa yang anda buat.

Sebagai seorang leader, anda pasti ada sebab kukuh kenapa anda mahu buat bisnes ini, kenapa anda sanggup bermatian untuk menjayakannya, untuk siapa dan untuk apa. Dan cerita inilah anda perlu kongsikan kepada team supaya ianya dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk membantu anda merealisasikan impian anda dan impian mereka.

Apa yang menarik tentang PASKAL The Movie ialah, kisah benar tentang apa yang berlaku, kisah kenapa pengarah PASKAL The Movie ini bersungguh-sungguh nak jadikan movie ini sebagai satu realiti, kisah setiap dari watak utama kenapa mereka sanggup terima tawaran untuk berlakon dalam PASKAL The Movie tanpa berfikir panjang. Dan ini dapat kita lihat dari garapan skrip dan hasil filem yang bermutu tinggi dan menyentuh hati.

PASKAL The Movie, bukan sekadar cerita hiburan tetapi di dalamnya ada semangat, kekuatan dan impian yang takkan mampu direalisasikan tanpa sifat kepimpinan yang kuat. Tahniah kepada PASKAL The Movie – “It is a wrap for PASKAL”

Artikel terbaru

Leave a Reply