Orang Berjaya Dia Bersabar

Orang Berjaya Dia Bersabar

Tahukah anda, antara ciri orang berjaya ialah sabar. Mereka bersabarlah yang membuatkan dapat berjaya dalam bisnes malah kehidupannya.

Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi orang berjaya ini namun mereka dapat bersabar dan mencari jalan untuk terus bergerak ke depan.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, sabar bermaksud tidak lekas marah atau tidak lekas putus asa; kuat menghadapi sesuatu kesakitan dan lain-lain. Ia juga bermaksud tidak terburu-buru atau tidak terkejar-kejar; tidak mudah berasa risau.

Tanpa ciri sabar ini, rasanya seseorang itu susah untuk berjaya dalam bisnes dan jika berjaya pun mungkin tidak kekal lama. Untuk berjaya dan mencapai impian perlunya berusaha dan mereka yang berusaha perlunya bersabar sepanjang perjalanan membina bisnes yang berjaya.

Rasanya semua di sini pastinya tahu mengenai sabar namun tidak semua daripada kita mengamalkan ciri sabar ini sepenuhnya dalam kehidupan seharian.

Yalah, bisnes tak menentu yang diharapkan meningkat hasilnya pula menurun manakala dijangka menurun hasilnya lebih lagi menurun.

Situasi seperti itu sudah tentu akan menguji tahap kesabaran seseorang namun dalam kes ini mereka sendiri sebenarnya mengundang masalah disebabkan buat bisnes tanpa ilmu, sistem dan MenThor yang disusuli tindakan.

Bersabar dalam Islam

Dalam Islam, pentingnya sabar itu apabila perkataannya disebut sebanyak 90 kali dalam Al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah berkongsikan erti sabar ketika menjadi mufti bahawa sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar.

Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya.

Tetapi di antara sifat sabar itu, terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama dari sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.

Mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah, sabar merupakan salah satu daripada tangga-tangga ibadat bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung.

Di dalam Islam, sabar ada 3 darjat:

Sabar terhadap ketaatan
Sabar terhadap kemaksiatan
Sabar terhadap ketentuan dan musibah

Dalam Surah Al-Mulk, Ayat 2, Allah mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Bagi yang ditimpa sesuatu musibah perlulah bersabar, bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berusaha dan bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah pemilik alam ini. Jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga ia boleh terjadi.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ
“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ‘Jadilah engkau!’. Maka ia terus menjadi.” (Surah Yasin: 82)

Sehubungan itu, marilah kita memupuk sabar ini dalam kehidupan harian agar mendapatkan kehidupan yang lebih tenang, tidak mudah mengalah untuk capai impian disamping mendapat keredhaan Allah SWT. InsyaAllah.

Artikel terbaru

Leave a Reply