Nama Guru Dalam Doa

Nama Guru Di Dalam Doa

Setiap orang pasti pernah merasai didikan guru di pelbagai peringkat pendidikan.

Peluang setiap warganagera Malaysia mendapat pendidikan tanpa mengira bangsa dan keturunan merupakan antara nikmat besar berada di negara penuh keberkatan ini.

Sejak peringkat prasekolah, semua orang telah mula mengenal insan bernama guru.

Malah pada peringkat inilah guru berdepan cabaran paling hebat untuk memastikan anak-anak murid mengenal huruf dan nombor.

Saat usia anak-anak sangat mentah, mereka mula berpisah dengan ibu bapa untuk beberapa jam menimba ilmu di taska atau tadika.

Ada yang menangis berhari-hari kerana kesedihan berjauhan dengan ibu bapa untuk tempoh yang cukup lama bagi mereka.

Guru di peringkat prasekolah tidak boleh dilupakan jasa dan pengorbanan mereka. Merekalah yang menguruskan diri anak-anak murid termasuk di bilik air kerana usia yang terlalu muda.

Namun disebabkan ilmu, guru terus menggagahkan diri memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Ketika tibanya masa untuk menghargai jasa guru, golongan guru prasekolah tidak wajar dilupakan. Ini kerana kebanyakan orang hanya ingat jasa guru mereka yang berada di peringkat sekolah menengah.

Tidak ramai yang sedar bahawa ucapan terima kasih yang diucapkan oleh anak murid kepada gurunya merupakan sesuatu yang amat bernilai buat si guru.

Tambahan pula tatkala si anak murid berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Ucapan ‘terima kasih’ meskipun ringkas, namun tidak semudah itu untuk menzahirkannya lebih-lebih lagi kepada insan yang mungkin telah lama kita tinggalkan, iaitu sewaktu alam persekolahan dahulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dengan kemudahan alat komunikasi canggih masa kini, pelbagai cara boleh kita manfaatkan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru. Ia perkara yang mudah, namun tidak semudah itu untuk melakukannya.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang memasukkan nama-nama guru mereka dalam doa setiap hari? Ia tidak memerlukan modal wang ringgit, hanya sekelumit usaha yang ikhlas. Berdoalah dengan doa kebaikan yang banyak buat si guru.

Semoga guru dipanjangkan usia dalam keadaan sihat agar dapat terus berbakti mendidik anak murid mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesiapa yang memberikan kebaikan untuk kalian, maka balaslah (kebaikan tersebut). Jika engkau tidak mampu membalasnya, doakanlah untuknya sampai engkau yakin telah benar-benar membalasnya.”  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis ini memberi kefahaman mendoakan seseorang yang berbuat baik kepada kita perlu dilakukan secara berterusan. Hal ini sehingga sampai kepada tahap kita yakin dengan doa itu, kita telah membalas kebaikan insan tersebut. Doakanlah kebaikan untuk guru setiap kali kita memohon hajat kepada Allah SWT.

Selain mendoakan guru, antara perkara yang termasuk dalam usaha menghargai jasa guru ialah dengan mengamalkan didikan yang diterima daripada mereka. Inilah antara perkara yang menjadi kekuatan bagi orang yang menceburi bidang pendidikan.

Guru inginkan setiap ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan oleh pelajar serta disebarkan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:  “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).”  (Hadis riwayat at-Tabrani).

Artikel terbaru

Leave a Reply