MYAirline Gantung Operasi Serta-Merta

MYAirline Gantung Operasi Serta-Merta

MYAirline telah menggantung operasinya berkuat kuasa Khamis (12 Oktober 2023) sehingga diberitahu kelak.

Syarikat penerbangan itu berkata keputusan itu dibuat kerana tekanan kewangan yang berlaku pada saat ini.

“Kita perlu menggantung operasi sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat penerbangan itu,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Ujar lembaga pengarah MYAirline, pihaknya kesal dengan keputusan itu dan memohon maaf atas kesannya terhadap penumpang, pekerja dan rakan kongsinya.

“Kami telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal bagi mengelakkan penggantungan tersebut berlaku.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini.

“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul dan tetap akan komited untuk membantu anda,” jelasnya.

Syarikat penerbangan itu berkata mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi buat masa ini mereka tidak dapat menjanjikan bilakah waktunya.

Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi customercare@myline.my dan pasukan sokongan akan sedia untuk memberikan bantuan mereka.

“Kami menasihatkan penumpang yang terjejas supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mengatur perjalanan alternatif ke destinasi mereka,” tambahnya.

Rata-rata pelanggan yang telah membeli tiket penerbangan MYAirline turut meluahkan kekecewaan mereka di laman sosial masing-masing kerana mereka tidak mendapatkan informasi langsung berkenaan pembatalan tiket mereka.

Apa komen anda mengenai isu ini?

Artikel terbaru

Leave a Reply