Mendapatkan Lebih Banyak Dana

Jika anda ingin memulakan, mengembangkan perniagaan mahupun mempertahankannya, anda mungkin memerlukan dana sebagai sokongan. Jangan bimbang, tidak semestinya anda perlu sedari awal kaya untuk berniaga. Dapatkan bantuan dana dari perlaburan atau pinjaman bukan melalui keuntungan bersih dan simpanan syarikat semata-mata.

Pihak  atau agensi yang memberi anda dana harus merasa yakin bahawa pelaburan mereka akan terbayar. Jadi sediakan kes perniagaan dan penyata kewangan untuk meyakinkan pemberi pinjaman, atau pelabur untuk membiayai perniagaan kecil anda. Paling penting, dapatkan bantuan daripada agensi yang bertauliah dan diluluskan, bukannya dengan meminjam duit dari ah long atau ceti haram hanya kerana mahu mendapat wang segera.

Adakalanya, proses mengumpul modal ini tidak begitu mudah dan mengambil masa yang lama sehingga membantutkan niat seseorang untuk berniaga. Namun tahukah anda, selain dari dana dari bank atau agensi swasta, kerajaan amat prihatin dengan golongan peniaga dengan menubuhkan beberapa agensi berkaitan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan. Antara agensi kerajaan / separa kerajaan yang boleh anda mohon ialah:

PUNB

Sebuah produk pembiayaan berasaskan syariah dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang menawarkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan tempoh bayaran semula selama tujuh tahun. Agensi ini juga turut menyediakan program latihan keusahawanan dan pembangunan korporat untuk membantu golongan peniaga.

TEKUN

Merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada golongan Bumiputera sama ada yang baru mula berniaga dan mahu memajukan lagi perniagaan mereka. Jumlah pinjaman bermula dari RM10,000 sehingga RM100,000 bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)

MARA menawarkan beberapa skim mengikut kesesuaian perniagaan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta.

AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

Terdapat tujuh skim pinjaman yang ditawarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan had sehingga RM20,000. Setiap ahli yang layak menyertai AIM perlu menubuhkan kumpulan sehingga lima orang yang sejantina, tiada tali persaudaraan rapat, saling percaya dan bertanggungjawab.

DANA BANTUAN PEMBANGUNAN FRANCAIS (DBPF)

Bantuan ini bertujuan membantu peniaga individu atau syarikat untuk memfrancaiskan produk dan jenama mereka ke pasaran tempatan atau luar negara.

SUPERB

Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) ini menawarkan jumlah pinjaman sehingga RM500,000 bagi menyokong idea perniagaan yang kreatif dan inovatif.

TERAJU

Pinjaman perniagaan ini merupakan hasil kerjasama antara TERAJU dan institusi kewangan dan diuruskan oleh SME Bank, RHB Islamic, Maybank Islamic dan MIDF. Bagaimanapun ia hanya terbuka kepada syarikat yang disenarai dalam program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS).

SME Bank

Anda juga boleh memohon bantuan melalui atau Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad (SME) Organisasi ini telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk peniaga. Antara kemudahan yang disediakan adalah kemudahan skim pinjaman.

CRADLE FUND SDN BHD

Akhir sekali, anda juga boleh memohon pembiayaan dan dana melalui Cradle Fund yang telah membantu banyak syarikat di Malaysia.

Semua badan dan dan organisasi kerajaan dan separa kerajaan ini ditubuhkan untuk membantu peniaga di Malaysia. Anda cuma perlu cuba memohon dan menggunakan kemudahan ini. Selain dari itu, anda juga boleh mendapatkan dana melalui pinjaman dari bank swasta. Namun begitu, bank-bank ini menawarkan faedah yang berbeza dan anda perlu merujuk sendiri dengan mereka. Apa yang penting ialah perniagaan anda berdaftar, mempunyai rekod untung rugi dan mempunya kes rujukan untuk mereka membuat penilaian.

Artikel terbaru

Leave a Reply