Memilih Struktur Syarikat

Jenis perniagaan yang anda buka dan daftarkan akan menentukan banyak perkara dalam bisnes. Ia akan menentukan kemampuan anda untuk mendapat dana, menentukan keyakinan pelabur dan menentukan tanggungan anda.

Anda perlu pilih jenis perniagaan sebelum anda mendaftarkan perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Anda juga perlu fikir tentang pendaftaran cukai dan lesen serta permit yang diperlukan untuk anda menjalankan bisnes.

Anda boleh merujuk kaunselor bisnes, peguam dan akauntan untuk mendapatkan khidmat nasihat mereka dalam menentukan jenis perniagaan yang sesuai untuk anda iaitu samada Enterprise, PLT atau Sdn Bhd namun kami akan senaraikan secara ringkas untuk rujukan anda:

Di Malaysia terdapat lima jenis struktur perniagaan / syarikat iaitu:

Milikan tunggal/enterprise

Enterprise adalah perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Perseorangan). Perniagaan struktur enterprise ini selalunya bukan perniagaan besar yang memerlukan modal yang banyak. Selalunya ia melibatkan perindustrian atau perusahaan kecil seperti kedai runcit, taska, tadika, restoran, dan sebagainya.

Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd)

Ini pula adalah satu struktur syarikat yang biasa kita lihat dan dengar. Syarikat ini selalunya melibatkan perusahaan lebih besar. Modal diperolehi daripada penjualan syer atau saham. Oleh itu, Syarikat Sdn Bhd boleh mempunyai kumpulan pemegang saham yang besar & kumpulan pengarah. Ianya berbeza dengan Enterprise yang hanya melibatkan seorang pemilik. Jika berlaku sebarang kerugian kepada syarikat sendirian berhad, ia tidak akan melibatkan harta pemilik-pemiliknya

Perkongsian

Mudah saja mengenali syarikat perkongsian. Ianya selalunya melibatkan firma perakaunan, firma guaman, firma arktitek dan sebagainya. Nama syarikat selalunya mempunyai maksud perkongsian itu sendiri seperti Klinik Lim & Rakan-Rakan atau Afiq & Partners. Perkongsian selalunya dimiliki oleh lebih daripada 1 orang pemilik   dan tidak lebih 20 orang pemilik. Kebiasannya untuk perniagaan jenis ini, modal yang diperoleh adalah tidak besar. Ia mungkin dikumpul oleh ahli perkongsian atau mendapat pinjaman bank.  Bagi perniagaan jenis ini, keuntungan dan kerugian syarikat akan dibahagikan mengikut modal, kerja dan persetujuan bersama.

Koperasi

Koperasi biasanya ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan ekonomi ahli-ahli koperasi tersebut. Syarat utama penubuhan koperasi ialah ia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 50 orang ahli yang aktif. Keuntungan koperasi akan diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen.

Berhad atau Awam Berhad

Berhad adalah syarikat  yang tersenarai di Bursa Malaysia. Saham syarikat ini boleh dijual beli oleh orang awam. Bilangan minimum pemilik syarikat berhad adalah 2 orang dan maksimum adalah tidak terhad. Maksudnya tiada had untuk sesiapa sahaja membeli saham atau syer syarikat ini.

Untuk makluman, Di Malaysia, seseorang peniaga adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956​​ & Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Maklumat lebih terperinci boleh didapati di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Artikel terbaru

Leave a Reply