Bagi kebanyakan daripada kita, untuk memaafkan orang lain boleh dikatakan agak sukar. Ia normal apabila seseorang itu dipersalahkan atau disakiti malah keberangkalian tinggi untuk dia mahu membalasnya kembali.
Kalau nak diikutkan perasaan, nak saja dibalas semula perbuatan mereka itu. Meskipun kejadian tersebut sudah lama berlaku, bila terfikir buatkan diri rasa tidak senang hati.
Namun, kita sebagai seorang Muslim yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah an-Nuur, ayat 22)
Untuk menjadi seorang yang mampu memaafkan orang melakukan kesalahan kepada kita memerlukan jiwa yang besar. Apatah lagi, jika anda yang memaafkan sedangkan berada di pihak yang benar merupakan suatu kemuliaan buat dirinya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)
Dalam satu lagi firman yang bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Surah asy-Syura, ayat 40)
Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sifat pemaaf adalah iman yang paling utama sepertimana dijelaskan bermaksud: “Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Sifat pemaaf juga adalah salah satu ciri orang bertakwa dan akhlak yang disayangi Allah.
Justeru itu, marilah kita mula buang sedikit demi sedikit ego yang ada walaupun agak sukar agar tidak bertangguh untuk bermaafan. Berlapang dadalah bagi kita bermaafan satu sama lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat).” (Hadis Riwayat al-Hakim)
Sehubungan itu, amalan memohon maaf harus dilakukan tidak kira bila, tempat atau dengan siapa. Semua manusia biasa tidak lari daripada membuat kesilapan dan kesalahan.
Janganlah pula kita berasa malu atau segan untuk memohon maaf sebab seperti menunjukkan kelemahan. Mohon maaf tak bererti kita lemah sebaliknya betapa kuatnya keperibadian anda hingga dapat memohon maaf. Namun bukanlah amalan ini menjadi ‘cara’ untuk anda terus melakukan kesilapan atau kesalahan sama.
Dalam pada itu, jika dalam hati ini mula ada rasa tidak puas hati dengan orang lain, dendam atau apa sahaja urusan, maka bacalah zikir ini iaitu:
“Hasbunallah wa ni’mal wakil” yang bermaksud, “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).”
Biarlah Allah SWT saja yang membalas sekiranya ada orang yang ingin melakukan kezaliman atau keburukan ke atas diri kita. Bagi diri kita, paling baik adalah memaafkan mereka.
8 Comments
Allahu…sukarnya untuk memaafkan…
Moga dipermudahkan
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi.
Sangat bermanfaat dan membantu.. semoga Allah sentiasa memberi kekuatan dan kebijaksaan dalam semua solat dan ibadah..
Aamin Ya Rabb. Moga dipermudahkan segala urusan : )
Forgive but hard to forget.
Moga dipermudahkan
Alhamdullilah..semoga kita menjadi orang yang mudah memberi maaf..Salam Syawal#Maaf Zahir Batin
Aamin Ya Rabb