Masalah Pepijat Buatkan Orang Ramai Risau Hadiri Olimpik Paris 2024

Masalah Pepijat Buatkan Orang Ramai Risau Untuk Ke Olimpik Paris 2024

Nasihat yang harus sentiasa diulang: Jangan biarkan pepijat menggigit.

Dengan Sukan Olimpik Paris yang bakal tiba kurang dari setahun lagi, kebimbangan bahawa serangga penghisap darah itu boleh menggigit mereka yang menghadiri Sukan Olimpik musim panas akan datang telah menyebabkan tuntutan untuk segera menjalankan tindakan bagi membanterasnya sebelum melarat.

Rakaman pepijat yang merangkak di dalam kereta api berkelajuan tinggi dan Metro Paris telah diterbitkan di media sosial, manakala orang ramai melaporkan penampakannya di pawagam dan juga di Lapangan Terbang Charles de Gaulle. 

Setelah laporan itu mencapai peringkat tertinggi kerajaan, Menteri Pengangkutan Clemente Beaune berkata pada Jumaat bahawa beliau akan membincangkan isu itu dengan pengendali pengangkutan negara tersebut. 

Berjanji untuk “meyakinkan dan melindungi” pelancong yang menggunakan sistem transit awam, Beaune berkata di laman media sosial X bahawa pengendali akan “bertindak lebih untuk melayani pelanggan.”

Hantarannya itu dibuat sehari selepas Timbalan Datuk Bandar Paris Emmanuel Grégoire menulis surat bagi pihak Dewan Bandaraya ibu kota Perancis itu, menyeru Perdana Menteri Elisabeth Borne untuk bertindak ke atas “malapetaka itu”.

“Negara perlu segera menyediakan pelan tindakan untuk menentang bencana ini ketika Perancis sedang bersiap sedia untuk mengalu-alukan temasya Olimpik dan Paralimpik pada tahun 2024,” tulis Grégoire, menurut Reuters.

“Tiada siapa yang selamat,” katanya dalam hantaran berasingan di  X sambil menggesa langkah yang diselaraskan antara pihak berkuasa kesihatan dan komuniti tempatan untuk mencegah penyebaran pepijat yang bersembunyi di dalam perabot, pakaian dan peralatan tempat tidur, dan menghisap darah kebiasaannya pada waktu malam. 

Pepijat betina boleh bertelur sehingga tujuh telur sehari. Ini bermakna serangan boleh merebak dengan banyak lagi pantas.

Menurut kajian Julai oleh ANSES, agensi kerajaan yang bertanggungjawab menilai risiko kesihatan dalam makanan, alam sekitar dan tempat kerja, lebih daripada satu daripada 10 isi rumah Perancis telah diserang oleh pepijat di antara tahun 2017 dan 2022.

Gigitan pepijat ini boleh mengakibatkan ruam, tindak balas alahan dan lepuh pada kulit. Kerajaan Perancis menasihatkan orang ramai untuk mencuci pakaian dan peralatan tempat tidur pada suhu tinggi, vakum perabot dan permaidani serta menghubungi perkhidmatan kawalan perosak jika masalah berterusan.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply