Marhaban Ya Ramadan

Marhaban Ya Ramadan

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”(al-Baqarah: 183)

Dalam satu pidato semasa menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan juga bulan yang penuh berkat.

Kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan itu, maka bulan Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh warga Muslim di seluruh pelosok dunia.

Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut seorang ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memberi contoh, air hujan disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan berbagai-bagai tanaman yang amat berguna kepada umat manusia.

Menurut Syeikh Rashid Redha, keberkatan terdiri daripada dua jenis; pertama ialah keberkatan yang bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan berbagai-bagai lagi aneka kenikmatan yang memberikan kebahagiaan kepada manusia.

Kedua ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan yang abadi. Keberkatan jenis yang kedua inilah yang menghiasi serinya bulan Ramadan ini. 

Satu lagi kemuncak keberkatan yang menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran.

Al-Quran itu sendiri disebut Allah SWT sebagai kitab yang di dalamnya terkandung peringatan dan keberkatannya sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud: “Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?”  (Surah al-Anbiya’, ayat 50)

Yang lebih istimewanya ialah malam yang al-Quran diturunkan disebut Allah sebagai malam yang diberkati, lailatin mubarakah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”  (Surah al-Dukhan, ayat 3)   

Bertitik tolak dari sini, Ramadan sungguh diberkati dan mengandungi berbagai-bagai keberkatan dan keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya.

Dalam bulan ini, Allah banyak menurunkan rahmah, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT juga menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Di samping itu, Allah melipat gandakan lagi ganjaran pahala segala ibadah dan amalan soleh sehingga ratusan dan ribuan kali ganda kecuali ibadat puasa yang hanya menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan keistimewaan dan keberkatan yang terhampar sepanjang bulan Ramadan, ia secara jelas mengisyaratkan betapa Allah menyeru umat Islam agar merebut ganjaran dan kelebihan yang disediakan Allah sepanjang bulan mulia itu, sudah pastinya dengan melakukan lebih banyak amalan soleh selain ibadat puasa itu sendiri seperti bersolat Tarawih, bertadarus al-Quran, beriktikaf, bersedekah, berdoa dan lain-lain lagi.

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang yang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri sendiri.

Amalan muhasabah diri akan mencetuskan satu kesedaran dan keinsafan yang cukup bermakna untuk memperbetulkan kesilapan lalu dan sekali gus meningkatkan kualiti sesuatu amalan ibadat ke hadrat Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat di sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan yang disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Maka benarlah apa yang pernah disabdakan baginda Rasulullah yang bermaksud: “Betapa ramainya orang yang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Hadis riwayat Ahmad & Hakim)   

Maka tidak hairanlah bulan Ramadan dianggap sebagai bulan latihan dan ujian daripada Allah. Inilah antara himpunan hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam dan sekali gus mengangkat Ramadan sebagai bulan yang agung lagi penuh berkat.

 Ibadat puasa sebenarnya melatih dalam mengelola dan mengendalikan kehendak atau keinginan kita.

Dengan berpuasa, kita dapat merasakan betapa kita melatih kehendak kita agar pada akhirnya kehendak kita selaras dengan kehendak Allah.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply