Apa yang anda faham tentang cerita? Adakah kisah-kisah sejarah lampau atau cerita dongeng rakyat yang sering dibaca?
Setiap hari kita pasti akan bercerita tentang masa lampau, membayangkan masa depan, membincangkan perihal orang lain dan macam-macam lagi.
Nak sampaikan mesej dan terangkan tentang produk atau perkhidmatan juga adalah sebuah cerita. Malah, cerita adalah bahagian penting dalam mana-mana perniagaan.
Dengan penceritaan boleh memberi impak yang besar sama ada disampaikan dengan cara yang positif ataupun negatif.
Cerita adalah alat paling berkuasa
Untuk berhubung dengan orang ramai dengan cara yang paling berkesan adalah dengan bercerita.
Kuasa bercerita bukan sahaja sekadar menyampaikan fakta atau maklumat, dengan bercerita juga sangat berkesan untuk mewujudkan kesetiaan pelanggan.
Cerita memberi emosi. Cerita juga memberi warna dalam penceritaan dengan mesej dan cara yang lebih mendalam dan lebih bermakna.
Bagaimana anda boleh memanfaatkan kuasa bercerita?
1. Melalui emosi
Emosi yang digabungkan dengan maklumat akan menjadi lebih mudah untuk diingati.
Kemungkinan untuk anda mengingati dengan tepat tentang peristiwa yang memberi kesan dalam hati adalah lebih tinggi berbanding peristiwa yang tidak memberi apa-apa makna kepada anda.
Maklumat yang dikaitkan dengan kesakitan atau keseronokan mewujudkan emosi yang sangat kuat dan mampu menghasilkan sebuah cerita yang hebat dan memberi kesan kepada pendengar untuk membuat tindakan yang selanjutnya.
2. Cerita yang sahih
Orang ramai sangat sensitif dengan cerita yang datang daripada mereka yang cuba mengambil kesempatan daripada sesuatu situasi atau mungkin cerita yang direka.
Daripada anda menumpukan tentang apa yang akan diperolehi daripada bercerita, lebih baik anda alihkan tumpuan kepada apa yang anda boleh buat terbaik untuk perbaiki atau meningkatkan tahap hidup bakal pelanggan anda.
Rahsia untuk hidup bahagia adalah dengan memberi. Apabila anda menggunakan cerita yang hebat dengan tujuan membantu orang lain, sekali gus anda telah mencipta jenama yang kukuh untuk syarikat anda.
Perlu diingat, pendengar adalah pemilik emosi cerita yang anda sampaikan. Mereka kemudiannya menjadi penyokong kepada jenama dan perniagaan anda.
Walaubagaimanapun, anda tak akan berjaya jika hanya menumpukan kepada menjual dan bukannya perkongsian. Disebabkan ini, pelanggan akan meninggalkan anda.
3. Tahu bila perlu berhenti bercerita
Lihat sama ada masa dan tempat adalah sesuai sebelum sampaikan cerita dan mesej anda.
Jika pelanggan tidak berada dalam keadaan yang bersedia untuk mendengar, berhenti dan jangan meneruskan penceritaan tersebut kerana cerita tersebut akan gagal untuk diterima dengan baik oleh mereka.
Dalam sesetengah keadaan, anda perlu mendengar terlebih dahulu sebelum menyampaikan cerita anda untuk mengenali mereka dengan lebih baik dan mewujudkan perasaan selesa dalam penceritaan.
Sebaik sahaja anda tahu cabaran pendengar, anda boleh mula mencipta cerita untuk memenuhi keperluan mereka. Tapi jangan lupa, cerita anda perlulah sahih
Idea tentang cara menggabungkan penceritaan ke dalam mesej anda
1. Kuasa bercerita di media sosial
Bercerita di media sosial, jika cerita anda mendapat perhatian anda boleh mendapatkan ratusan hingga ribuan pengikut yang baru.
Cerita yang disampaikan boleh dalam bentuk penulisan ataupun video. Jika gambar anda mampu bercerita dan memberi kesan, tak ada masalah untuk letakkan gambar juga.
Media sosial adalah tempat untuk memberi nilai kepada pengikut anda dan setiap cerita perlu memberi kesan dan menghiburkan.
2. Bercerita dengan pekerja anda
Bagaimana nak membuat team bersemangat dan teruja dengan nilai, misi dan visi syarikat anda?
Mungkin mereka tidak dapat melihat bagaimana kerja keras mereka memberi kesan kepada komuniti dan pelanggan anda.
Di sinilah anda perlu gunakan kuasa bercerita untuk mengaitkan kejayaan terbaru dengan mereka serta bagaimana perniagaan anda membuat perubahan positif dalam perniagaan bersama mereka.
Ini menunjukkan betapa berharganya mereka dalam syarikat dan akan menaikkan semangat mereka untuk melayani pelanggan anda dengan lebih baik lagi.
Kuasa cerita adalah senjata anda
Jika dilakukan dengan baik dan betul, kuasa cerita yang hebat boleh memberi kesan besar kepada pendengar.
Penceritaan boleh memberi inspirasi dan mewujudkan hubungan kerana ia mampu menggerakkan penonton untuk membuat tindakan segera.
Jangan sesekali memandang rendah akan kuasa bercerita.
Gunakan penceritaan yang jujur dan penuh emosi menggunakan patah perkataan yang bagus dan anda akan dapat melihat bagaimana kuasa cerita sangat memainkan peranan penting di dalam bisnes anda.