Kualiti Yang Perlu Dimiliki Jika Mahu Jadi Usahawan Wanita Berjaya

Kualiti Yang Perlu Dimiliki Jika Mahu Jadi Usahawan Wanita Berjaya

Seorang pemimpin yang berjaya tidak kiralah lelaki atau wanita pastinya memberi inspirasi, motivasi, mentor dan mengarahkan orang di bawahnya ke arah matlamat yang lebih tinggi.

Tetapi, realitinya di dunia ini seorang pemimpin wanita perlu melakukan lebih banyak perkara lagi atau kerja dalam dunia perniagaan yang dikuasai oleh kaum Adam.

Menurut kajian oleh Calpers, pemimpin wanita berjaya kebiasaannya mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada semua pemimpin yang bagus iaitu sifat ketegasan, bertindak menggunakan akal, berani mengambil risiko dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Selama bertahun-tahun, wanita telah berkembang melalui peringkat dunia profesional untuk mewakili lebih separuh daripada tenaga kerja di Amerika Syarikat.

Namun begitu, wanita terus memegang bahagian kepimpinan yang jauh lebih kecil dalam pelbagai sektor berbanding lelaki.

Hingga kini, masih terdapat jurang yang besar dalam soal kepimpinan di antara kaum lelaki dan wanita.

Jadi, bagaimana sebenarnya cara untuk kaum Hawa berjaya dalam bidang yang didominasi oleh kaum Adam? Mari kita lihat rahsianya.

1. Integriti

Mematuhi prinsip etika atau moral dan menjaga kata-kata anda adalah asas kepada kepimpinan yang berkesan.

Selain itu, ia dapat membina kepercayaan yang berharga dengan orang ramai termasuklah daripada pekerja yang anda pimpin kepada pelabur dan rakan kongsi yang anda bawa kepada pelanggan yang anda layani.

Orang ramai mahu mengikuti pemimpin beretika yang bertindak dengan integriti kerana yakin mereka akan dilayan secara adil dan ketua mereka akan melakukan yang terbaik untuk organisasi.

Tambahan pula, tingkah laku beretika, kejujuran dan rasa hormat yang bermula dari atas adalah penting untuk mewujudkan budaya syarikat yang baik berdasarkan nilai tersebut.

2. Merendah diri dan ada kesanggupan untuk belajar

Keusahawanan adalah proses sepanjang hayat dan ahli perniagaan yang bijak akan memahaminya. Dunia perniagaan berubah begitu pantas sehingga anda boleh menjadi seorang yang berinovasi hari ini dan menjadi ketinggalan pada keesokannya.

Usahawan wanita yang berjaya akan terus belajar dan belajar supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan trend yang sentiasa berubah dengan pantas. Mereka merendahkan diri dan belajar apabila ada peluang.

3. Ketabahan dan kegigihan

Tidak kira apa jantina anda, keusahawanan adalah bidang mencabar dan penuh dengan ketidakpastian. Dengan tanggungjawab yang lebih berat yang dipikul oleh wanita dan momentum kerjaya yang perlahan tambahan pula lepas melahirkan anak, cabaran itu menjadi lebih kompleks.

Namun, berjuta-juta wanita membina perniagaan kerana daya tahan dan ketabahan mereka. Dalam perniagaan, tiada perkara baik datang dengan mudah.

Untuk berjaya, anda mesti bekerja keras dan gigih dalam apa yang diinginkan. Kegigihan adalah perlu untuk berkembang sebagai ahli perniagaan.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply