Setiap Orang Adalah Pemimpin! 4 Ciri Perlu Ada Pada Pemimpin

Kepimpinan menurut Islam berteraskan konsep khalifah iaitu setiap manusia adalah pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarga dan ahli-ahli di bawahnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang rakyat yang berada di bawah kawalannya. Orang lelaki adalah pemimpin dalam ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah jagaannya. Wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang yang berada di bawah jagaannya. Khadam bertanggungjawab terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah jagaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Dalam konteks Islam, kekuatan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT adalah aspek penting, sekali gus menjadi satu kekuatan apabila diuji dengan pelbagai cabaran.

Pemimpin yang baik tidak mudah berputus asas atau cepat mengalah kerana yakin Allah SWT sentiasa bersamanya.

Islam meletakkan beberapa syarat bagi melayakkan seseorang diangkat sebagai pemimpin. Apatah lagi sekiranya mahu diangkat menjadi pemimpin peringkat negeri atau negara.

4 ciri perlu ada pada pemimpin

1. Jujur dan amanah

Perkara pertama yang seharusnya diteliti ialah kejujuran dan sifat amanah. Urusan mentadbir dan mengurus sesebuah negeri atau negara sangat memerlukan pemimpin yang beramanah.

Pemimpin yang amanah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat atau team berbanding diri sendiri dan sentiasa turun padang tanpa diundang.

Pemimpin itu menunjukkan sikap prihatin terhadap urusan kehidupan mereka tanpa mengira musim. Jika seorang Ahli Parlimen atau ADUN Baginya mendekati rakyat bawahan itu tidak boleh sesekali diabaikan.

2. Akur dan insaf

Pemimpin yang layak diredai Allah adalah kalangan mereka yang sentiasa akur dan insaf bahawa setiap tindak-tanduk ketika memegang tampuk kepemimpinan itu akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.

Seharusnya sesiapapun yang dijulang selaku pemimpin perlu insaf perihal peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang terdahulu dan yang kemudian pada hari kiamat, tiap-tiap orang yang khianat akan diangkat satu panji-panji yang boleh dikenali ramai. Dikatakan kepadanya, Inilah pengkhianatan pulan bin pulan…” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kelayakan akademik sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu benar-benar menepati ciri-ciri sebagai pemimpin yang tulen.

Muncul ramai ‘pemimpin palsu’ yang gah melontarkan bicara kata sehingga ramai yang mendengar akan berasa terbuai dalam keindahan gagasan yang dicanangkan.

Pemimpin yang jujur dan beramanah tidak melontarkan janji yang sedap didengar. Mereka akan mengotakan apa yang dijanjikan.

3. Bertanggungjawab dan tidak sombong

Pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: 

“Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

4. Ahli politik pintar dan berkemampuan

Pemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui negeri dan negara.

Kejayaan untuk membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Al-Rashidin adalah bukti yang nyata. 

Pada satu kajian yang dibuat oleh Professor P. Kotter dari Harvard Business School, 80% kejayaan sesebuah organisasi termasuk sesebuah negara bergantung rapat dengan mutu kepimpinan.

Dalam zaman semasa yang penuh dengan cabaran dan persaingan, seseorang pemimpin perlu memahami suasana di dalam negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat, dan sumber negara. 

Mereka harus mampu mengembeling kesemua lapisan rakyat untuk memajukan ekonomi ke peringkat yang tertinggi.  

Sementara itu, ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang paling tinggi dalam usaha pembangunan tersebut.

Sebagaimana juga ditegaskan oleh Khalifah `Ali kepada Malik Asytar bahawa rakyat akan menjadi sebaik-baik pemerhati dan penilai bagi setiap tindakan pemimpin mereka, maka seharusnya pemilihan pemimpin untuk mewakili mereka dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Hal ini khususnya dengan mengambil kira keupayaan pemimpin yang dipilih untuk memelihara kepentingan ukhrawi dan duniawi mereka.

Bagi umat Islam, sudah pasti pemimpin yang dipilih perlu menunjukkan iltizam tinggi untuk sentiasa memelihara maslahah agama, institusi,dan ummah, selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan melalui peruntukan Perkara 3 (1).

Pada masa sama, kepentingan penganut agama dan bangsa atau kaum lain tidak sama sekali diabaikan.  Hal ini bertujuan memelihara semangat besar agama Islam dalam menegakkan keadilan dan menyebarkan rahmat tanpa mengira agama, bangsa mahupun kaum.

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Setiap Orang Adalah Pemimpin! 4 Ciri Perlu Ada Pada Pemimpin” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️



2 Comments

Leave a Reply