Gemar Makan Burger? 3 Kisah Pengasas Burger Boleh Dijadikan Inspirasi

Burger

Ada sesiapa suka makan burger? Rasa roti yang lembut, sayuran segar, daging atau ayam dan bahan-bahan lain membuatkan burger merupakan salah satu makanan yang disukai.

Selain rasa yang enak, mungkin juga kerana penyediaan makanan ini agak cepat dan mudah didapati.

Jika kita lihat di Malaysia, setiap kali McDonald’s, Burger King atau cawangan restoran makanan segera lain hadir dengan menu burger baharu, pasti kebanyakan rakyat Malaysia berduyun-duyun ingin mencubanya.

Rakyat tempatan juga tak ketinggalan mengembangkan perniagaan yang berasaskan burger, siapa sahaja yang tak kenal Ramly Burger.

Modal untuk memulakan perniagaan burger biasanya di bawah RM1,000. Dengan RM1,000, kita boleh dapat peralatan menyediakan burger, menu dan stok awal dengan bertemakan pasar malam. Pakai khemah atau payung dan meja lipat.

Bagi yang inginkan kesempurnaan untuk memulakan perniagaan burger, modal yang layak diperuntukan ialah RM5,000. Dengan modal RM5,000, kita boleh membeli stall stainless steal, freezer, generator, menu, peralatan burger dan stok awal.

Jom kita pelajari sesuatu daripada kisah-kisah pengasas burger yang berjaya dan terkenal ini.

1. McDonalds

Pada hujung 1930, keluarga Patrick McDonalds berpindah dari New Hampshire ke Hollywood. Anak-anak Patrick iaitu Richard dan Maurice McDonalds bekerja sebagai pemindah barang dan tukang cuci di studio Motion-Picture. 

Perniagaan makanan bermula apabila Patrick membuka gerai makanan berdekatan Lapangan Terbang Monrovia, California.

Menu pertama yang dijual ketika itu adalah sosej dan kemudian memasukkan hamburger ke dalam menu dengan harga 10 sen bersama jus oren dengan harga 5 sen. 

Pada 1940, adik-beradik ini memindahkan perniagaan mereka menjadi sebuah restoran kecil berkonsepkan pandu lalu di San Bernardio, California. Menu restoran ditambah menjadi 25.

Pada 1948, mereka menyedari keuntungan terbesar diperoleh adalah daripada menjual hamburger dan boleh mengaut lebih keuntungan. Sehubungan itu, mereka menyelaraskan menu paling laris sahaja untuk dikekalkan.

Jika anda mempunyai pelbagai jenis produk, kenal pasti produk yang paling laris dan memberikan pulangan paling tinggi. Jadi anda dapat mengelak pembaziran daripada produk yang kurang laku dan memberi fokus kepada produk yang benar-benar memberikan keuntungan.

2. Burger King

Cosmo Restaurants Sdn Bhd (Burger King Malaysia), pemegang francais Burger King Corporation di negara ini melabur RM30 juta untuk membuka 25 restoran baharu pada akhir 2021.

Burger King juga memperbaharui logo, pembungkusan, pakaian seragam kru, papan tanda dan hiasan restoran.

Reka bentuk baharu restoran Burger King membolehkan urusan penjarakan fizikal dan urusan pengesanan kontak rapat dijalankan dengan lebih cekap, menerusi kemudahan seperti pandu-masuk, sistem pesanan kod QR dan aplikasi web.

Walaupun operasi perniagaan terkesan akibat C0VID-19 yang melanda negara, Burger King tetap melabur RM22 juta untuk membuka 18 restoran baharu.

Burger King telah lama bertapak, namum perniagaan yang dijalankan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Mesti up to date! Tak wajar jika masih menggunakan kaedah seperti awal memulakan perniagaan.

3. Ramly Burger

Siapa di sini gemar makan burger tepi jalan? Adakah anda gemar makan burger daging atau ayam atau special? Pasti setiap orang memiliki menu kegemaran tersendiri.

Banyak kedai menjual burger, antara yang berjaya adalah Ramly Burger.

Permohonan pembiayaan pengasasnya, Datuk Ramly Mokni pernah ditolak oleh bank tempatan dan ideanya dijadikan sebagai satu jenaka.

Pada mulanya, beliau hanya menjalankan bisnes secara kecil-kecilan di rumahnya Flat Jalan Haji Hussien, Kampung Baru bersama isterinya. Dengan modal RM2,000 tanpa sebarang mesin atau peralatan membuat daging burger, beliau dan isteri berjaya menghasilkan kepingan daging burger sendiri.

Pada peringkat awal, perniagaan mereka kurang mendapat sambutan kerana masyarakat Malaysia ketika itu belum mengenali burger. Berkat kesabaran dan kecekalan, jualan mereka semakin bertambah daripada 200 keping sehingga ke 2,000 ke 3,000 keping sehari.

Sekarang, lihatlah kejayaan Datuk Ramly Mokni yang berjaya menghasilkan ramai usahawan berjaya di bawah jenama produknya Ramly.

Lebih membanggakan, ramai rakyat Malaysia gemar makan burger Ramly kerana memiliki keunikan rasa tersendiri.

Siapa kata produk anak tempatan tak berkualiti dan tak dapat tempat di hati rakyat?

Hasilkan produk yang unik dan berbeza berbanding pesaing anda.

 (ends)

Artikel terbaru

4 Comments

Leave a Reply