Kesihatan Kepada Masyarakat & Bisnes Ekoran Pandemik

Kebanyakan masyarakat di negara kini telah pun membiasakan diri dengan norma baharu dalam kehidupan seharian termasuk bisnes. Tindakan dan penguatkuasaan pihak berkuasa dibuat secara berterusan agar prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 dipatuhi khususnya kepada mereka yang masih sambil lewa dan tak mengikut peraturan ditetapkan.

Tindakan tegas Kerajaan bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac 2020 dan sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Langkah-langkah yang diambil Kerajaan itu bertujuan agar semua pihak mematuhi SOP dan amalan norma baharu supaya dapat memutuskan rantaian penyebaran wabak berkenaan.

Tiada lagi berjabat tangan atau sentuhan mana-mana bahagian badan ketika bertemu, buat penjarakan fizikal, pemakaian pelitup hidung & mulut, kerap membasuh tangan, gunakan MySejahtera Check-In untuk pengesanan kontak di kebanyakan tempat termasuk majlis perkahwinan, bekerja dari rumah (WFH), peningkatan dalam pembelian online termasuk membeli makanan & minuman, tiada perhimpunan besar-besaran, tidak boleh rentas negeri kecuali perkhidmatan essential dan banyak lagi.

Semua perkara di atas perlu dilakukan setiap seorang penduduk di negara agar kita boleh menang menentang musuh yang tidak dapat dilihat ini.

Bagaimanapun, pandemik ini telah memberi kesan dan menjejaskan ramai pihak termasuk anggota masyarakat dan bisnes. Lebih 800,000 orang dilaporkan telah hilang pekerjaan mereka sepanjang pandemik ini, banyak bisnes di luar sana menghadapi masalah dari segi cash flow dan pendapatan terutamanya dalam sektor pelancongan seperti syarikat penerbangan, operator pelancongan dan lain-lain.

Kesan Kepada Kesihatan

Ekoran pandemik ini, sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh dari Januari hingga Jun pada tahun ini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lalu disamping agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mewujudkan talian bantuan masing-masing.

Jelas beliau, secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.

“Ia berpunca daripada faktor-faktor seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Malah hampir 500,000 penduduk di negara ini mengalami kemurungan berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019. Ia merangkumi 2.3% rakyat berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

Oleh itu, pelbagai inisiatif, pelan dan langkah telah diambil Kerajaan malah bisnes-bisnes berkaitan agar dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan dalam ekonomi yang mencabar ini. Kesihatan menjadi keutamaan dalam operasi sesebuah bisnes untuk pastikan semua kakitangan dapat menyumbang dan menjalankan tanggungjawab masing-masing walaupun WFH.

Tanggungjawab Pemimpin

Bagi seorang pemimpin dalam sesebuah bisnes, antara soalan penting yang perlu ditanya dan beri perhatian setiap hari adalah tahap kesihatan staf mereka terutama yang WFH.

Bertanya kabar dan ketahui ada tak sebarang masalah dihadapi mereka setiap hari. Daripada situ, anda boleh buat pelan dan perancangan terbaik untuk capai matlamat yang ditetapkan dengan mengambil kira keadaan ketika itu. Jika bisnes berdepan masalah pula, sebolehnya dapatkan bantuan dan pandangan daripada mereka yang pakar ataupun MenThor anda. Pandangan mereka dapat memberikan kejelasan (certainty) kepada seseorang pemimpin itu untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Artikel terbaru

Leave a Reply