“Ambilah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka kerana sesungguhnya doamu dapat memberikan ketenangan bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui..” At-Taubah : 103
Harta kita bukan milik kita. Mungkin anda pernah dengar ayat ini, betul? Berdasarkan ayat Allah di atas, zakat wajib ditunaikan oleh umat Islam apabila harta mereka cukup haul (cukup tempoh setahun) dan nisab (kadar yang diwajibkan zakat). Zakat merupakan rukun Islam yang kelima dan berbeza dengan sedekah, kerana sedekah itu sunat manakala zakat adalah wajib jika cukup syarat-syaratnya.
Jika anda seorang peniaga, zakat yang boleh anda keluarkan ialah zakat perniagaan. Cara bayaran zakat pula, anda boleh rujuk pada pusat zakat negeri masing-masing kerana nisab zakat bagi sesebuah negeri adalah berbeza. Seperti sedekah, zakat juga mempunyai kepentingan yang tersendiri.
Kami akan kongsikan dengan anda 7 kepentingan zakat dalam hidup anda. Semoga ianya bermanfaat kepada anda semua, InsyaAllah.
7 kepentingan zakat dalam hidup anda
1. Mensucikan harta.
Harta diibaratkan seperti air, selagi ia mengalir selagi itulah ia bersih. Dengan berzakat, Allah akan membersihkan harta dari perkara-perkara yang haram dan shubhah (ragu-ragu). Jika kita tidak mengeluarkan zakat, semakin bertambah hak orang lain dalam harta kita.
Ini kerana, dengan harta yang perolehi inilah akan kita gunakan untuk menampung keluarga, memberi mereka makan, gunakan untuk kehidupan harian kita, sedekah pada yang memerlukan dan sebagainya. Jika harta yang kita perolehi tidak bersih, adakah apa yang kita buat akan mendapat keberkatan dari Allah.
2. Pertumbuhan ekonomi.
Melalui berzakat, ia membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara seperti membina masjid, sekolah, membantu pelajar yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti universiti dan membina ekonomi negara.
Jika anda suka membaca kisah-kisah sahabat Rasullah, para sahabat membangunkan negara dengan menggunakan duit zakat sahaja. Ia juga merupakan satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat untuk kegunaan bersama.
3. Menyuburkan harta.
Bagi anda yang suka berzakat atau bersedekah, mungkin anda akan perasan yang harta anda semakin bertambah dan hidup anda semakin bahagia, betul?Jika anda tidak percaya, anda boleh mulakan sekarang dan InsyaAllah akan memperolehi hasilnya. Bila anda mengeluarkan harta anda dengan tujuan kebaikan, Allah akan melimpahkan lagi harta anda lebih dari yang anda keluarkan.
Ia seperti ranting pokok, bila anda cantas ranting yang lama, ia akan keluar yang baharu. Zakat juga seperti itu. Jika Allah tidak menambah harta anda, mungkin Dia menambahkan dengan cara yang lain.
4. Membersihkan jiwa.
Sebagai manusia, kita mempunyai banyak sifat buruk yang kita tidak perasan. Melalui berzakat, kita dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat mazmumah seperti riak, sombong, hasad dengki, bongkak, dan sebagainya.Sifat-sifat sebegini boleh merosakkan jiwa kita dan menyekat perhubungan kita dengan umat Islam yang lain.
Dengan terhapusnya sifat-sifat ini, akan melahirkan masyarakat yang lebih aman dan bahagia serta saling bekerjasama.
Peniaga yang bagus ialah peniaga yang bersih jiwanya dari sebarang sakit hati dan dendam.
5. Elakkan sifat boros.
Berzakat mampu menjauhkan diri kita dari dikuasai nafsu dan kemahuan yang tidak terbatas seperti sikap suka berbelanja dengan boros, menghabiskan duit untuk perkara yang tidak bermanfaat dan sebagainya.
Bila anda mengeluarkan zakat, ia dapat memupuk sikap qanaah (sikap rela menerima dan merasa cukup atas hasil yang diusahakannya serta menjauhkan diri dari rasa tidak puas dan perasaan kurang) dalam diri pemberi zakat.
Orang yang mempunyai sikap qanaah merasa sentiasa bersyukur dan tanamkan dalam diri mereka bahawa rezeki datangnya dari Allah.
6. Kurangkan jurang kaya dan miskin.
Mungkin anda pernah dengar, bila kita keluarkan zakat, kita telah mengeluarkan sebahagian hak orang lain dalam harta kita. Dengan zakat yang anda keluarkan, anda telah mengurangkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin.
Jika umat islam yang beharta komited membayar zakat, maka makin kuranglah masalah yang melibatkan kewangan dan kemiskinan. Jika kita dapat membasmi kemiskinan, masalah sosial dan jenayah seperti rompak, ragut, dan gejala minta sedekah dapat dikurangkan.
Zakat dapat menyediakan kos saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya.
7. Sentiasa bersyukur.
Sebagai hambaNya, kita harus sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan pemberian kurniaanNya. Jangan sesekali merungut apabila anda berasa tidak cukup. Bila anda bersyukur, rezeki anda akan sentiasa cukup dan malah ada lebihan lagi.
Diri kita juga akan sentiasa dekat dengan Allah kerana harta dibelanjakan mengikut cara diredhai Allah dan tanda kesyukuran itu ialah tindakan kerelaan mengambil sebahagian harta bendanya untuk mencari keredhaan-Nya.