Kemeriahan Tahun Baharu Cina, 5 Fakta Menarik Dan 5 Larangan!

tahun baharu cina

Apabila kita mula menyaksikan pelbagai hiasan dan dekorasi berwarna merah bersalut keemasan dipasang di mana-mana, pasti sudah diketahui umum bahawa itu menandakan kedatangan sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh dunia, dengan tahun ini adalah tahun harimau.

Tanglung merah pelbagai variasi bentuk dan saiz dapat dilihat di mana-mana digantung menjadi penyeri bukan hanya di kediaman bahkan di gedung-gedung perniagaan dan pejabat.

Begitu juga pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang biasanya menjadi hiasan tradisi yang sering mewarnai detik-detik kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.

Di Malaysia, sambutan ini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Tionghua tetapi kemeriahannya turut dikongsi bersama rakyat berbilang bangsa di negara ini.

5 fakta menarik Tahun Baharu Cina:

1. Makan besar

Mereka akan berkumpul dan makan besar bersama bermula dengan juadah Yee Sang dan kuih bakul.

Masyarakat Cina percaya semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

2. Membakar mercun

Malam sebelum bermula tahun baru, mereka akan membakar mercun di tengah malam sebagai simbolik bermula tahun baharu dan menghalau puaka dan nasib malang.

Selain itu, aktiviti membakar mercun juga merupakan satu bentuk komunikasi oleh kaum Cina.

Apabila membakar mercun, kita dapat tahu suatu kejadian yang baik sedang berlaku.

3. Hiasan buah limau

Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki.

Pokok limau menjadi buruan kerana melambangkan simbol keamanan dan kekayaan, warnanya kuning terangnya umpama emas.

Selain bentuk fizikal dari segi istilah sebutan, limau dalam bahasa Kantonis iaitu ‘kam’ yan bermakna ‘kekayaan’ serta ‘keuntungan’.

4. Makanan tradisi

Jika Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha yang diraikan umat Islam begitu popular dengan ketupat dan rendang, bagaimana pula dengan perayaan Tahun Baharu Cina?

Antara hidangan yang sering menjadi pilihan ialah Yee Sang, ikan kukus, kuih bakul, dumpling, popia dan mi yang masing-masing mempunyai simboliknya yang tersendiri.

Setiap hidangan istimewa tersebut disusun di atas pinggan dalam jumlah yang tidak sekata serta diletakkan di atas meja yang dihias cantik dengan lapik meja berwarna merah.

5. Angpow

Golongan muda yang masih belum berkahwin sahaja akan menerima angpow bagi melambangkan nasib baik. Kanak-kanak paling gembira!

Tradisi ini juga bermaksud kebahagian yang berpanjangan.

Perayaan Tahun Baharu Cina akan berakhir dengan perayaan Chap Goh Mei selepas 15 hari.

Dalam kemeriahan sambutan perayaan ini, masyarakat Cina juga percaya beberapa larangan perlu dipatuhi.

Antara 5 perkara yang dilarang tahun baharu Cina:

1. Dilarang makan ubat

 Mengambil ubat pada hari pertama tahun lunar bermakna mereka akan mengalami kemudaratan kesakitan bagi tahun itu.

2. Dilarang makan bubur

Bubur tidak boleh dimakan, kerana dianggap bahawa hanya orang miskin mampu makan bubur untuk sarapan.

Penganut Buddha tidak mahu memulakan tahun baharu dengan makanan yang ‘miskin’ kerana ini dianggap sebagai satu petanda yang tidak baik.

3.Dilarang cuci pakaian

Masyarakat Cina tidak akan mencuci pakaian pada hari pertama dan kedua perayaan, kerana kedua-dua hari dirayakan sebagai hari lahir Shuishen (Tuhan Air).

4. Dilarang cuci rambut

Rambut tidak boleh dibasuh pada hari pertama tahun lunar. Dalam bahasa Cina, rambut mempunyai sebutan yang sama dan watak sebagai ‘fa fa cai’, yang bermaksud ‘untuk menjadi kaya’. Oleh itu, ia dilihat sebagai satu perkara yang tidak baik untuk “mencuci nasib seseorang” pada awal tahun baru.

5. Dilarang menyapu rumah

Tidak boleh meyapu rumah kerana ia bermakna anda menyapu keluar kekayaan.

Sementara itu, Gong Xi Fa Cai! dalam bahasa Mandarin membawa maksud “tahniah moga mendapatkan lebih kekayaan”. Ucapan ini digunakan secara meluas sejak sebelum zaman Dinasti Qin lagi iaitu 221 sebelum Masihi!

Kebiasaannya, “Gong Xi Fa Cai” disebut oleh mereka yang sesama berniaga dan rakan sekerja.

Semoga bangsa usahawan terus mendapat lebih kekayaan dan keuntungan untuk kita kongsi dan nikmati bersama insan lain.

Apatah lagi ketika musim perayaan, biasanya bangsa usahawan pasti akan menawarkan promosi-promosi tertentu bagi menarik minta pelanggan-pelanggan mereka.

Tawaran yang menarik pastinya membuatkan mereka tertarik di samping hari cuti yang digunakan ramai orang untuk berjalan dan pulang ke kampung masing-masing.

Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua dan selamat bercuti kepada seluruh rakyat Malaysia. Jangan lupa jaga SOP dan berhati-hati di jalan raya.

Artikel terbaru

Leave a Reply