Kembangkan Ke Lokasi Baru

Bayangkan situasi ini,

Anda tahu perniagaan anda sudah stabil. Malah anda sudah mencapai sasaran jualan yang diinginkan. Namun dengan jumlah pelanggan yang bertambah seiring dengan bilangan staf yang meningkat, anda merasakan lokasi anda sudah tidak mampu menampung permintaan dan kos operasi. Lama kelamaan, anda mula kekurangan masa dan wang. Jadi, apa yang harus anda lakukan?

Kenapa tidak kembangkan ke lokasi baru?

Iya, kembangkan lagi perniagaan anda dengan menambah cawangan di lokasi baru. Namun, memilih cawangan dan seterusnya membuka juga perlukan rancangan teliti. Anda tidak boleh memilih lokasi baru mengikut andaian anda semata-mata kerana ia tetap satu langkah penting dalam perniagaan.  Jangan pandang remeh dan ikutlah perancangan ini dengan teliti.

Kembali Merujuk Pada Kajian Pemasaran Dan Analisa Pesaingan

Dapatkan maklumat tentang sasaran pelanggan dan kelebihan daya saing anda. Pastikan rancangan pemasaran anda yang dikemas kini sama teliti dengan rancangan awal anda. Bandingkan perniagaan anda dengan persaingan di tempat baru tersebut. Pelajari tentang pasaran tempatan dan promosi yang sesuai untuk mereka.

Tinjau Kewangan Perniagaan Anda

Buat anggaran kos dan anggaran pendapatan untuk lokasi baru anda. Perhatikan kunci kira-kira anda untuk memastikan anda dapat menampung kos membuka cawangan tersebut yang merangkumi tapak, staf baru, promosi dan utiliti. Semak simpanan syarikat yang anda ada namun jangan sesekali menggunakan sepenuhnya simpanan tersebut. Sekiranya anda tidak mempunyai cukup modal, anda boleh mendapatkan lebih banyak dana namun anda harus yakin mampu membayarnya semula.

Patuhi Undang-Undang Untuk Mengembangkan Perniagaan Anda

Memperluas perniagaan anda ke negeri, daerah, atau wilayah baru tidak jauh berbeza dengan membuka perniagaan baru di sana. Anda harus memastikan anda mendaftarkan perniagaan anda dengan agensi yang betul dan membayar cukai yang dikenakan. Adakalanya, setiap perniagaan di kawasan baru tertakluk pada syarat pihak berkuasa tempatan yang berbeza. Kaji dan selidik dahulu supaya anda tidak dikatakan melanggar peraturan mereka.

Pastikan Tim Niaga Anda Mengetahui Rancangan Perniagaan

Jika anda mempunyai tim seperti vendor, dropship, ejen dan stokis, anda perlu memaklumkan rancangan ini pada mereka. Satu kelebihan mempunyai tim ini adalah mereka boleh berkongsi pandangan dengan anda. Mungkin mereka lebih mengetahui kehendak pasaran di tempat baru. Malah mereka juga boleh bersedia untuk promosi dan menganggarkan jualan jika perlu.  Bagi pengguna pula, perkembangan niaga anda perlu memberikan integrasi yang lancar. Jangan pula apabila anda sibuk dengan cawangan baru, banyak pula jualan tergendala sekali gus memberi gambaran pengurusan yang tidak sistematik.

Pastikan Sistem, Konfigurasi Dan Prosuder Adalah Seragam

Walaupun ia cawangan baru namun ianya masih dalam perniagaan dan jenama yang sama. Jadi pastikan prosuder, sistem dan konfigurasi bagi operasi dan peralatan adalah seragam. Jangan berubah dengan keterlaluan sehingga cawangan baru itu lari dari konsep produk dan servis anda. Pastikan semua urusan rekod stok dan perisisan komputer juga sama supaya tiada kesilapan komunikasi. Keseragaman dapat mengelakkan kekeliruan berbangkit dan memastikan urusan niaga anda lebih sistematik tanpa melibatkan kos besar.

Akhir sekali, jika perancangan ini menuntut lebih masa dan tumpuan anda, dapatkan bantuan dengan melantik pengurus projek atau pasukan. Seorang pengurus projek mampu memastikan perhubungan dan tugas berjalan dengan lancar, memastikan tarikh akhir sesuatu tugasan ditepati dan memberi ruang kepada  pekerja cawangan untuk memberi tumpuan kepada misi kerja mereka.



1 Comment

Leave a Reply