Tuntut ilmu pengetahuan merupakan sesuatu yang menjadi tuntutan dan saranan yang penting bagi semua orang terutamanya bagi umat Islam.
Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara tersebut baik atau tidak.
Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]
Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]
Ianya dapat menjamin nilai tambah dalam diri seseorang malah mampu membentuk pemikiran yang sihat bagi setiap umat dalam membina masa depan cemerlang. Ilmu yang baik akan membentuk jati diri seseorang Muslim.
Ilmu boleh diumpamakan pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia. Ilmu juga membezakan manusia dengan haiwan.
Kita haruslah sedar bahawa ilmu itu adalah sumber segala yang kita ada sekarang. Ilmu yang menerangi kehidupan kita seharusnya menjadi petunjuk untuk memperolehi kehidupan yang bahagia. Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang itu juga memberikan manfaat jika disebarkan kepada orang lain.
Melalui ilmu, seseorang mampu melakukan perkara yang bermanfaat bagi dirinya dan orang lain melalui pengetahuan yang dimiliki. Manfaat ilmu itu bukan hanya dirasakan individu itu sahaja bahkan masyarakat sekitarnya akan mendapat percikan manfaat dari ilmu yang dimiliki seseorang.
Kelebihan Tuntut Ilmu
Dalam hadith Nabi Muhammad SAW bagi orang-orang yang menuntut ilmu ini, kami ingin datangkan sebuah hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim yang menceritakan di dalam sebahagian matannya akan kelebihan orang yang menuntut ilmu.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]
Makna Hadith
Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT.
Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulamak mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka.
Selain itu, banyak kata-kata hikmah daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang memperkatakan tentang kepentingan ilmu antaranya :
- Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
- Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Pandemik merubah cara tuntut ilmu
Ancaman pandemik C0vid-19, mahu atau tidak, kaedah pengajaran dan pembelajaran terpaksa berubah daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran (p&p) secara bersemuka kepada pembelajaran secara online.
Sebelum ini kaedah pengajaran dan pembelajaran secara online bukanlah medium utama dalam pembelajaran, namun semuanya terpaksa berubah disebabkan pandemik.
Kita tiada pilihan lain, murid di peringkat sekolah rendah, menengah malah institusi pengajian tinggi (IPT) juga melaksanakan pembelajaran online yang menjadi suatu norma baharu.
Dalam pelaksanaan pembelajaran secara online, sebagaimana pembelajaran secara bersemuka, adab dan etika pembelajaran juga perlulah difahami dan diikuti bagi memastikan proses menuntut ilmu dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektifnya.
Kegagalan menerapkan kefahaman mengenai adab atau etika yang baik semasa sesi pembelajaran secara online sebenarnya boleh mengundang suasana tidak harmoni sekali gus akan menganggu keberkesanan proses p&p.
Sehubungan itu, kami kongsikan antara adab yang perlu difahami dan dilakukan setiap daripada kita ketika mengikuti pembelajaran online.
Adab-adab ketika pembelajaran online:
1/ Niat yang betul dalam menuntut ilmu
- Niat yang betul akan melahirkan sikap bersungguh-sungguh dalam setiap usaha yang dilakukan dan pada masa yang sama meyakini bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan kemudahan dalam menghadapi setiap cabaran dan kesukaran yang dihadapi.
Ia dapat memberikan nilai-nilai positif seperti istiqamah, bersemangat, sabar dan tak mudah putus asa dalam menghadapi cabaran menuntut ilmu.
2/ Persediaan awal untuk pembelajaran
Buat persediaan awal dengan memastikan segala peralatan seperti komputer, headphone dan sambungan internet yang stabil untuk pastikan semua dalam keadaan baik. Ia dapat mengelakkan berlakunya gangguan ketika sedang belajar.
3/ Memulakan belajar dengan berdoa
- Jadikan berdoa sebagai amalah ketika nak menuntut ilmu agar memperolehi keberkatan, ilmu yang bermanfaat, ketenangan, kemudahan serta kefahaman yang baik dan dijauhkan daripada sifat lupa.
4/ Beri tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran
Dalam pembelajaran online, sukar untuk pengajar melakukan pemantauan terhadap pelajar-pelajar. Justeru itu, setiap pelajar perlu ada kesedaran dan tanggungjawab sendiri dengan memberikan tumpuan dan kerjasama dengan pengajar ketika sesi pembelajaran berjalan.
Hal ini kerana yang ruginya nanti bukannya pengajar sebaliknya diri pelajar itu sendiri.
5/ Tepati masa
Setiap pelajar perlu menepati masa yang ditetapkan untuk masuk ke dalam talian dan mengekalkan keberadaan sepanjang sesi p&p berlangsung. Pelajar juga bertanggungjawab untuk membuat tugasan yang diberikan dan menghantarnya dalam tempoh masa ditetapkan.
6/ Melibatkan diri secara aktif dan berkomunikasi secara baik
Sekiranya anda ingin bercakap atau bertanyakan sesuatu, mintalah izin terlebih dahulu serta perkenalkanlah diri dan elakkan bercakap serentak dengan pelajar lain pada masa yang sama. Sekiranya semua pelajar bercakap pada waktu yang sama, pembelajaran akan terganggu dan menjadi tidak harmoni.
Pastikan juga mikrofon anda berada dalam mod senyap atau dipadamkan sekiranya tidak menggunakannya agar tidak mengganggu pelajar lain.
Jika anda ingin turut serta dalam perbincangan secara bertulis dalam chatbox umpamanya, perkenalkanlah diri terlebih dahulu dan gunakanlah bahasa yang baik.
7/ Jaga penampilan diri
Meskipun p&p atau latihan dilakukan secara online, kita perlulah memakai pakaian yang bersesuaian serta berpenampilan kemas.
Akhir sekali, ilmu dan adab ini sama sekali tidak boleh dipisahkan bahkan ia adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Tidak ada gunanya jika seseorang itu memiliki ilmu yang hebat namun tidak mempunyai adab atau etika yang baik. Adab yang baik sebenarnya adalah cerminan atau manifestasi keilmuan seseorang.
Sehubungan itu, kita perlulah sentiasa membetulkan niat dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu.
Semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman agar dapat digunakan dengan sebaiknya untuk diri malah orang lain. Amin.