5 Kelebihan Berpuasa Di Bulan Ramadan

5 Kelebihan Berpuasa Di Bulan Ramadan

Sudah masuk 11 Ramadan pada hari Jumaat ini. Bagaimana keadaan anda ketika ini? Peluang dipertemukan dalam bulan mulia hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya. Banyak kelebihan berpuasa dalam bulan ini.

Sebenarnya, ia boleh menjadi ruang untuk kita muhasabah dan memperbaiki diri untuk menjadi seorang insan ataupun usahawan yang lebih baik lagi,

Apatah lagi, dalam keadaan lapar dan dahaga akan tidak bernafsu untuk melakukan dosa dan maksiat. Sekiranya jika kita masih berterusan melakukan dosa dan maksiat, ia menandakan bahawa kita tergolong mereka yang tunduk kepada dorongan hawa nafsu.

Semuanya terletak kepada pilihan kita sendiri. Seperti dalam bisnes, kita boleh pilih untuk buat sendiri saja atau mendapatkan ilmu dan bimbangan agar lebih cepat berkembang.

Selain itu, kita juga harus ingat bahawa semua amal ibadat adalah untuk diri manusia tetapi puasa adalah untuk Allah SWT yang akan berikan ganjaran besar kepada orang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya.” (diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Berikut kami kongsikan 5 kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini:

1. Turunnya al-Quran

Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah SAW bagi kita umat Baginda di bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadan ini.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 :

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang bhatil”

2. Puasa Menghapuskan Dosa

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)]

Melalui berpuasa di bulan rahmat ini, Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba. Bagaimanapun ulama mengingatkan bahawa hanya dosa kecil sahaja yang terhapus manakala dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan bertaubat kepada Allah SWT.

3. Dua Kegembiraan Bagi Yang Berpuasa

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa (dengan menjaga Sunnah dan adabnya) akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan keduanya; (pertama) apabila berbuka dia bergembira (dapat melaksanakan puasa) dan (kedua) apabila berjumpa dengan Rabbnya, dia bergembira disebabkan ibadah puasanya itu.” (Muttafaqun “Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, 1904, Muslim 1151)

Melalui ibadah puasa, Allah SWT berjanji melalui lidah Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa. Kita semua pastinya inginkan kegembiraan namun ada sesetengah daripada kita ke arah kegembiraan ‘palsu’ yang akhirnya membawa kesengsaraan kepada diri nanti.

Ingatlah, kegembiraan yang hakiki apabila kita mendapatkan tempat dalam syurga Allah SWT bila di hari pembalasan.

4. Doa Makbul Dengan Berpuasa

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sehubungan itu, ingatkan kepada setiap ahli keluarga kita, antara 10 hingga 15 minit sebelum berbuka merupakan waktu mustajab untuk berdoa bukannya untuk kita berada di dapur atau masih di bazar Ramadan.

Ketahuilah jika perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan dimakbulkan. Tapi jika tidak, maka tidak akan diperkenankan atau diganti dengan yang lebih perlu bagi seseorang itu atau akan disempurnakan di akhirat nanti.

Sehubungan itu, usah kita fikir bahawa sesuatu doa itu tidak dimakbulkan saja, sebaliknya hendaklah memahami erti sebenar penerimaan sesuatu doa itu. Oleh itu, jom sempurnakan perintah-perintah Allah nescaya Allah akan menerima doa-doa yang dipohon oleh hamba-Nya.

5. Puasa dan al-Quran Pemberi Syafaat

Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada hamba (orang yang berpuasa dan yang sentiasa membaca al-Quran) di hari kiamat nanti. Puasa akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada makan, minum dan perkara syahwat pada waktu siang, maka terimalah syafaatku kepadanya. Manakala al-Quran pula akan berkata:” Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada tidur di malam hari, maka terimalah syafaatku kepadanya. Baginda bersabda: “Maka Allah pun menerima akan kedua-dua syafaat tersebut.” (Hadith sahih riwayat Ahmad, no. 6337, al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2080, al-Haithami dalam al-Zawaid, no. 18543 ).

Justeru itu, marilah kita bersama-sama merebut peluang yang ada dalam bulan mulia ini yang mana Allah SWT mengurniakan pahala, rahmat dan keampunan-Nya sepanjang Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.

Apatah lagi terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu Lailatulqadar. Sangatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Artikel terbaru

3 Comments

Leave a Reply