Kaya Harta Kaya Jiwa

Kaya Harta Kaya Jiwa

Memahami tanggapan terhadap apakah yang dimaksudkan dengan perkataan kaya adalah penting dalam membantu kita untuk menjadi kaya seperti mana yang kita idamkan.

Memahami hakikat kaya akan dapat membantu menguruskan kehidupan kita untuk mencapai bukan sahaja matlamat duniawi, malah lebih penting lagi matlamat ukhrawi; kerana dengan pemahaman ini akan membolehkan kita untuk mengekang sifat rakus terhadap kekayaan dunia dan seterusnya membuka minda kita untuk sentiasa mengamalkan sifat-sifat yang terpuji dalam kehidupan kita.

Budaya hidup dan keadaan persekitaran kita banyak membentuk tentang apa yang kita fikirkan. Begitulah juga dengan fikiran atau tanggapan kita terhadap perkataan kaya itu sendiri.

Kaya dari segi bahasa menurut Kamus Dewan bererti banyak harta atau wang; atau orang yang mempunyai banyak harta atau wang.

Berdasarkan takrifan ini, kita membesar dengan budaya bahawa seseorang yang berpendapatan besar, mempunyai harta yang banyak, rumah dan kereta yang besar sudah semestinyalah orang itu seorang yang kaya.

Apakah benar tanggapan ini di sisi ajaran Islam? Dan apakah kita ini tida kaya dan tidak akan jadi kaya, dan kita hanya sekadar bermimpi dan berangan-angan untuk menjadi kaya?

Kaya jiwa

Dalam sepotong hadis daripada Abu Hurairah ra, Rasulull saw bersabda, mafhumnya, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta dunia, akan tetapi kekayaan ya hakiki itu adalah kaya akan jiwa (HR Bukhari dan Muslim Hadis ini begitu jelas menunjukkan kepada kita bahawa kaya pada hakikatnya bukanlah dipandang dan dinilai daripada segi banyaknya harta atau wang, tetapi kaya pada hakikatnya adalah orang yang merasa cukup dengan sesuatu yang Allah s.w.t berikan dan merasa redha atas bahagiannya itu. Namun kita mungkin pula tertanya tanya apakah yang dimaksudkan dengan kaya jiwa? 

Tanda-tanda jiwa yang kaya dapat dilihat apabila hati seseorang itu diselubungi ketenangan dan kecukupan kurniaan yang dirasainya walaupun harta atau wang yang ada tidaklah banyak menurut nilaian budaya manusia.

Dalam konteks ini, wajar bagi kita merenung sepotong hadis Rasulullah s.a.w yang mafhumnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (HR Bukhari dan Muslim).

Tanda-tanda ini juga dapat dikaitkan dengan rezeki yang berkat.

Lantas apabila seseorang itu kaya jiwanya dan dilimpahi rezeki yang berkat, maka mudah baginya untuk melakukan amalan terpuji seperti bersedekah, berzakat dan berwakaf.

Sifat pemurah untuk memberi dan bersedekah kepada orang lain dan melihat orang lain gembira serta bahagia akan memberi ketenangan kepada dirinya.

Ini dilakukannya kerana dia sedar bahawa harta yang dimilikinya ada hak orang lain di dalamnya. Orang yang kaya jiwanya sentiasa mencari KEBERKATAN kerana ia penting sebagai petanda percambahan rezeki di samping pengharapan tinggi terhadap Allah s.w.t.

Pengharapan dan keyakinan ini adalah disandarkan kepada sepotong hadis yang mafhumnya, “Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah telah berfirman, ‘Telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: Mana satu hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya hanya kepada Aku, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain daripada itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Riwayat Abu Naim)

Sangka baik 

Dengan memiliki jiwa yang kaya, kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t dalam apa juga keadaan dan sedar bahawa kasih sayang Allah s.w.t itu. sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Sikap ini amatlah penting kerana ia dapat memastikan bahawa kita sentiasa berwaspada terhadap sumber rezeki yang kita peroleh daripada sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah s.w.t ketika mencari rezeki.

Lantaran itu, kita akan berusaha untuk mencegah diri kita daripada menghimpun harta kekayaan melalui sumber sumber yang batil, seperti larangan Allah s.w.t melalui firman-Nya, “Dan janganlah kamu makan harta orang lain. di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah: 188)

Justeru, kebaikan yang berterusan dijadikan agenda utama bagi mengelak kesulitan dalam hidup kita di kemudian hari, walaupun pada hari ini kita mungkin mendapat kesenangan dan kekayaan.

Demikianlah hakikat kehidupan kita pada hari ini, yang mana menjadi kaya itu ialah idaman setiap manusia, dengan budaya mengajar kita bahawa wang atau harta yang banyak boleh membeli segala-galanya dalam dunia ini.

Namun tidak dinafikan juga bahawa kehidupan hari ini yang serba mencabar, yang mana kekayaan dan wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup, atau dengan kata lain segala-galanya sekarang perlukan wang.

Pada hakikatnya kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya.

Bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana agama Islam memberi penilaian ‘kaya’ itu daripada hakikat sebenar yang tidak terbatas kepada kehidupan di dunia ini semata-mata, malah menjangkau kepada kehidupan di akhirat kelak.

Ini membolehkan kita membuat keputusan yang baik untuk mengurus hidup kita dan membantu kita daripada aspek perancangan kewangan dan kekayaan kita dengan lebih cekap, bagi mencapai kejayaan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

Artikel terbaru

Leave a Reply