Jenis-jenis Bos Di Tempat Kerja. Nombor 4 paling bahaya!

Jenis-jenis Bos Di Tempat Kerja

Pernah dengar tak, bagaimana bos ditempat kerja begitulah staf yang dihasilkan? Ya, betul! Pekerja umpama kain separuh putih yang masuk ke dalam dunia bisnes kita. Sebagai bos, kita yang perlu mencorakkan ruangan kosong untuk mereka serasi bekerja di syarikat kita. 

Sebab itu sebagai usahawan, penting untuk ada ilmu kepimpinan yang betul. Kalau tak, asyik tengok staf keluar masuk je lah.

Tidak dinafikan, ada bos yang sangat disenangi oleh staf. Tak kurang juga dengan bos yang tidak disukai. Jenis bos yang anda miliki boleh memberi impak besar kepada kejayaan dalam bisnes anda.

Menurut Tom Gimbel, Ketua Pegawai Eksekutif agensi pekerjaan LaSalle Network yang berpangkalan di Chicago, terdapat tujuh jenis bos.

Anda jenis bos yang mana satu?

1.   Pengkritik tegar

Seorang bos yang kuat mengkritik sentiasa bekerja keras, yang mana ia merupakan suatu perkara positif. Tetapi mereka boleh membuatkan staf berasa seperti perlu mempersembahkan hasil kerja sehebat anda atau mereka akan dicop sebagai ‘subpar performer’.

Akhirnya, anda tidak pernah berpuas hati dengan apa yang orang lain lakukan dan mereka mungkin mendapati diri tidak pernah memenuhi jangkaan anda yang tinggi atau menghadapi kritikan kerana tidak melakukan secukupnya.

Kritikan yang membina itu bagus, namun sulamkan juga dengan penghargaan buat staf anda di pejabat.

2.   Sering memberi motivasi

Anda mempunyai beberapa kualiti kepimpinan yang hebat dan sering menawarkan sokongan apabila diperlukan. Staf pasti akan menyokong setiap tindakan anda kerana anda adalah idola mereka.

3.   Bos ke hantu?

Haa… jangan sampai staf tak boleh nak membezakan anda dan hantu! Bos hantu memimpin dengan sangat teruk kerana mereka tidak pernah ada di pejabat.

Bos seperti ini biasanya tidak tahu kerja apa yang sedang staf laksanakan kerana mereka ‘ghaib’ apabila di saat para pekerja memerlukannya.

Mereka tidak dapat memberikan maklum balas berguna yang akan mengarahkan team mereka ke arah yang betul sekaligus menyukarkan staf untuk menavigasi kerja mereka.

Bos hantu juga boleh membahayakan pertumbuhan kerjaya pekerja mereka kerana gagal memberikan bantuan dan menjadi mentor buat para staf.

4.   Narsistik

Seorang bos narsistik hanya fikirkan tentang diri sendiri dan perasaan sendiri. Mereka membuat tindakan berdasarkan perkara yang paling menguntungkan mereka dan meletakkan keperluan team mereka sebagai hal nombor dua.

Akibatnya, team mereka mungkin merasa tidak dipedulikan.

Satu lagi faktor penentu ialah mereka suka menjadikan segala-galanya tentang mereka. Mereka suka disanjung dan akan mengambil kira pujian untuk idea-idea yang baik atau ukuran kejayaan lain.

5.   Menjadi teman baik

Siapa yang tak nak rapat dengan bos, pasti dapat banyak manfaat. Betul ke? 

Bos yang mahu menjadi ‘best friend forever’ (BFF) staf sangat menghargai jika dirinya disukai oleh orang lain. Bersosial di tempat kerja sememangnya bukanlah suatu perkara yang buruk, tetapi bos sebegitu mungkin mengutamakan untuk berkawan daripada memimpin dengan betul dan memastikan pasukan bertanggungjawab.

Mereka boleh mengalih perhatian anda daripada kerja dan membantutkan kemajuan seluruh pasukan kerana mereka sangat mahu menjadi ‘BFF’ dengan semua orang di sekeliling mereka.

6.   Bos yang bertanggungjawab dan penyayang

Bos terbaik akan mengimbangi di antara tanggung jawab dan kasih sayang. Mereka memberi maklum balas yang jujur tentang kerja anda sama ada ia baik atau buruk dan mencabar anda untuk melakukan yang terbaik mengikut kemampuan anda.

Mereka juga benar-benar mengambil berat tentang pekerja mereka sebagai seorang manusia. Ini mungkin melibatkan pemahaman apabila pekerja mengalami hari yang sukar atau menangani isu peribadi dan cuba untuk menampung sebaik mungkin.

Mencari atau menjadi bos jenis itu adalah sukar kerana bukan semua yang memenuhi kriteria sebegini namun jika ada bos yang cuba berusaha menjadi sepertinya, maka ia adalah suatu nilai positif yang perlu diambil kira jika anda sedang mencarinya.

7. Gunung berapi

Serupa dengan bos hantu kerana mereka tidak begitu berminat dengan kerja yang anda lakukan dan gagal membimbing atau menasihati anda di sepanjang jalan.

Perbezaannya, mereka ‘meletus dan hanya meletup’ pada pekerja apabila mereka tidak berpuas hati dengan tugas atau tugasan.

Bos-bos itu tidak menyedari bahawa sebahagian besarnya adalah berpunca daripada kesalahan mereka apabila tugasan yang telah selesai disiapkan jauh daripada apa yang mereka mahukan.

Bos yang baik boleh membantu pekerja berkembang dan gembira di tempat kerja manakala bos yang buruk boleh menjadikan pengalaman seharian sebagai mimpi ngeri.

Jadi, anda bos yang macam mana?

Artikel terbaru

Leave a Reply