Jauhi 5 Kesalahan Etika Yang Biasa Dilakukan Usahawan Ini

etika

Memang seronok bila kita menjalankan perniagaan dengan penuh integriti dan etika. Insya-Allah perjalanan perniagaan itu sendiri akan berjalan dengan lancar. 

Namun, walaupun kita rasa diri sendiri sudah menjadi seorang pemimpin yang beretika, kadang-kadang kita boleh terperangkap dengan kesilapan yang biasa dilakukan. 

Jom kita lihat beberapa kesalahan etika yang sering dilakukan oleh pemimpin perniagaan dan bagaimana kita boleh elakkan dari terjebak.

5 kesalahan etika yang usahawan perlu elak

1. Kegagalan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab

Kadang-kadang, perniagaan secara tidak sengaja membiarkan tingkah laku tidak beretika berlaku kerana tiada sistem yang jelas untuk memastikan semua orang bertanggungjawab. 

Bayangkan sebuah syarikat yang tiada peraturan jelas tentang siapa yang perlu bertanggungjawab apabila sesuatu masalah timbul. Ini boleh menyebabkan pekerja merasa mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa risau akan akibatnya.

Pemimpin yang baik tahu bahawa tanggung jawab bermula dari mereka dan mereka perlu menunjukkan contoh yang baik dengan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka sendiri. 

Apabila pemimpin bertanggungjawab, ia memberikan isyarat yang jelas kepada semua pekerja bahawa tanggung jawab adalah penting dalam organisasi. 

Bayangkan sebuah kapal tanpa nakhoda yang jelas. Pasti kelam kabut, kan? Begitulah juga dengan perniagaan. Kalau pemimpin tidak bertanggungjawab, pekerja juga mungkin rasa mereka tak perlu bertanggungjawab. 

Akibatnya, semangat kerja boleh menurun dan produktiviti terganggu.

2. Kurangnya kesedaran tentang gangguan atau diskriminasi

Setiap pekerja berhak untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada gangguan atau diskriminasi. Ini bermakna, mereka harus dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau tertekan oleh sebarang bentuk gangguan serta layanan yang tidak adil. 

Apabila pemimpin membiarkan gangguan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia akan mencipta suasana kerja yang tidak terkawal dan boleh merosakkan semangat kerja serta produktiviti pekerja.

Selain Itu, diskriminasi juga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti memberikan layanan istimewa kepada sesetengah pekerja berbanding yang lain berdasarkan jantina, umur, bangsa, atau latar belakang. 

Ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan ketegangan di kalangan pekerja.

3. Mengabaikan aduan atau laporan pekerja

Tingkah laku tidak beretika adalah seperti penyakit berjangkit. Maksudnya, apabila seorang pekerja melihat rakan sekerja mereka melanggar peraturan, mereka juga mungkin akan rasa terdorong untuk melakukan perkara yang sama. 

Ini kerana mereka beranggapan bahawa peraturan boleh dilanggar tanpa sebarang tindakan tatatertib.

Anda perlu mendengar semua aduan, menjalankan siasatan yang adil dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang melanggar peraturan. 

Dengan cara ini, pekerja akan faham bahawa tingkah laku tidak beretika tidak akan diterima dan mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap setiap tindakan.

4. Kegagalan mengawal emosi

Usahawan juga adalah manusia biasa yang kadang-kadang boleh bertindak balas secara emosional terhadap sesuatu situasi. Mereka mungkin akan merasa marah atau takut dalam situasi tertentu. 

Namun, penting untuk belajar mengawal emosi kerana menunjukkan emosi seperti kemarahan dan ketakutan boleh menampakkan kelemahan dalam kemahiran kepimpinan.

Apabila pemimpin selalu menunjukkan emosi, pekerja juga mudah merasa tertekan dan mungkin akan bertindak balas dengan cara yang sama dan menyebabkan suasana kerja menjadi tidak harmoni serta tidak produktif. 

5. Kurangnya akauntabiliti dalam organisasi

Menjadi pemimpin bukan bermakna kita tidak pernah membuat kesilapan. Namun, apa yang penting adalah bagaimana kita bertindak balas terhadap kesilapan tersebut. 

Bila anda memilih untuk melakukan perkara betul walaupun selepas melakukan kesilapan, anda sebenarnya sedang membina asas untuk kejayaan masa depan. 

Bertanggungjawab atas kesilapan anda, minta maaf jika perlu dan cari jalan penyelesaian untuk memperbaiki keadaan. 

Jika pemimpin tidak menunjukkan etika yang baik, pekerja juga akan ambil contoh yang tidak baik. Dalam jangka panjang, ini boleh menjejaskan reputasi syarikat dan juga keberkesanan operasinya.

Pemimpin yang beretika adalah contoh yang bagus 

Apabila pemimpin menunjukkan tingkah laku yang baik dan beretika, pekerja akan lebih cenderung untuk mengikutinya kerana pemimpin yang beretika membantu membina budaya kerja yang positif.

Dengan berpegang kepada nilai-nilai etika, anda boleh memastikan persekitaran kerja yang sihat, produktif dan berkesan untuk semua orang. Bekerja dalam keadaan ini akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar dan berpanjangan.

Artikel terbaru

Leave a Reply