Jangan Terlepas, Insentif Cukai 2020

Tinggal beberapa hari saja lagi, kita akan memasuki bulan terakhir pada tahun ini. Sudahkah anda mencatat dan menyimpan resit-resit berkaitan untuk mendapatkan insentif cukai yang diberikan pada tahun ini?

Insentif cukai ini hadir dalam 4 kategori – pelepasan cukai, pemotongan cukai, rebat cukai dan pengecualian cukai. Jom semak apa yang boleh kita rebut dalam insentif cukai untuk taksiran 2020.

Pelepasan Cukai

  1. Ibu Bapa
  • Peralatan menyusu (RM1,000)

Bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 2 tahun, ianya boleh dituntut setiap 2 tahun sekali.

  • SSPN (RM8,000)

Deposit sehingga RM8,000 boleh dituntut

  • Penjagaan Anak (RM3,000)

Bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 6 tahun dan hanya boleh dituntut oleh salah seorang ibu bapa.

Anak bukan sahaja melengkapkan sebuah keluarga, malah boleh mengurangkan cukai anda secara sah. Bagi potongan dalam kategori anak, terdapat 5 jenis potongan cukai yang anda boleh manfaatkan.

  • Anak di bawah umur 18 tahun

Potongan cukai diberikan sebanyak RM2,000 seorang bagi anak yang belum berkahwin. Ini bermakna, sekiranya anda mempunyai anak yang ramai, lebih banyak potongan cukai yang anda akan dapat!

Yuran penghantaran anak berumur 6 tahun ke bawah ke taman asuhan kanak-kanak / tadika yang berdaftar.

Potongan cukai ini terhad kepada RM1,000 walaupun bilangan anak yang memenuhi syarat melebihi satu. Selain itu, tuntutan ini hanya boleh dituntut oleh salah seorang suami atau isteri sekiranya taksiran dilakukan secara berasingan.

  • Anak 18 tahun ke atas dan masih belajar

Jika anda mempunyai anak yang sudah berusia 18 tahun ke atas, anda juga masih layak untuk mendapat potongan cukai sebanyak RM 2,000 dengan syarat belum berkahwin, dan menerima pendidikan sepenuh masa.

ATAU

Potongan cukai sebanyak RM 8,000 dibenarkan bagi individu yang mempunyai anak yang belum berkahwin, berumur 18 tahun ke atas serta mematuhi syarat-syarat berikut iaitu;

Mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (tidak termasuk kursus matrikulasi / pra-ijazah / A-Level) di universiti, kolej atau institusi pelajaran yang serupa dengannya di Malaysia; atau

Berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia; atau mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia.

Kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

  • Anak- kurang upaya

Bagi mereka yang mempunyai anak dalam kategori kurang upaya anda boleh mendapatkan potongan cukai sehingga RM 14,000. Berikut adalah potongan cukai yang dibenarkan bagi kategori ini:

Pelepasan bagi kategori anak kurang upaya yang belum berkahwin dibenarkan sebanyak RM 6,000. Pelepasan tambahan sebanyak RM 8,000 bagi anak kurang upaya yang belum berkahwin berumur 18 tahun ke atas serta mematuhi syarat berikut:

Mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (Tidak termasuk kursus matrikulasi / pra-ijazah / A-Level) di universiti, kolej atau institusi pelajaran yang serupa dengannya di Malaysia; atau

Berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia; atau mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia.

Kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

2. Pendidikan (RM7,000)

Bidang pendidikan juga tidak dikecualikan untuk mendapatkan potongan cukai daripada pihak kerajaan. Secara tidak langsung, perkara ini akan menggalakkan lebih ramai pembayar cukai membelanjakan wang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka atau keluarga mereka. Antara kategori yang mendapat pelepasan cukai ialah:

  • Yuran pengajian (Sendiri)

Pelepasan cukai bagi pembiayaan yuran pengajian sendiri diberi sebanyak RM 7,000 bagi kategori berikut:

Peringkat selain sarjana dan doktor falsafah – bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi;

Peringkat sarjana dan doktor falsafah – sebarang bidang atau kursus pengajian

  • Tabungan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Bagi mereka yang membuat simpanan bagi pendidikan anak-anak di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), anda juga layak mendapat pelepasan terhad kepada RM8,000 dan berkuatkuasa bagi tahun taksiran 2019 dan 2020.

Apa yang penting, hanya nilai tabungan bersih (simpanan-pengeluaran) yang dilakukan di dalam sesuatu tahun sahaja dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan bagi kategori ini.

3. Perbelanjaan Perubatan

Sudah tidak dinafikan, perbelanjaan bagi kategori perubatan boleh memakan belanja yang sangat tinggi. Apa yang menarik dalam kategori ini, perbelanjaan terhadap pasangan, ibu bapa atau anak juga boleh dituntut sebagai potongan cukai. Antara potongan yang boleh dituntut ialah:

  • Peralatan sokongan asas (untuk kegunaan individu kurang upaya, suami / isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya)

Apa yang penting, potongan bagi pembelian peralatan sokongan asas ini hanya dibenarkan sekiranya individu kurang upaya ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia sebagai orang kurang upaya. Alat sokongan asas yang dibenarkan termasuk mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran kecuali cermin mata dan kanta lekap.

Bagi kategori peralatan sokongan asas ini, potongan cukai yang dibenarkan adalah sehingga RM6,000.

  • Pemeriksaan perubatan penuh (diri sendiri, suami / isteri atau anak)

Sebarang pemeriksaan perubatan penuh bermaksud pemeriksaan secara menyeluruh seperti mana yang ditakrifkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) juga layak mendapat pelepasan cukai terhad kepada jumlah RM 500.

  • Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius (diri sendiri atau suami / isteri atau anak-anak)

Bagi kategori ini, setiap resit perbelanjaan rawatan yang diperakukan oleh pengamal perubatan yang berdaftar bagi sebarang perbelanjaan perubatan perlu disimpan. Antara penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit serius di bawah kategori ini seperti AIDS, sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, Leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa.

Potongan cukai bagi kategori ini terhad kepada RM6,000 walaupun digabungkan dengan potongan cukai bagi pemeriksaan perubatan penuh.

Diri sendiri, pasangan dan anak-anak (RM6,000) – bagi penyakit berbahaya, kos rawatan kesuburan untuk diri sendiri atau pasangan

4. Gaya Hidup

Kategori gaya hidup memberikan potongan cukai kepada anda dengan jumlah terhad sebanyak RM 2,500. Perbelanjaan bagi kategori ini yang boleh dituntut dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:Pembelian buku, jurnal, majalah, surat khabar bercetak dan lain-lain penerbitan seumpamanya (dalam bentuk hardcopy atau elektronik kecuali bahan bacaan yang terlarang seperti majalah lucah) untuk kegunaan diri sendiri, pasangan atau anak.

Perbelanjaan bagi pembelian komputer peribadi, telefon pintar (smartphone) atau tablet untuk kegunaan diri sendiri, pasangan atau anak, dan bukan digunakan untuk tujuan perniagaan.

Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan kecuali jenis basikal bermotor serta yuran keahlian gimnasium.

  • Bayaran bil bulanan bagi langganan internet yang didaftarkan atas nama individu untuk kegunaan sendiri, pasangan dan anak.
  • Pembelian bahan-bahan bacaan, komputer peribadi, telefon pintar / tablet, barangan sukan, langganan Internet, keahlian gimnasium (RM2,500)
  • Pelepasan Cukai Istimewa Penjana (RM2,500) – komputer peribadi, telefon pintar / tablet (Tarikh efektif 1 Jun 2020)
  • Pelepasan Cukai Baru Penjana (RM1,000) – pelepasan cukai untuk perbelanjaan perjalanan dalam negara. (Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara juga akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021)

5. Insurans dan Pelaburan

Bagi mereka yang ada mencarum takaful atau insurans hayat.

  • Pekerja sektor swasta (RM7,000)
  • Pekerja sektor awam (RM3,000)
  • Takaful/Insurans pendidikan dan perubatan (RM3,000)
  • Skim Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS) – RM3,000

Seperti yang diketahui, takaful dan insurans sangat penting bagi melindungi pengguna daripada sebarang kecelakaan yang tidak diingini di masa hadapan. Prihatin dengan keadaan ini, kategori insurans juga merupakan salah satu kategori yang layak mendapat pelepasan cukai. Antara pelepasan yang boleh dipohon ialah;

  • Insurans nyawa dan simpanan KWSP termasuk bukan melalui potongan gaji

Bagi jenis pelepasan cukai ini, amaun yang dibenarkan bagi potongan cukai adalah terhad kepada RM7,000. Terdapat dua kategori dalam pelepasan cukai ini iaitu:

  • Kategori penjawat awam berpencen – Premium insurans nyawa yang menjamin nyawa individu, suami atau isteri. Insurans yang dibayar bagi menjamin nyawa anak tidak dibenarkan bagi potongan ini.
  • Kategori SELAIN penjawat awam berpencen – Premium insurans nyawa (Terhad RM3,000). Caruman kepada KWSP / skim yang diluluskan (Terhad RM4,000)

Insurans pendidikan dan perubatan

Bagi sebarang pembayaran insurans pendidikan dan perubatan  bagi individu, pasangan atau anak, potongan cukai tidak melebihi RM 3,000 dibenarkan di bawah kategori ini. Walaupun taksiran cukai dilakukan bersama pasangan, jumlah potongan masih terhad kepada RM 3,000.

  • Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Bagi pekerja yang mempunyai caruman bersama PERKESO, potongan tidak melebihi RM 250 dibenarkan di bawah kategori ini.

6. Orang Kurang Upaya

Peralatan untuk diri sendiri, pasangan, anak atau ibu bapa (RM5,000)

Diri sendiri (RM6,000)

Pasangan (RM3,500)

Anak belum berkahwin (RM6,000)

Pelepesan cukai tambahan untuk yang menyambung belajar di peringkat tinggi bagi yang berumur 18 tahun dan belum berkahwin (RM8,000).

Pemotongan Cukai

7. Sumbangan dan derma kepada Badan kebajikan, badan sukan dan projek yang diluluskan

Sumbangan yang jatuh di bawah kategori in adalah terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat anda:

Hadiah berbentuk wang untuk institusi/ organisasi/ dana diluluskan

Hadiah berbentuk wang untuk aktiviti badan sukan

Hadiah berbentuk wang atau kos sumbangan dalam bentuk sebarang projek kepentingan negara yang diluluskan.

8. Derma, Hadiah dan sumbangan lain

Sumbangan di bawah kategori ini terhad kepada had 10%:

  • Hadiah wang kepada kerajaan. Kerajaan negeri/ pihak berkuasa tempatan
  • Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan
  • Hadiah berbentuk wang atau sumbangan dalam bentuk kemudahan kurang upaya di tempat awam
  • Hadiah berbentuk wang atau peralatan tidak melebihi RM20,000 untuk perpustakaan.
  • Hadiah berbentuk wang atau peralatan perubatan tidak melebihi RM20,000 untuk kemudahan penjagaan kesihatan yang diluluskan
  • Hadiah lukisan ke Galeri Seni Kebangsaan atau seni negeri
  • Langganan Badan Professional
  • Langganan keanggotaan yang dibayar kepada badan profesional untuk profesion seseorang, seperti yuran profesional perubatan atau undang-undang boleh dituntut sebagai potongan.

Rebat Cukai

9. Rebat cukai untuk diri sendiri

Sekiranya pendapatan bercukai anda (selepas pelepasan cukai dan potongan) tidak melebihi RM35000, anda akan diberikan rebat sebanyak RM400 daripada cukai yang dikenakan.

10. Rebat cukai untuk pasangan

Jika pendapatan bercukai anda (selepas pelepasan cukai dan potongan tidak melebihi RM35,000 dan anda telah dibenarkan pelepasan cukai sebanyak RM4,000 untuk pasangan anda, anda boleh menuntut rebat ini

11. Rebat caj untuk umrah atau perjalanan agama

Rebat ini diberikan kepada sesiapa yang meninggalkan Malaysia melalui laluan udara untuk melakukan umrah atau lain-lain ibadah haji, tetapi bukan untuk tujuan melaksanakan haji.

Untuk menuntut rebat ini, keterangan yang diperlukan adalah Salinan visa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi untuk umrah dan pengesahan bertulis oleh badan keagamaan yang diiktiraf bagi mana-mana ziarah keagamaan yang lain.

12. Zakat / Fitrah

Rebat ini digunakan untuk pembayaran zakat wajib dan fitrah pada tahun taksiran.

Zakat / Fitrah (jumlah dibayar mengikut tahun kalendar)

Pengecualian Cukai

13. Hadiah Dari Majikan

Terima hadiah berbentuk telefon pintar, komputer riba dan tablet (RM5,000) – dinasihatkan untuk memiliki polisi bertulis bagi memudahkan bekerja dari rumah (Tarikh efektif 1 Julai 2020). Maksud pengecualian ni kita tidak perlu lapor sebagai pendapatan.

14. Penjualan Rumah Kediaman

Pengecualian Real Property Gains Tax (RPGT) untuk jualan rumah kediaman, terhad kepada 3 buah rumah.

Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara, yang telah diberikan (sebelum ini) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Kini, anda sudah tahu mengenai semua pelepasan cukai, potongan cukai, rebat dan pengecualian cukai pendapatan yang ada, pastikan simpan semua resit dan buat fail supaya anda tidak terlepas sebarang tuntutan yang boleh dibuat pada tahun depan.

Jangan lupa juga, tanggungjawab untuk simpan dokumen dan resit-resit berkaitan adalah atas pembayar cukai. Ia hendaklah disimpan selama 7 tahun.

Artikel terbaru

Leave a Reply